Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Kami difitnah’

Posted: 31 Aug 2012 12:56 PM PDT

KAMI difitnah! Itulah hujah dua tonggak Terengganu, pemain tengah, Ismail Faruqi Asha'ri dan pertahanan, Muslim Ahmad yang didakwa membawa masuk perempuan ke bilik hotel penginapan mereka di Alor Setar pada awal pagi hari perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia menentang Kedah, Selasa lalu.

Menurut Ismail Faruqi, 25, laporan disiar di dada akhbar harian itu satu pembohongan dan dia bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas kedua-dua akhbar itu.


"Berita itu menggambarkan kami tidak bermoral sedangkan kami tidak bersalah kerana tidak seorangpun perempuan masuk ke bilik kami sepanjang berada di Alor Setar.

"Kami kini dipandang serong oleh masyarakat dan saya sudah menghubungi peguam untuk berbincang mengenai tindakan undang-undang yang bakal diambil bagi membersihkan nama saya," katanya.


Kata pemain kelahiran Kuala Terengganu yang baru saja mendirikan rumah tangga lebih dua bulan lalu, jurulatih, Peter Butler menuduh mereka membawa masuk perempuan ke bilik namun beliau sebenarnya tidak berada berhampiran biliknya pada masa itu.


"Kami dikatakan membawa masuk perempuan pada jam 3 pagi namun Butler tidak ada di situ pada masa itu dan beliau sudah tentu mendapat maklumat itu daripada pihak ketiga.

"Semuanya mudah saja dibuktikan kerana hotel itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan sekiranya pihak tertentu meneliti rakaman itu, sudah tentu mereka tidak akan melihat seorangpun perempuan memasuki bilik kami," katanya.


Muslim, 23, pula berkata, memang dia pulang agak lewat malam itu namun dia tidak diiringi perempuan.

"Bukan saya tidak mahu tidur awal tapi saya cedera dan tidak disenaraikan untuk bermain menentang Kedah keesokan harinya, begitu juga Ismail yang demam dan tidak tersenarai.


"Terkejut kami apabila jurulatih menuduh kami membawa masuk perempuan ketika makan pagi dan meskipun menyangkal semua dakwaan, jurulatih masih mahu kami digugurkan daripada pasukan Piala Malaysia," katanya.


Menurutnya, dia belum membuat keputusan untuk mengambil tindakan susulan sebelum bertemu dengan pengurusan yang dijadual lewat petang semalam.


"Berita sebegini menjejaskan imej saya kerana masih bujang dan tidak tahu sejauh mana kesan berita ini ke atas Ismail yang baru saja mendirikan rumah tangga," katanya yang ingin perkara itu diperbetul dan semua pihak meminta maaf kepadanya dan Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : 01/09/2012


Butler cemar nama baik skuad Penyu

Posted: 31 Aug 2012 10:55 AM PDT

KES disiplin membabitkan dua tonggak Terengganu, Ismail Faruqi Ashari dan Mohd Muslim Ahmad tampak menggoncang kem skuad Penyu itu apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh meluahkan kekesalan terhadap jurulatih, Peter Butler yang membuat kenyataan terbuka tanpa merujuk kepada pengurusan.

Menurut Che Mat, Butler sepatutnya mengemukakan laporan rasmi dan bukannya memberikan kenyataan yang boleh memberikan imej buruk kepada pemain dan pasukan Pantai Timur itu.


"Beliau (Butler) sepatutnya bertemu saya terlebih dulu bagi menjelaskan keadaan sebenar sebelum memberikan kenyataan kepada media. Kami boleh mengambil tindakan tegas sekiranya ada bukti terhadap mereka, bukannya dengan memberikan kenyataan secara terbuka," katanya.

Tambahnya, beliau menyedari ada yang tidak kena namun Butler enggan menceritakan perkara sebenar.


"Apa yang saya tahu, selepas perlawanan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kami terus bergegas ke Kedah. Saya dimaklumkan Ismail dan Muslim tidak dapat beraksi ketika menentang Kedah kerana demam dan sakit.


"Selepas perlawanan menentang Kedah saya nampak Butler memarahi mereka di khalayak ramai ketika turun dari bilik penginapan. Saya memanggil seorang pemain untuk menceritakan apa yang berlaku dan bagi saya Butler tidak sepatutnya bertindak sedemikian," jelas Che Mat.

Artikel ini disiarkan pada : 01/09/2012


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen