Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Enggan jadi pelengkap

Posted: 24 Jun 2011 10:01 AM PDT

SEJAK Dashie Ong dilahirkan hampir dua bulan lalu, jurulatih Ong Kim Swee sehingga kini hanya sempat meluangkan masa tidak sampai 10 hari bersama cahaya mata keduanya itu demi komitmen dengan skuad Harimau Muda A dan juga skuad Olimpik negara.

Pengendali negara itu sedia untuk mengorbankan lebih banyak masa bersama barisan pemainnya demi memastikan kehadiran Malaysia pada pusingan ketiga peringkat kumpulan bukan sekadar pelengkap 12 pasukan yang bersaing merebut slot ke Sukan Olimpik London.


Kim Swee jelas mahu anak buahnya menggunakan peluang beraksi dengan pasukan gergasi Asia untuk membuktikan mereka seharusnya wajar dihormati selaku wakil tunggal Asia Tenggara yang layak ke peringkat itu.

"Kita sudah tidak boleh mengelak, pusingan ketiga membabitkan pasukan terbaik Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Australia. Bukan mudah untuk kita mendapat peluang bertemu dengan pasukan seperti itu kerana kalau mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan mereka, belum tentu boleh.


"Tapi ini bukan bermakna kita akan mudah mengalah apabila berdepan mereka kerana saya yakin, berbekal persiapan rapi serta komitmen pemain ditunjukkan ketika berdepan Lubnan, kita boleh membuat kejutan," katanya.


Kim Swee, 40, membimbing skuad Olimpik bawah 23 tahun negara melangkah ke pusingan ketiga selepas menewaskan Lubnan menerusi agregat 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Turut mengiringi Malaysia ke saingan peringkat kumpulan itu adalah Australia, Korea, Jepun, Uzbekistan, Qatar, Arab Saudi, Iraq, Bahrain, Syria, Oman dan Emiriah Arab Bersatu.


Kesemua pasukan itu akan dibahagikan kepada tiga kumpulan bagi merebut tiga slot automatik ke Olimpik 2012 London manakala naib juara kumpulan akan bersaing dalam play off untuk merebut satu lagi tiket.

Menyedari halangan penuh ranjau yang bakal menanti untuk merealisasikan impian yang sudah 31 tahun dipendam rakyat Malaysia selepas kali terakhir layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980, Kim Swee berharap dapat mengatur persiapan terbaik selepas mengetahui lawan yang bakal ditentang selepas undian dilakukan pada 7 Julai ini di ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Asia di Bukit Jalil.


"Saya kena tunggu keputusan undian pusingan ketiga yang akan dibuat bulan depan selepas itu barulah saya boleh merancang lebih rapi persiapan yang akan dilakukan," katanya.


Malah perancangan yang cuba diatur Kim Swee bukan saja terarah kepada kelayakan Olimpik sebaliknya beliau pada masa sama turut akan menyediakan pasukan terbaik untuk mempertahankan pingat emas di Sukan Sea Indonesia, November ini.


"Kami akan mengharungi jadual yang sibuk dengan persiapan Sukan Sea dan kelayakan Olimpik. Selain itu saingan Piala Malaysia juga akan bermula September ini dan skuad negara juga bakal menyertai kejohanan jemputan VFF Bawah 23 tahun di Hanoi pada Oktober. Kami juga masih mempunyai baki tiga perlawanan Liga Super musim ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Irfan selesa kurang dikenali lawan

Posted: 24 Jun 2011 10:00 AM PDT

NAMANYA kurang mendapat perhatian namun Mohd Irfan Fazail lebih selesa dengan situasi itu kerana memudahkannya meledak di saat-saat penting.

Itu dibuktikannya apabila dia menyentap semangat pemain Lubnan di awal permainan dengan jaringan cantik menerusi rembatan kaki kanan yang gagal diselamatkan penjaga gol, Mohamad Dakramanji.


Bukan kali pertama pemain kelahiran Pontian, Johor itu membolosi gawang di peringkat antarabangsa kerana dia juga mencetak nama selaku penjaring ketika Malaysia menewaskan Pakistan 2-0 di Stadium Shah Alam pada perlawanan pusingan pertama kelayakan Olimpik, Februari lalu.

"Mungkin lawan tidak begitu memberi perhatian kepada saya dan mudah untuk saya mendapat ruang. Rakan-rakan juga banyak membantu mencipta peluang untuk saya.


"Jurulatih memberi arahan supaya kami mendapatkan gol awal dan saya cuba melakukannya bila dapat peluang," katanya.


Mohd Irfan sememangnya menjadi pilihan utama Ong Kim Swee untuk beraksi di posisi belakang penyerang tunggal yang selalunya diisi penyerang tinggi lampai Izzaq Faris Ramlan atau Syahrul Azwari Ibrahim.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen