Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


FAM putuskan Annuar bersalah

Posted:

FAM putuskan Annuar bersalah

FAM putuskan Annuar bersalah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

ANNUAR dikerumuni jurugambar ketika hadir ke Wisma FAM di Kelana Jaya semalam.


JAWATANKUASA Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa digantung selama dua tahun enam bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak di peringkat nasional dan negeri berkuat kuasa semalam.

Pengerusinya, Datuk Taufik Razak memberitahu, keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama lapan ahli Jawatankuasa Disiplin FAM yang bersidang hampir tujuh jam di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Terdahulu, Annuar didakwa melanggar statut FAM dengan membuat kenyataan akhbar, yang mana hanya Presiden FAM boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan. Atas kesalahan itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan selama dua tahun.

Beliau juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lalu iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebarkan kepada pihak media. Bagi pertuduhan kedua itu, Annuar dikenakan hukuman penggantungan enam bulan.

"Ahli Jawatankuasa Disiplin FAM sebulat suara membuat keputusan bahawa Tan Sri Annuar Musa didapati bersalah atas kedua-dua tuduhan tersebut.

"Justeru, pihak jawatankuasa tidak ada pilihan lain selain daripada menjatuhkan hukuman penggantungan selama dua tahun enam bulan terhadap beliau (Annuar).

"Pihak jawatankuasa juga telah menggunakan budi bicara (dengan) tidak mengenakan sebarang denda terhadap beliau," kata Taufik pada sidang akhbar di Bilik Piala Liga Wisma FAM semalam.

Jelasnya, hukuman yang dikenakan ke atas Annuar itu menyebabkan jawatan yang disandang Annuar selaku Timbalan Presiden FAM serta Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digantung serta-merta.

Selain menjawat kedua-dua jawatan utama itu, Annuar turut memegang jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dan Pengerusi Jawatankuasa Liga Super Malaysia.

"Pihak kami tidak pernah menghalang Annuar untuk memberikan penjelasan. Ini bukan kesalahan pertama beliau dan hukuman tersebut tidak boleh dibuat sebarang rayuan memandangkan ia hukuman paling mininum," ujarnya.

Sementara itu, Annuar ketika ditemui pemberita selepas kes perbicaraan tersebut berkata, beliau telah menunaikan tanggungjawab sebagai salah seorang ahli majlis FAM.

"Kepada kawan-kawan media, (saya) minta maaf sebab dalam FAM telah ditetapkan saya tidak boleh cakap kepada media, kecuali ada kebenaran bertulis daripada kongres.

"Jikalau saya nak cakap pasal FAM, saya kena tulis surat kepada kongres terlebih dahulu," katanya.

Sebelum kes perbicaraan itu bermula, kira-kira 300 penyokong Annuar berhimpun di luar pekarangan Wisma FAM sejak pukul 12.45 tengah hari sebagai tanda sokongan kepada Timbalan Presiden FAM itu.

Tidak baik berprasangka buruk

Posted:

Tidak baik berprasangka buruk

Tidak baik berprasangka buruk

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sentiasa bersikap terbuka terhadap pemilihan peneraju persatuan sukan, sama ada melibatkan kerabat diraja atau ahli politik.

Justeru Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim meminta masyarakat dan peminat sukan tempatan mengubah persepsi buruk yang menganggap pemilihan kerabat diraja atau ahli politik dalam persatuan sukan akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan sukan negara.

"Persepsi ini perlu diperbetulkan, saya berpendapat bahawa bukan orang politik yang merosakkan sukan tetapi dalam sukan kita jangan berpolitik. Itu berbeza, bukan orangnya tetapi cara kita mengendalikan persatuan.

"Contohnya, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dikatakan berpunca daripada orang berpolitik tetapi masalah KOM sejak dahulu lagi. Adakah orang politik atau orang bermain politik dalam persatuan?

"Jadi kita kena jelas, sebab itu semua persatuan yang berjaya dikendalikan dengan baik dapat melahirkan atlet yang baik seperti skuasy, boling dan basikal," kata Razali di Bukit Jalil semalam.

Ketika ini, bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyandang jawatan selaku Presiden KOM. Beliau menerajui KOM sejak tahun 2006.

Selain KOM, Shahidan turut menjawat jawatan sebagai Presiden Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persatuan Kabaddi Malaysia.

Diminta mengulas mengenai persetujuan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk dicalonkan bertanding jawatan Presiden KOM pada mesyuarat agung tahunan badan induk olahraga itu akan datang, Razali berharap ahli gabungan KOM akan memilih calon yang paling sesuai untuk jawatan tersebut.

"Kita di kementerian sudah tentu akan menyokong siapa juga yang terpilih. Kita tidak akan masuk campur dalam pemilihan ini.

"Tetapi secara peribadi, saya lihat Tunku Mahkota Johor mampu, dengan tenaga dan minat baginda sendiri dalam bidang sukan serta ketegasannya, saya percaya beliau mampu memberikan faedah dan manfaat kepada olahraga terutamanya daripada segi pembangunan (sukan olahraga)," ujarnya.

Razali berkata, negara juga berasa bertuah kerana kerabat diraja menerajui persatuan sukan.

Ketika ini, dua persatuan yang dipimpin oleh golongan istana ialah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menyaksikan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah selaku Presiden dan anakandanya, Tengku Abdullah sebagai Timbalan Presiden.

Tengku Abdullah juga merupakan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

"Presiden FAM contohnya, banyak menyumbang kepada dana bola sepak. Bola sepak merupakan sukan yang memerlukan perbelanjaan yang besar, dengan beberapa liga berlangsung sepanjang tahun, begitu juga perlawanan di luar negara yang memerlukan bajet yang besar," ujarnya.

KBS pemangkin budaya sukan

Posted:

KBS pemangkin budaya sukan

KBS pemangkin budaya sukan

Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my


IMBAS KEMBALI... Ketua Setiausaha KBS, Datuk Mohid Mohamed (enam dari kanan) bergambar kenangan bersama para pemenang ASUS 2010.


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sentiasa berusaha memperkasakan program Sukan Untuk Semua untuk melahirkan masyarakat sihat dengan penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.

Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan KBS, Siti Aishah Yahya berkata, antara usaha yang sedang giat dijalankan adalah pembinaan infrastruktur dan kemudahan sukan awam di setiap negeri bagi membolehkan akses yang mudah dalam kalangan rakyat.

Ujarnya, pembinaan sebanyak kira-kira 1,100 buah gelanggang futsal di seluruh negara yang sedang berjalan menunjukkan KBS memandang serius tentang program tersebut dalam membudayakan hidup sihat di negara ini.

"Selain futsal, antara kemudahan lain yang sedang dibina adalah 90 buah gimnasium 1Malaysia, 16 buah Kompleks Rakan Muda, 14 buah Kompleks Belia dan Sukan, dua buah Kompleks Udara dan Air serta sebuah Kompleks Sukan Kurang Upaya.

"Kesemua perancangan ini seiring dengan penganjuran beberapa program secara berkala peringkat komuniti termasuk Program Komuniti Hujung Minggu Aerobik dan Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia," kata Siti Aishah ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menurutnya, bagi menghargai pembabitan individu dan persatuan sukan dalam membangunkan program seumpama itu, KBS memperkenalkan Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) yang bermula sejak 2001.

"Majlis penganugerahan ASUS 2012 bakal berlangsung di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur Jumaat ini dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim," jelasnya.

Beliau menjelaskan, kriteria penilaian yang dijalankan merangkumi aspek penglibatan calon dalam pertubuhan dan organisasi sukan serta sumbangan calon terhadap pembangunan sukan.

"Panel penilai turut melihat keupayaan dan kecekapan calon memimpin ahli-ahli termasuk pengiktirafan yang diterima selain mampu berkomunikasi dan tampil untuk menjadi contoh kepada masyarakat," tambahnya.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Pemimpin Lelaki dan Wanita, Persatuan Sukan, Keluarga Aktif, Penggerak/Sukarelawan, Orang Kelainan Upaya Pemimpin, Kelab Sukan Komuniti (KSK) Cemerlang dan Tokoh ASUS.

Hadiah wang tunai berjumlah RM67,000 menanti calon-calon bertuah yang akan dijulang sebagai juara dalam setiap kategori yang dipertandingkan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan