Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Selangor tekad tagih 3 mata

Posted: 09 Jul 2012 12:58 PM PDT

Kuala Lumpur: Selangor wajib menang ke atas Sabah pada aksi kedua terakhir Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini, andai mahu terus bersaing merebut tempat ketiga liga yang juga slot ke Piala AFC musim depan.

Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim tidak mahu terlalu bergantung keputusan perlawanan membabitkan Perak, Terengganu dan Negeri Sembilan, sebaliknya mahu anak-anak buahnya fokus terhadap perlawanan mereka sendiri. "Pada kedudukan sekarang, kita tak perlu lagi bangkit soal perlawanan lalu yang patut kita menang dan sebagainya. Fokus kini hanya bertemu Sabah (malam ini) dan Terengganu (Sabtu ini).
"Selain hadiah wang tunai RM300,000 yang membezakan pasukan tempat ketiga dan keempat, maruah Selangor sebagai pasukan elit perlu dijaga. Tempat ketiga ini sepatutnya kita duduki selepas gagal menyaingi Kelantan dan Lions XII," kata Irfan ketika dihubungi, semalam.

Penyerang dari Croatia, Bosko Balaban kembali akan diturunkan selepas menjalani penggantungan satu perlawanan ketika Selangor membelasah Kuala Lumpur 4-0 hasil dua jaringan Amri Yahyah dan satu gol Azidan Sarudin serta Ramez Dayoub, Sabtu lalu.

"Saya yakin kita boleh tewaskan Sabah tetapi sedikit bimbang jika pemain bersikap ambil mudah. Kena berhati-hati juga kerana Sabah sedang berjuang mengelak berada di kedudukan playoff untuk turun ke Liga Perdana," jelas Irfan.

Berbaki dua perlawanan, Selangor kini di tangga ketiga dengan 40 mata, diikuti rapat Perak (39), Terengganu (38) dan Negeri Sembilan (36).

Malaysia Kuning, Biru galas cabaran negara

Posted: 09 Jul 2012 12:54 PM PDT

Dua pasukan - Malaysia Kuning dan Malaysia Biru bakal membawa cabaran negara pada kejohanan bola sepak B-13 Piala ASEAN Yamaha 2012 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Jumaat hingga Ahad ini.

Malaysia Kuning diwakili skuad B-13 negara dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang dibimbing jurulatih Haris Lajid, manakala Malaysia Biru pula gabungan pemain terbaik dari Liga 1Malaysia Cardiff City (1MCC) dengan dibimbing koordinator kejurulatihan teknikal 1MCC, Matt Holland. "Malaysia Kuning dibarisi kesemua pemain SSBJ yang sudah dikumpul sejak awal tahun ini untuk menyertai Liga KPM B-14. Dari segi pendedahan, kami cukup bersedia," kata Haris pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Holland pula berkata: "Semua pemain dipilih untuk Malaysia Biru adalah yang terbaik. Kami tak gentar, malah saya yakin mereka mampu melakukannya."

"Tiada hadiah wang tunai, hanya piala pusingan. Apa yang lebih penting, maruah negara dan ia platform terbaik buat pemain muda," kata Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran Hong Leong Yamaha, Leong King Choon.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen