Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Kita masih di landasan

Posted: 12 Sep 2012 01:29 PM PDT

Tak perlu berasa panik dengan kekalahan pertama: Rajagobal

Shah Alam: Kekalahan 2-0 kepada Vietnam, malam kelmarin seakan memberi isyarat awal bahawa misi skuad Harimau Malaya untuk mempertahankan kejuaraan pada Piala Suzuki AFF 2012, dari 24 November hingga 22 Disember depan, jauh lebih sukar.

Tatkala ramai peminat bola sepak tempatan seakan mula meragui kemampuan Harimau Malaya untuk mengulangi kejayaan gemilang 2010 itu, jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal tetap yakin skuad kendaliannya mampu menyerlah apabila tiba saingan sebenar nanti.

Apa yang penting sekarang, keyakinan saya sebagai jurulatih terhadap anak buah saya. Ketika kita tewas 3-1 kepada Vietnam pada aksi peringkat kumpulan Sukan SEA 2009, tiada siapa yakin kita akhirnya mampu memenangi emas dengan menewaskan Vietnam di final.
Sama juga pada Piala Suzuki AFF 2010, kita dibelasah Indonesia 5-1 pada aksi sulung peringkat kumpulan dan tiada siapa juga yakin kita akhirnya mampu bergelar juara menewaskan Indonesia di final.

Tak perlu panik dengan kekalahan pertama (selepas enam aksi persahabatan antarabangsa 2012). Ini kerana saya berasakan kita masih di landasan sebenar. Cuma saya sedar, saingan Piala Suzuki AFF 2012 bukan mudah dan ia pasti lebih mencabar, kata Rajagobal pada sidang media selepas aksi di Stadium Shah Alam itu.

Bukan underdog

Namun perlu diingat, kehadiran Harimau Malaya kali ini bukanlah sebagai underdog seperti dua tahun lalu, malah selaku pilihan utama yang juga juara bertahan, sekali gus menjadi pasukan yang paling ingin dikalahkan oleh pasukan lain.
Sehubungan itu, ia menuntut supaya kelemahan yang ada perlu dibaiki pada baki dua bulan terakhir ini.

Sementara itu, penolong jurulatih Vietnam, Hoang Anh Tuan tetap menganggap Malaysia sebuah pasukan kuat dengan berkata: Kami menang kerana beraksi cukup baik pada perlawanan ini. Tapi ia tidak membawa apa-apa makna kerana yang lebih penting ialah aksi sebenar di Piala Suzuki AFF nanti.

‘Perlu dilayan sama rata’

Posted: 12 Sep 2012 01:26 PM PDT

Hasihin buka mata pihak yang prihatin keupayaan atlit OKU: Dr Fadzil

Kuala Lumpur: Perlu diberi pencen! Itu pandangan Presiden Lembaga Kaunselor Profesional, Profesor Dr Mohamed Fadzil Che Din yang mahu melihat nasib atlit golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mendapat pengiktirafan sama seperti atlit normal yang berjaya memenangi pingat di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik, baru-baru ini.

Baginya, atlit memanah paralimpik negara, Hasihin Sanawi berjaya membuka mata setiap individu dan badan sukan di negara ini sekali gus menyifatkan masanya sudah tiba untuk setiap badan sukan termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS) duduk semeja membincangkan semula soal berkaitan isu pencen itu.

"Mereka perlu dilayan sama rata, cuma kita lambat sedar. Syukur, kejayaan Hasihin membuka mata banyak pihak yang mula prihatin dengan keupayaan atlit OKU yang turut mampu mengharumkan nama negara.
"Jadi, atlit OKU ini perlu diberi ganjaran secara khusus apatah lagi mereka kurang keupayaan," katanya ketika dihubungi semalam mengulas mengenai isu pemberian pencen seumur hidup yang diterima dua atlit normal - Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong Pamg - tetapi tidak diterima dua atlit Paralimpik - Hasihin dan Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru).

SHAKAM wujud diskriminasi

Hasihin dalam Sukan Paralimpik London berjaya merangkul pingat perak dalam acara recurve individu lelaki W1/W2 (berkerusi roda), manakala Muhammad Ziyad mencipta gah dengan meraih gangsa acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran).

Isu ketidaksamaan nilai imbuhan tercetus apabila wujud perbezaan ketara antara atlit normal yang meraih pingat perak diberikan imbuhan RM300,000, manakala atlit Paralimpik hanya menerima RM200,000 menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM). Pemenang gangsa bagi atlit normal pula diberikan RM200,000 tatkala atlit Paralimpik hanya menerima RM100,000.
Namun, apa yang lebih menyedarkan semua pihak apabila kejayaan dua atlit Paralimpik terbabit tidak diberikan imbuhan pencen seumur hidup seperti mana atlit normal di Sukan Olimpik London baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim menegaskan SHAKAM wajar dikaji semula.

"Ia sesuatu yang sangat baik untuk dilaksanakan kerana jika dulu kita lihat selepas temasya di Beijing, hasilnya pembinaan Kompleks Sukan Paralimpik di Kampung Pandan dan saya percaya akan ada kajian mengenai perkara ini.

"Menteri, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sudah meminta MSN bawa perkara ini dalam mesyuarat untuk dikaji semula, cuma kita perlu mematuhi prosedur kerajaan untuk melihat satu-satu perkara," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan