Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


MSN sedia atlet lebih berwibawa

Posted: 23 Apr 2011 01:24 PM PDT

TIDAK KETINGGALAN...Pemanah Cheng Chu Sian juga menggalas cabaran pada Sukan Olimpik London.
TIDAK KETINGGALAN...Pemanah Cheng Chu Sian juga menggalas cabaran pada Sukan Olimpik London.

PEMBINAAN karakter dalam usaha menyediakan atlet lebih berwibawa akan terus diberi perhatian Majlis Sukan Negara (MSN) apatah lagi berdasarkan hakikat bahawa dengan bakat semata-mata, tidak akan mampu membawa mereka ke mana-mana.

Malah tumpuan itu tidak hanya diberikan kepada atlet yang baru bertatih dalam dunia sukan malah atlet elit yang sudah melakar nama juga tidak terkecuali daripada menyertai program pembangunan karakter itu.


Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet MSN, Zaiton Othman berkata, selain bergantung kepada kemahiran dan strategi, mereka perlu dilengkapkan dengan kekuatan aspek emosi dan spiritual bagi melahirkan atlet lebih seimbang.

Menurutnya, menerusi pelbagai program bina semangat dan pengukuhan semangat berpasukan, atlet tidak hanya diberi maklumat mengenai motivasi malah turut diterapkan dengan aspek pengukuhan spiritual dan emosi yang banyak memberi dorongan kepada mereka untuk melepasi pelbagai halangan.


"Tidak semestinya jika mereka sudah lama bergelar atlet, mereka beranggapan tidak perlu lagi menyertai program seumpama ini. Dunia sentiasa berubah dan begitu juga cabaran yang menanti mereka.


"Kita tidak mahu wujud sebarang ruang kosong dalam diri mereka apatah lagi kekurangan daripada aspek spiritual. Ia perlu dicas semula setiap masa bagi memastikan mereka sentiasa bersemangat untuk mengharumkan negara," katanya.

Awal minggu ini, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz menegaskan kepentingan pembinaan karakter di kalangan atlet selain mengenal pasti beberapa atlet yang mempunyai karakter kuat, untuk berdepan cabaran Sukan Olimpik London 2012.


Jelas Zaiton, dalam usaha melahirkan atlet berkualiti, MSN terus berusaha mengadakan program berkualiti dan mendapatkan tokoh tertentu untuk berkongsi pandangan serta idea dengan kumpulan sasar.

"Kami juga tidak tertumpu kepada seminar dan bengkel semata-mata tapi juga turut mendekatkan mereka dengan program kemasyarakatan menerusi pertemuan dengan golongan tidak bernasib baik dan pengalaman seperti ini mampu menyedarkan mereka," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Jaguh muda timba ilmu

Posted: 23 Apr 2011 01:20 PM PDT

MOHD Zaqhwan Zaidi dan Mohd Amirul Musa antara pelumba bertuah apabila diberi peluang mengembangkan karier perlumbaan mereka ke tahap lebih tinggi.

Zaqhwan dan Amirul akan menyertai musim penuh kategori Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia Petronas (ARRC) apabila kejuaraan musim ini bermula di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Utara), minggu depan.


Kedua-dua pelumba itu yang mengibarkan cabaran pasukan Pachie Yuzy Honda Racing begitu teruja dengan peluang diberikan namun turut cemas membuat penampilan sulung daripada enam pusingan bersama kontinjen Petronas ARRC.

Zaqhwan, 16, berkata: "Sudah tentu saya gembira kerana diberi peluang bersaing dengan pelumba lebih hebat terutama pelumba dari Indonesia yang kita tahu handal selain agresif ketika berlumba. Pada masa sama, saya akui agak gementar.


"Pusingan pembukaan akan berlangsung di Sepang dan ini memberikan kelebihan kepada kami kerana sudah biasa dengan keadaan litar. Dengan kelebihan ini, kami harap dapat menghadapi setiap cabaran dan menggunakan pengalaman dipelajari untuk karier perlumbaan akan datang," kata Zaqhwan yang beraksi dalam kategori CP130 pada Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas.


Perasaan sama turut dikongsi Amirul. "Tahun ini kali pertama kami beraksi dan perlu menggunakan peluang ini untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin. Kami perlu memahami keadaan litar, bagaimana mengambil selekoh yang lebar, menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan perlumbaan (cuaca sejuk dan perlumbaan malam) selain perlu memahami jentera dengan lebih baik untuk perlumbaan musim ini. Sudah tentu ia bukan tugas mudah namun kami akan cuba yang terbaik," katanya.

Pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini tidak mahu pelumba berasa tertekan lantas sekadar mengharapkan mereka menamatkan perlumbaan selain tidak meletakkan sasaran tinggi.


Shahrol Yuzy berkata: "Memandangkan ini musim pertama, objektif utama kami tidak mengejar kejuaraan sebaliknya mahu membentuk Zaqhwan dan Amirul menjadi pelumba lebih matang dan profesional.

"Berlumba di Cub Prix dan ARRC berbeza. Namun, beraksi di ARRC lebih rileks berbanding Cub Prix tapi tempoh masa lebih lama sewaktu sesi latihan dan perlumbaan sebenar memberi cabaran berbeza kepada pelumba.


"Pelumba tidak boleh memandang ringan aksi lebih lama di atas litar kerana mereka perlu lebih fokus, mencari kelemahan tunggangan dan bagaimana mengatasinya. Pada kejuaraan peringkat Asia seperti ini, pelumba perlu bekerja lebih keras dan tidak boleh bergantung terhadap keupayaan jentera saja kerana stamina, kematangan dan kemahiran membuat analisis juga memainkan peranan yang amat penting." Peminat-peminat sukan permotoran tidak boleh melepaskan peluang untuk melihat penunggang Malaysia beraksi kali ini secara percuma apabila penganjur tidak mengenakan sebarang bayaran tiket untuk menyaksikannya. Tempat letak kenderaan juga percuma. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd di talian 03-87338787 atau layari laman web rasmi kejuaraan, www.arrc.com.my.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen