Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Indonesia bohong

Posted:

Indonesia bohong

Indonesia bohong


ACARA keirin tidak disenaraikan oleh Indonesia pada Sukan SEA 2011 meskipun sudah didesak oleh Persatuan Berbasikal Asia.


"SATU pembohongan besar."

Demikian rumusan yang dibuat oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) apabila mengetahui keputusan penuh 18 acara lumba basikal yang akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2011 di Indonesia hujung tahun ini.

Presiden PKBM, Abu Samah Abd. Wahab menegaskan bahawa Komite Olimpik Indonesia (KOI) dan Persatuan Berbasikal Indonesia (ICA) tidak melakukan sebarang rombakan semula terhadap mana-mana acara membabitkan disiplin trek dan basikal bukit sekali pun telah mengadakan mesyuarat pada 25 Februari lalu.

Tambah melucukan, Indonesia menyenaraikan acara 10 kilometer (km) perlumbaan mata lelaki elit dan 25km perlumbaan mata wanita sekali gus membayangkan sikap tidak jujur yang jelas membawa makna tersirat di sebalik tindakan tersebut.

"Mereka (KOI dan ICA) bukan saja tidak menghormati tindakan ACC (Persatuan Berbasikal Asia) yang telah menghantar surat jawapan balas meminta agar mereka menyenarai semula acara bersesuaian dengan Kejohanan Sedunia. Misalnya dalam disiplin trek, mereka perlu senaraikan acara keirin dan 200 meter ujian masa individu.

"Bagaimanapun, Indonesia hanya senaraikan acara 10km scratch race, 4km pursuit individu dan 10km perlumbaan mata. Sedangkan dalam surat asal kepada ACC, mereka minta nasihat daripada badan terbesar di Asia. Namun setelah diberikan nasihat, mereka sama sekali tolak mentah-mentah pandangan ACC.

"Paling melucukan ialah apabila mereka senaraikan acara 10km perlumbaan mata untuk lelaki dan 25km perlumbaan mata untuk wanita. Adakah mereka ingin beritahu kita pelumba lelaki lemah berbanding pelumba wanita. Saya benar-benar bingung dengan keputusan ini. Ia sangat melucukan," kata Abu Samah.

Abu Samah yang juga Naib Presiden ACC menjelaskan Indonesia juga hanya memilih acara yang difikirkan boleh memberi kelebihan besar kepada pelumba republik tersebut.

"Dahulu mereka berjanji akan adakan acara downhill dan cross country untuk lelaki serta wanita. Tapi apabila terima senarai penuh, kami dapati Indonesia hanya senaraikan acara downhill untuk wanita. Mereka ketepikan cross country kerana tahu ada negara lain yang kuat dalam acara ini," katanya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung ACC, Choi Boo Woong telah mengutus sepucuk surat kepada Indonesia meminta agar republik tersebut menghormati desakan negara-negara ASEAN seperti Malaysia, Thailand dan Filipina yang mahukan beberapa acara trek seperti keirin dan 200m pecut individu disenaraikan semula pada Sukan SEA 2011.

Choi menjelaskan Indonesia perlu berbuat demikian jika mahu acara berbasikal di Sukan SEA 2011 menerima pengiktirafan rasmi daripada ACC atau UCI sekali gus membolehkan beberapa pegawai penting seperti komisar dan anti-doping dihantar memantau temasya sukan dwitahunan itu.

Abu Samah menjelaskan selaku Presiden Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACA), beliau akan berhubung dengan semua ahli gabungan di Asia Tenggara untuk mendengar pandangan mereka khususnya Thailand dan Filipina yang dianggap antara kuasa besar di rantau ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kelantan dalam kelas tersendiri

Posted:

Kelantan dalam kelas tersendiri

Kelantan dalam kelas tersendiri

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


NORSHAHRUL (tengah) membuktikan dirinya sebagai penggempur berbisa dalam skuad Kelantan pada aksi menentang Negeri Sembilan kelmarin.


KELANTAN berada pada kelas tersendiri apabila membenam cabaran Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Apa yang nyata, ia adalah suatu yang cukup sempurna untuk diraikan seluruh kem Kelantan ketika pencabar utama, Perak hanya sekadar berkongsi mata selepas mencatat keputusan seri dengan Harimau Muda A sekali gus membolehkan The Red Warriors mendahului kedudukan liga dengan kelebihan dua mata.

Skuad yang dibimbing jurulatih Datuk M. Karathu itu bingkas daripada aksi hambar pada babak pertama perlawanan dengan mempamerkan permainan yang cukup bertenaga sehingga memaksa bahagian pertahanan Negeri Sembilan terpaksa bekerja keras.

Menurut Karathu, keyakinan anak-anak buahnya berada pada tahap yang cukup baik selepas keluar daripada bilik persalinan untuk aksi babak kedua selain komitmen serta disiplin yang ditunjukkan terutama di benteng pertahanan.

"Apabila pemain tidak meragui keyakinan yang ada pada mereka, sasaran akan menjadi jelas. Nyata mereka (pemain) mahukan kemenangan dan itu yang dilakukan pada perlawanan malam tadi (kelmarin).

"Sasaran kami adalah untuk sentiasa menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan.

"Kami mahu menjadi pasukan yang kompetitif dan sentiasa bersedia memberi saingan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, babak pertama perlawanan menyaksikan Kelantan dan Negeri Sembilan bergilir-gilir melakukan serangan menyebabkan keseluruhan permainan yang dipamerkan agak pantas sehingga menyebabkan tekanan terhadap pemain agak tinggi.

Jelasnya, separuh masa kedua beliau menukar sedikit taktikal pasukan dengan menggunakan Nurul Azuan Roya dan S Chanturu yang berada di bahagian sayap untuk melancarkan gerakan.

"Separuh masa pertama kita cuba bawa masuk bola melalui kawasan tengah dan itu menyebabkan kita kerap kehilangan bola kerana Negeri Sembilan memiliki pemain yang cukup baik. Kemudian kita menyerang menggunakan pemain sayap dan perubahan tersebut berhasil.

"Pujian juga harus saya berikan kepada kesemua pemain terutama di bahagian pertahanan yang cukup kental mengekang asakan lawan. Semua pemain telah memainkan peranan dengan baik," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KAFA tubuh akademi bola sepak

Posted:

KAFA tubuh akademi bola sepak

KAFA tubuh akademi bola sepak

Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my


SATHIANATHAN (kiri) menerima replika kunci kereta Proton Inspira daripada Annuar di Kota Bharu semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus maju selangkah ke hadapan dengan menubuhkan Akademi Red Warriors Al-Hambra (ARMY) dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai bakat baru dalam sukan bola sepak di negeri tersebut.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, akademi tersebut akan diuruskan oleh bekas ketua jurulatih The Red Warriors musim lalu, B. Sathianathan yang akan bertindak sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) ARMY.

Menurut beliau, buat permulaan Sathianathan ditugaskan untuk menyediakan perancangan bagi mewujudkan satu akademi bola sepak yang baik.

"Bulan ini, kita akan menyiapkan satu manual yang merupakan kurikulum kepada akademi tersebut. Manual ini akan di cetak dan bukukan, kerana kita mahu semua jurulatih mesti mengikut kurikulum yang jelas seperti ditetapkan oleh pihak akademi.

"Kita tidak mahu jurulatih mengikut kepandaian masing-masing. Jadi, tugas pertama Sathianathan ialah untuk menyiapkan modul, keduanya memilih jurulatih daripada kalangan bekas-bekas pemain Kelantan dan kita mahukan seramai 12 orang untuk mengisi jawatan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci kereta Proton Inspira kepada CEO ARMY, B. Sathianathan di The Red Warriors Station, Kota Bharu semalam.

Annuar memberitahu untuk permulaan seramai 240 peserta akan diambil menyertai akademi tersebut dan mereka akan bermula selewat-lewatnya sebelum April depan.

Katanya, sebanyak enam pusat latihan akan dibuka di seluruh Kelantan iaitu di Tumpat-Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Machang-Kuala Krai dan dua di Kota Bharu.

"Kesemua peserta akan dikenakan syarat-syarat kemasukan tertentu dan kita sedang menyediakan apakah bentuk kriteria serta undang-undang untuk peserta di enam akademi tersebut.

"Selepas sesi latihan dijalankan kita akan bentuk 12 pasukan iaitu enam di peringkat umur 12 dan 13 manakala enam lagi di peringkat 15 dan 16 tahun. Setiap pasukan akan didedahkan dalam satu kejohanan sesama mereka bagi menguji kebolehan masing-masing," ujarnya.

Tambahnya, peserta akademi tersebut akan diberikan latihan merangkumi aspek teknikal, kecergasan dan sebagainya mengikut garis panduan dan kurikulum sebenar permaianan bola sepak.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan