Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Punca kemalangan Azizulhasni disiasat

Posted:

Punca kemalangan Azizulhasni disiasat

Punca kemalangan Azizulhasni disiasat


Imbasan insiden kemalangan yang dialami Azizulhasni di Manchester minggu lalu sehingga menyebabkan betis kiri pelumba basikal trek negara itu ditusuk serpihan kayu. - AP


JASIN - Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) akan menyiasat punca kemalangan yang menimpa jaguh trek negara, Azizulhasni Awang ketika menyertai kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di Manchester.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana ia membabitkan faktor keselamatan.

"Saya serah kepada pihak persatuan dan pihak UCI untuk membuat siasatan terhadap perkara ini kerana ia lebih kepada keselamatan bagi velodrom itu, sama ada terdapat unsur kecuaian dan kelemahan, atau bentuk kemalangan yang boleh berlaku pada bila-bila masa," katanya setelah melepaskan 30 peserta konvoi bermotosikal dan lawatan mesra di sekitar Kampung Ayer Molek, Kolam Taman Maju di sini, semalam.

Beliau mengulas insiden betis kiri Azizulhasni yang ditusuk serpihan kayu sepanjang 20 sentimeter di Manchester pada minggu lepas.

Bagaimanapun, pelumba basikal trek yang menjadi sandaran utama negara untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik di London tahun depan, berjaya menamatkan perlumbaan tersebut dan meraih pingat gangsa bagi terus mengungguli ranking pertama Siri Klasik Piala Dunia.

Menyentuh perkembangan terkini Azizulhasni, Ahmad Shabery berkata, walaupun kecederaan yang dialami memerlukan masa untuk pulih, beliau boleh beraksi pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Apeldoorn, Belanda 23 Mac ini jika pakar memberikan 'lampu hijau'.

"Tiada sebab untuk kita hendak menghalang orang yang begitu bersemangat sepertinya untuk terus bertarung," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan rasmi ke Australia pada Mac ini dan beliau dijangka sempat menjenguk Azizulhasni di Melbourne, yang kini menjalani proses pemulihan akibat kecederaan itu.

"Saya percaya lawatan Najib akan menambahkan dan memberi suntikan baru, kerana ketika dalam kesakitan dan tidak sedarkan diri pada hari kemalangan, apa yang keluar dari mulutnya ialah beliau hendak jadi juara Sukan Olimpik di London dan beliau bimbang tidak dapat ke Olimpik.

"Beliau (Azizulhasni) tetap hendak jadi No. 1 kerana atas nama 'saya orang Malaysia' dan 'saya mahu menaikkan nama Malaysia'...inilah semangat Azizulhasni Awang," katanya. - BERNAMA

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Olimpik tetap sasaran Tat Meng

Posted:

Olimpik tetap sasaran Tat Meng

Olimpik tetap sasaran Tat Meng

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Sukan Olimpik tetap menjadi sasaran utama jurulatih badminton perseorangan negara, Wong Tat Meng tahun depan, cuma bezanya beliau akan membawa misi bersama pasukan baru, Indonesia.

Tat Meng, 44, jurulatih yang bertanggungjawab menaikkan jaguh perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo akan memulakan tugasnya sebagai jurulatih perseorangan wanita Indonesia pertengahan bulan depan, iaitu lapan tahun selepas membimbing skuad kebangsaan Malaysia.

Ia adalah satu pengalaman baru yang mendebarkan buat Tat Meng, apatah lagi ini kali pertama dia membimbing pasukan luar negara, namun tekadnya hanya satu, untuk mencari kejayaan pada London 2012, biarpun bukan lagi bersama Malaysia.

Biarpun akan merindui bekas anak-anak didiknya di tanah air, Tat Meng menegaskan, beliau cukup teruja dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab menaikkan pemain Indonesia, malah akan cuba membawa status jurulatih pertama Malaysia membimbing Indonesia dengan sebaik mungkin.

"Mungkin untuk permulaan ia agak janggal kalau saya bertemu pemain Malaysia dalam sesuatu kejohanan antarabangsa sebagai jurulatih Indonesia, ini adalah pengalaman pertama saya dan ia memang sesuatu yang terlalu baru.

"Begitupun saya percaya, rasa janggal itu hanya akan bersifat sementara. Dengan kerjasama daripada Li Mao (ketua jurulatih perseorangan Indonesia) dan sokongan PBSI (Persatuan Badminton Indonesia), saya yakin semuanya dapat diatasi dengan cepat.

"Malah, biarpun belum memulakan tugasan bersama pasukan baru, matlamat saya adalah sama dengan ketika bersama skuad Malaysia, mencari kegemilangan Sukan Olimpik dan harap ia dapat dipenuhi biarpun bersama pemain yang berbeza,'' ujar Tat Meng, yang pernah menjadi pembantu Li Mao ketika jurulatih kelahiran China itu membimbing skuad Malaysia.

Jika di Malaysia Tat Meng boleh berbangga dengan Mew Choo, selain kejayaannya menaikkan pemain muda seperti Lydia Cheah, Tee Jing Yi, Sonia Cheah dan Sannatasah Saniru, di Indonesia beliau bersedia membimbing pemain yang sudah memiliki kedudukan lebih kukuh seperti Adrianti Firdasari dan Fransisca Ratnasari.

Kata Tat Meng, PBSI sebenarnya belum menentukan skop sebenar tugasan yang akan dipikul di Indonesia, namun beliau menjangkakan akan meneruskan tugas di Malaysia iaitu membimbing pemain wanita negara itu.

Ditanya bagaimanapun beliau melihat standard pemain wanita Indonesia ketika ini, Tat Meng mengakui, ia tidak jauh berbeza dengan pemain Malaysia, namun negara itu mempunyai kelebihan dua atau tiga pemain yang mempunyai kualiti hampir setaraf dengan Mew Choo.

"Kecuali Mew Choo, pemain-pemain Malaysia yang lain berada satu tahap di bawahnya, namun mereka sudah menunjukkan peningkatan seperti Tee Jing Yi, Sonia, Sannatasah dan Lydia. Di Indonesia, ada dua atau tiga pemain yang standard sama dengan Mew Choo seperti Adrianti Firdasari dan Fransisca Ratnasari.

"Buat masa sekarang saya tidak boleh cakap apa program untuk mereka menjelang Sukan Olimpik, saya hanya akan ke Jakarta pada 11 Mac depan dan melapor diri dua hari kemudian tetapi saya yakin Olimpik tetap sasaran yang harus diletakkan, sama seperti ketika di Malaysia, biarpun saya baru menyertai negara itu,'' ujar Tat Meng lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan