Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Senarai calon cetus tanda tanya

Posted:

Senarai calon cetus tanda tanya

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

SENARAI calon yang bakal bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) terus menjadi tanda tanya.

Ini kerana sampul pencalonan tidak boleh dibuka semalam disebabkan terdapat perbezaan antara pindaan perlembagaan lama dan baharu badan induk olahraga negara itu sebagaimana dipersetujui Pejabat Pesuruhjaya Sukan tahun lalu.

Ia merupakan insiden kedua perkara seumpama itu berlaku. Kali pertama ialah pada 9 September lalu apabila Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak dapat hadir kerana difahamkan, beliau mengalami masalah kesihatan.

Disebabkan masalah terbaharu itu, KOM akan mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya Sukan, Datuk Mohd. Yasin Mohd. Salleh, Selasa ini bagi membincangkan mengenai pindaan perlembagaan tersebut supaya AGM KOM dapat diadakan pada 23 September ini.

"Pemangku Pengurus Besar KOM, Anthony Samy Silvarajoo akan mewakili kita (KOM) pada pertemuan itu nanti.

"Daripada pertemuan itu, kita boleh mendapatkan pandangan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan mengenai pindaan perlembagaan tersebut," kata Naib Presiden KOM, Datuk R. Annamalai kepada pemberita di Bukit Jalil semalam.

Terdahulu, Pejabat Pesuruhjaya Sukan memberi tempoh sehingga 31 September ini kepada KOM untuk mengadakan AGM atau berkemungkinan dikenakan tindakan tegas.

Sementara itu, Pegawai Pemantau Pemilihan Anggota Majlis KOM, T. Kumar berkata, beliau mendapati wujud perbezaan dalam beberapa klausa sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan KOM.

"Apabila saya merujuk kepada perlembagaan KOM yang diberikan kepada saya, wujud perbezaan dalam beberapa klausa sehingga bertentangan antara satu sama lain.

"Walaupun KOM melakukan pindaan terhadap klausa dalam perlembagaan KOM, saya mendapati masih terdapat sebahagian pindaan yang dikekalkan atau tidak dibatalkan.

"Selagi pindaan itu tidak dibatalkan, maka ia akan terpakai untuk proses pemilihan ahli jawatankuasa KOM yang baharu," katanya.

Dua jawatan tertinggi KOM pada pemilihan kali ini, dikatakan bakal melibatkan pertandingan tiga penjuru.

Shahidan dikatakan bakal dicabar Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS), Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal.

Timbalan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim juga difahamkan bakal dicabar dua calon iaitu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor (POAS), K. Yogeswaran.

Selain itu, sembilan calon dikatakan telah menyatakan minat bertanding jawatan naib presiden, antaranya Annamalai, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Kedah (POAK) P. Solomon; Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor (POAJ), R. Rajasegram; Setiausaha POAT, Rajemah Sheikh Ahmad serta Datuk Mumtaz Jaafar yang dicalonkan POANS.

'Buat pertimbangan sewajarnya'

Posted:

'Buat pertimbangan sewajarnya'

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my

IMBAS KEMBALI... Skuad Harimau Muda meraikan kejayaan memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pelawaan yang diterima oleh skuad Harimau Muda untuk beraksi dalam Liga Brazil merupakan satu petanda baik.

Justeru, Tengku Abdullah menjelaskan bahawa FAM perlu memberi pertimbangan sewajarnya terhadap tawaran tersebut.

"Peluang seperti ini perlu dikaji lebih teliti, jangan cepat melompat dan pemain-pemain juga harus mempunyai sikap positif supaya dapat digunakan dengan sebaik mungkin.

"Bukan sahaja di Brazil, malah negara-negara lain juga akan menjemput kita dari semasa ke semasa," titah baginda semasa ditemui pemberita di Bandar Indera Mahkota, Kuantan semalam.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan, skuad Harimau Muda di bawah kendalian Ong Kim Swee berpeluang untuk menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan SEA 2013 di Myanmar.

Namun difahamkan, perkara tersebut masih dalam perbincangan dan kata putus belum dapat diberikan oleh FAM dalam usaha memberikan pendedahan terbaik buat skuad muda negara itu.

Mengulas lanjut, Tengku Abdullah menegaskan, FAM perlu mengkaji dengan lebih mendalam baik buruk tindakan itu dan tidak memberikan persetujuan secara melulu.

"Ia dapat memberi kita pendedahan perlawanan dan tunjuk ajar yang luas kepada pemain muda.

"Saya hendak nyatakan di sini, bukan sahaja Malaysia tetapi banyak juga negara-negara ASEAN dipelawa bermain di tempat ini. Kalau kita tidak ambil perhatian kita akan kerugian," titahnya.

Mengulas mengenai kekalahan skuad Harimau Malaya kepada Vietnam baru-baru ini, baginda meminta ia dijadikan satu pengajaran.

Menurut Tengku Abdullah, semua pihak yang terlibat harus membantu jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal mengenal pasti pemain untuk beraksi dalam skuad utama negara pada kempen Piala AFF Suzuki yang dijadualkan berlangsung November depan.

"Difahamkan, Rajagobal sudah ketengahkan pemain baharu dan saya harap dalam masa terdekat, dia sudah kenal pasti 11 atau 15 orang pemain. Ini supaya dia tidak ragu-ragu dengan pemain utama dalam pasukan.

"Kekalahan itu saya rasa tidak perlu kita risau. Bila buat persiapan mesti ada kalah mesti ada menang.

"Saya harap ia menjadi iktibar, pengajaran dan satu permainan yang membolehkan dia mengenal pasti kelemahan-kelemahan dalam pasukan dan pemain.

"Kata putus bagi memilih pemain utama negara adalah di tangan Rajagobal dan hanya dia mengetahui pemain terbaik untuk beraksi dalam pasukannya," titahnya.

ATM elak silap langkah

Posted:

ATM elak silap langkah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

"JIKA kami kekal beraksi sebegini (ketika menentang Kedah), berdepan MP Muar pun kami akan kalah."

Itu peringatan jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan kepada barisan pemainnya menjelang aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada 28 September ini.

Menyedari Negeri Sembilan bakal tampil selaku pasukan pilihan, Sathianathan awal- awal lagi telah mengingatkan anak-anak buahnya tidak mengulangi kesilapan yang sama ketika mereka seri 2-2 dengan Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) malam kelmarin.

"Saya tidak tahu bagaimana para pemain saya hilang rentak dan mereka beraksi di bawah tahap sebenar. Fokus dan disiplin mereka bagaikan hilang pada separuh masa kedua.

"Saya tidak mahu mereka 'main-main' meskipun mendahului dua gol dan pemain-pemain harus menyedari mereka tidak boleh memandang rendah kepada mana- mana pasukan lain.

"Jadi saya harus memikirkan cara untuk memperbaiki setiap kelemahan itu agar kesilapan yang sama tidak berulang ketika menentang Negeri Sembilan nanti.

"Kami tidak boleh mengambil ringan pertemuan dengan Negeri Sembilan. Mereka merupakan juara bertahan dan memiliki pengalaman lebih berbanding kami," kata Sathianathan kepada Kosmo! Ahad semalam.

Begitupun, beliau tetap berpuas hati dengan hasil usaha pemain-pemainnya selepas berjaya mencapai misi ke peringkat kalah mati Piala Malaysia.

"Secara peribadi, saya gembira dengan kejayaan ATM ke peringat suku akhir tetapi kalau boleh, biarlah pasukan mampu mara ke final.

"Kami telah membuktikan dengan melepasi cabaran 'kumpulan maut'.

"Saya percaya kualiti yang ada pada skuad ini. ATM boleh dianggap sebagai salah satu pasukan terkuat dan kami memiliki peluang untuk berbuat demikian," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan