Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Bayangan suku akhir

Posted: 27 Aug 2012 01:51 PM PDT

Pusingan pertama peringkat kumpulan lengkap malam ini, Kedah bagai 'telur di hujung tanduk'

Kuala Lumpur: Perlawanan pelengkap pusingan pertama kumpulan Piala Malaysia, malam ini akan menghasilkan bayangan awal - lapan pasukan yang bakal melangkah ke pusingan kalah mati dan lapan lagi mengucapkan selamat tinggal.

Andai juara Liga Perdana, Tentera yang mendahului saingan 'kumpulan maut' Kumpulan B dengan mengutip enam mata maksimum daripada dua perlawanan berjaya menjinakkan juara Liga Super Kelantan, skuad bimbingan B Sathianathan itu harus sudah meletakkan sebelah kaki mereka ke suku akhir.
Juara empat kali Kedah pula berdepan situasi berbeza kerana andai tewas kepada Terengganu, skuad Hijau Kuning itu hampir boleh melupakan kempen kali ini.

Johor, PKNS, Perak, Sime Darby, T-Team dan juara 32 kali Selangor pula menjadi enam pasukan yang setakat ini sekadar mengutip satu mata dan andai tewas peluang mereka sudah tentu menjadi lebih sempit.

Situasi dalam Kumpulan A, C dan D tidak banyak beza dengan pasukan pendahulu dan berada di tempat kedua berkongsi mata dan hanya dipisahkan dengan kelebihan jaringan.

Lagi berita-berita menarik sekitar saingan Piala Malaysia, dapatkan akhbar BH di pasaran, hari ini.

Cruyff pilih Iskandar Malaysia tubuh JCI

Posted: 27 Aug 2012 01:35 PM PDT

Johor Bahru: Malaysia bakal menjadi destinasi baru dalam pembangunan sukan di rantau Asia, apabila legenda bola sepak Belanda, Johan Cruyff, memilih Iskandar Malaysia sebagai lokasi pembukaan Institut Johan Cruyff (JCI) Malaysia.

Usaha itu bakal direalisasikan sempena lawatan lagenda bola sepak terbabit ke Iskandar Malaysia pada 4 September ini, yang menyaksikan JCI bekerjasama dengan sebuah anak syarikat Iskandar Investment Berhad (IIB).

Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata JCI Malaysia akan memberi tumpuan dalam bidang pembangunan serta pengurusan sukan yang bertaraf antarabangsa.
"Menerusi kerjasama yang bakal dijalin, JCI Malaysia akan diwujudkan di Educity, Nusajaya, sekali gus akan menjadikan Malaysia sebagai negara pertama di Asia mempunyai pusat pembangunan dan pengurusan sukan berkelas dunia.

"JCI Malaysia akan menjadi pusat pengajian tinggi pertama di negara ini yang memberi fokus dalam bidang sukan. Ini kerana ia juga akan menawarkan pelbagai kursus dalam beberapa bidang sukan di samping turut menyediakan beberapa kemudahan seperti stadium dan pusat sukan bertaraf dunia.

"Selaku institusi pengajian tinggi, JCI Malaysia akan menawarkan pelbagai program bermula di peringkat sijil sehinggalah sarjana dalam bidang pengurusan sukan," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Syed Mohamed berkata, penubuhan JCI Malaysia ini juga secara tidak langsung akan menyumbang kepada usaha melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang sama ada di bidang sukan mahu pun akademik kelak.
"Sempena kunjungan Johan Cruyff ke negara ini juga, sebuah pusat sukan dikenali sebagai Johan Cruyff Court yang dibina bersebelahan Sekolah Kebangsaan Khir Johari dekat Kampung Majidee, di sini akan dirasmikan beliau sendiri.

"Johan Cruyff Court ini adalah sebuah padang bola sepak yang direka khas dan eksklusif bagi pembangunan sukan bola sepak di kalangan murid dan pelajar sekolah," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan