Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


ALONSO TERPANTAS

Posted:

ALONSO TERPANTAS

HOCKENHEIM, Jerman – Pendahulu keseluruhan kategori pemandu perlumbaan kereta Formula Satu (F1), Fernando Alonso merakam masa terpantas pada sesi latihan terakhir pada Grand Prix Jerman semalam.

Sesi tersebut bermula dalam keadaan cuaca yang panas namun berakhir dengan hujan lebat yang turun sejak kelmarin.

Akibatnya, dua sesi latihan yang berlangsung pada hari kelmarin terjejas teruk.

Alonso, yang menjuarai GP Jerman tahun lalu mencatat masa satu minit 16.014 saat pada sesi tersebut.

Menurutnya, keadaan cuaca yang tidak menentu menjejaskan usahanya untuk melakukan catatan yang lebih baik.

Lewis Hamilton, yang akan membuat penampilan ke-100 dalam perlumbaan GP hari ini menamatkan sesi latihan semalam di tempat kedua sekali gus membawa semangat baharu dalam pasukan McLaren yang tampil agak hambar pada dua perlumbaan sebelum ini.

Rakan sepasukannya, Jenson Button mencatat masa paling lambat dalam kalangan 24 pelumba yang bersaing.

Pelumba Mexico, Sergio Perez (Sauber) muncul pelumba ketiga terpantas sementara juara dunia sebanyak dua kali dari pasukan Red Bull, Sebastian Vettel menduduki tempat kelima.

Vettel diramal bakal menguasai saingan pada GP Jerman.

Sementara itu Webber dikenakan denda lima petak ke belakang kerana telah melanggar peraturan dengan menukar kotak gear yang tidak diiktiraf. – Reuters

Mencari pemain mantapkan skuad

Posted:

Mencari pemain mantapkan skuad

HODAK sedang mengenal pasti beberapa pemain tempatan untuk ditawarkan tempat dalam skuad Kelantan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia yang akan bermula bulan depan.


JUARA Liga Super dan Piala FA musim 2012 ,Kelantan berminat mendapatkan beberapa pemain tempatan untuk memperkuatkan skuad The Red Warriors itu bagi mempertahankan Piala Malaysia apabila saingan bermula bulan depan.

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, beliau telah menemui beberapa pemain daripada pasukan Liga Malaysia yang gagal layak ke Piala Malaysia bagi membantu pasukan Pantai Timur itu mempertahankan kejuaraan buat kali kedua.

"Saya masih berharap untuk mendapatkan khidmat beberapa pemain di luar Kelantan bagi membantu kami menjuarai Piala Malaysia musim ini," katanya ketika ditemui selepas pasukannya kalah 0-5 kepada pasukan Liga Perdana England (EPL), Queens Park Rangers (OPR) pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Selangor malam kelmarin.

Mengulas penampilan sulung pemain import Guinea, Keita Mandjou pada perlawanan persahabatan itu, Hodak berkata, bekas penyerang Perak itu perlu bermain dalam beberapa perlawanan lagi bersama Kelantan sebelum beliau dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran bola sepak tempatan.

"Beliau (Mandjou) baru tiba dari India beberapa hari lalu selepas berakhirnya liga di negara itu. Saya tidak mahu memaksa beliau bermain pada tahap maksimum penuh," kata jurulatih berusia 41 tahun itu.

Selain Mandjou, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) juga mengikat empat lagi pemain import iaitu Mijo Dadic (Croatia), Dennis Antwi dan Emmanuel Okine, kedua-duanya dari Ghana, dan Zachariah Charara dari Lebanon.

Kesemua muka baru itu dibawa masuk untuk memantapkan pasukan Kelantan dalam menghadapi saingan suku akhir Piala AFC menentang Arbil FC dari Iraq pada September ini.

Ramadan bukan alasan

Posted:

Ramadan bukan alasan

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my


PENJAGA gol skuad negara, Khairul Fahmi juga berada dalam senarai pemain yang cedera.


SKUAD Malaysia XI tidak akan menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan untuk gagal mempamerkan saingan menarik ketika menghadapi Arsenal dan Manchester City dalam satu aksi persahabatan Jelajah Asia dua kelab terkemuka Liga Perdana England itu.

Arsenal akan membuat perhitungan dengan skuad Harimau Malaya, Selasa ini diikuti menentang juara Liga Perdana England, City pada 30 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kehadiran dua kelab terbaik England itu ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan sudah tentu tidak akan menjadi penghalang kepada bintang negara untuk memanaskan badan sebelum menyertai saingan Piala AFF Suzuki 2012 November depan.

Pengendali pasukan negara, Datuk K. Rajagobal turut meluahkan keyakinan terhadap kemampuan anak-anak buahnya pada aksi menentang Arsenal dan City kelak.

Menurut Rajagobal, beliau akan cuba mencari taktik yang sesuai yang mungkin dapat digunakan untuk memastikan skuad kendaliannya beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut.

"Para pemain sebenarnya sudah biasa beraksi pada bulan Ramadan kerana semua kelab dalam liga tempatan turut mengadakan latihan pramusim mereka sepanjang bulan yang mulia ini.

"Skuad negara terdiri daripada 26 pemain dan saya akan melihat nanti sama ada kami akan menggantikan pemain untuk menghadapi kedua-dua perlawanan tersebut kerana saya percaya bukan mudah bagi pemain untuk mengekalkan tahap konsisten selama 90 minit.

"Kita akan lihat situasi permainan itu nanti jika ada yang perlu ditukarkan saya akan lakukan kerana pemain tidak perlu beraksi sehingga mendatangkan kecederaan," katanya selepas Majlis Sumbangan Tiket oleh penganjur perlawanan, ProEvents kepada ahli keluarga pemain skuad negara.

Namun, perkara yang mungkin akan menimbulkan kerisauan Rajagobal ialah kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain utama negara seperti Mohd. Safee Mohd. Sali, Ahmad Shakir Mohd. Ali, Asraruddin Putra Omar, Yong Kuong Yong dan Khairul Fahmi Che Mat.

"Memang kami tidak jangka ramai pemain kita mengalami kecederaan terutamanya penyerang (Mohd. Safee Mohd. Sali dan Ahmad Shakir Mohd. Ali) tetapi saya masih lagi berfikiran positif.

"Saya berharap kecederaan Safee dan Ahmad Shakir akan pulih dalam tempoh terdekat ini.

"Kalau situasi mereka masih tidak mengizinkan juga, saya tidak akan mengambil risiko," jelas Rajagobal.

Kecederaan buku lali kiri Safee serta hamstring yang dialami Ahmad Shakir mungkin ada hikmahnya, selain memberi mereka rehat secukupnya. Ia mungkin akan memberi peluang untuk penyerang muda dari Sabah, Rozaimi Abdul Rahman beraksi.

Bagaimanapun, Rajagobal enggan mendedahkan lagi pemain pilihannya yang akan diturunkan dalam kedua-dua perlawanan itu kelak.

Katanya, beliau akan memantau dahulu tahap kecergasan para pemain kerana cabaran yang mungkin disajikan oleh kelab dari Eropah sangat berbeza.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen