Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


KLHC mahu selesai awal

Posted:

KLHC mahu selesai awal

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

KLHC (jersi merah) mahu menyelesaikan tugas sebagai juara lebih awal.


KELAB Hoki Kuala Lumpur (KLHC) tidak mahu menunggu sehingga ke perlawanan terakhir Ahad ini untuk bergelar juara Liga Premier pada Liga Hoki Malaysia Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2012 tetapi mahu 'melangsaikan' terus hari ini.

Demikian tegas jurulatih KLHC, Muhammad Dharma Raj Abdullah yang mahukan kemenangan mutlak ketika berhadapan UniKL di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Hanya kemenangan yang membolehkan mereka bergelar juara Liga Premier sekali lagi dan tidak perlu menunggu hingga ke perlawanan terakhir berhadapan TNB, Ahad ini.

"Sudah pastinya kami tidak mahu menunggu sehingga perlawanan terakhir bagi mengesahkan gelaran juara, namun harus diingat bahawa kami tidak boleh terlalu yakin kerana UniKL pasti turun bermati- matian untuk menang dalam dua perlawanan terakhir mereka.

"Selain itu, TNB juga pasti mengharapkan magis UniKL untuk membenam KLHC seterusnya menghidupkan peluang mereka bagi membuat perhitungan terakhir dengan kami Ahad ini," kata Muhammad Dharma Raj kepada Kosmo! semalam.

Katanya, beliau sedikit gusar dengan kecergasan pemainnya kerana terdapat beberapa pemain utama yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan namun ia bukan penghalang untuk mereka meraih tiga mata.

Secara realistik, kedudukan KLHC masih belum selamat kerana mereka kini mengumpul 19 mata, tiga mata di hada- pan TNB di tempat kedua.

Sapura pula di tempat ketiga dengan 12 mata dan mereka masih boleh mencongak gelaran naib juara jika membenam TNB hari ini.

Minggu ini merupakan minggu sibuk bagi semua pasukan Liga Premier kerana kesemua pasukan pasti berazam memenangi baki dua perlawanan untuk berada dalam kelompok empat terbaik seterus- nya layak ke separuh akhir Piala TNB.

Sementara itu, dalam Divi- syen 1 pula, selepas lima perlawanan, Angkatan Tentera (ATM) menguasai saingan apabila mengumpul 11 mata, diikuti Thunderbolts di tempat kedua dengan 10 mata mana- kala Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dan Johor di tempat ketiga serta keempat berkongsi sembilan mata.

Bagi perlawanan Divisyen 1 hari ini, Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan bertemu Uniten pada pukul 4 petang dan perlawanan Liga Premier pula bakal menyaksikan Uni- KL menentang KLHC serta Maybank menentang Nur Insafi pada pukul 6 petang.

Waspada kebangkitan Lebah

Posted:

Waspada kebangkitan Lebah

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PEMAIN Selangor (jersi kuning) diingatkan agar tidak terlalu yakin pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor FC, 2 Oktober depan.


ATAS kertas, Selangor dilihat seolah-olah sudah 'sebelah kaki' ke separuh akhir Piala Malaysia hasil kemenangan selesa 3-1 ke atas Johor FC dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Pasir Gudang, Selasa lalu.

Tidak mustahil, skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim kini sudah boleh 'berkira-kira' memikirkan lawan mereka di separuh akhir nanti - sama ada Kelantan ataupun Felda United.

Begitupun, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin tidak mahu pemain Gergasi Merah dibuai mimpi indah selagi aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam, Selasa depan belum berakhir.

Menurut beliau, pasukan Merah Kuning harus berwaspada dengan kebangkitan Sang Lebah jika enggan berputih mata dalam merealisasikan 'Misi 33' kali ini.

"Lumrah dalam bola sepak, apa juga boleh berlaku. Silap-silap Selangor boleh tersingkir jika tewas 0-3 dalam perlawa- nan itu.

"Jadi, saya harap pemain dapat mempamerkan karakter sebenar dalam perla- wanan itu biarpun selesa mendahului menerusi agregat.

"Bukan apa, ia juga sebagai penghargaan kepada penyokong kami yang sanggup datang ke stadium," katanya kepada Kosmo! semalam.

Menganggap masih terlalu awal untuk memikirkan siapa lawan mereka pada peringkat separuh akhir nanti, Hamidin menegaskan, pasukan itu komited dengan pertembungan bersama Johor FC terlebih dahulu.

"Masih ada 90 minit aksi suku akhir kedua, sudah habis perlawanan nanti baru boleh fikir siapa lawan kami pada separuh akhir," katanya.

Pada masa sama, Hamidin juga menegur kesilapan tonggak pertahanan, Bunyamin Omar yang dilayangkan kad merah pada pertemuan pertama tempoh hari dan berharap pemain tersebut tampil lebih matang.

Dakwaan biarlah berasas

Posted:

Dakwaan biarlah berasas

YUNUS ALIF... Jurulatih T-Team bagi musim 2012.


BANYAK perkara boleh dibahaskan apabila tersiarnya kenyataan media oleh pengurus T-Team, Rozi Mamat berkaitan isu elaun tertunggak melibatkan sejumlah pegawai pada peringkat pengurusan pasukan tersebut.

Dalam kenyataannya yang disiarkan Kosmo! pada 17 September, beliau berkata bahawa dakwaan berlakunya elaun tertunggak selama tiga bulan melibatkan lima pegawai T-Team sebagai suatu hal yang tidak ber- asas.

Benarkah isu hangat itu tidak berasas dan apa sebenarnya maksud tidak berasas?

(Kamus Dewan Edisi Keempat (halaman 82) mentakrifkan kosa kata asas dalam dua makna iaitu pertama; asas merupakan alas, dasar, atau tapak sesuatu bangunan; dan kedua, asas ialah sandaran bagi sesuatu perbuatan seperti tindakan, kesimpulan dan tuduhan).

Jika bijak dan adil melihat isu, perkara utama yang timbul ialah elaun tertunggak.

Berapa orang pegawai yang terlibat, berapa bulan elaun tidak dibayar, dan apa punca elaun tidak dibayar sudah menjadi kedua, ketiga, dan seterusnya.

Jadi, memang wujud hakikat bahawa ada sejumlah pegawai mengalami kelewatan menerima elaun (gaji) dan keadaan itu tidak membolehkan pihak tertentu dengan mudahnya berkata bahawa isu itu tiada asas.

Asas memang ada. Hakikat itu terbukti dalam ungkapan Rozi pada perenggan 3, 4, 7, dan 8 laporan akhbar Kosmo! pada halaman 62.

Ada kemungkinan bahawa yang dimaksudkan Rozi sebagai tidak berasas itu ialah fakta isu berkenaan tidak tepat atau kurang tepat.

Jika itulah yang dimaksudkannya, maka kenyataan beliau boleh diterima sekiranya memang benar bahawa hanya tiga; bukannya lima pegawai terlibat dan hanya sebulan; bukannya tiga bulan elaun tertunggak.

Sungguhpun begitu, dari segi ketepatan komunikasi, jika itulah hakikatnya, maka hakikat perlu diterima bahawa isu elaun tertunggak memang berasas, namun wujud kelemahan dari segi kredibiliti fakta.

Ramai yang tidak tahu apa sebenarnya berlaku atau siapakah yang benar dan siapa yang salah dalam kemelut ini.

Yang perlu diperhatikan, sungguhpun kelewatan bayaran itu cuma berlaku ke atas tiga pegawai dan melibatkan sebulan bayaran, isu ini tidak seharusnya terjadi.

Tiga pegawai berkenaan mempunyai tanggungjawab nafkah sekurang-kurangnya ke atas diri sendiri; apatah lagi jika mereka juga tonggak pencari rezeki keluarga.

Kelewatan bayaran elaun itu pula melibatkan keperluan hidup pada bulan Ogos yang kebetulannya merupakan sebahagian bulan Ramadan dan bulan Syawal.

Rasanya kita tidak perlu memanjangkan hujah berkaitan keperluan perbelanjaan pada bulan berkenaan kepada umat Islam jika semua atau sebahagian pegawai itu penganut Islam kerana mereka sudah sedia maklum akan hal itu.

Maka, pada masa-masa akan datang, jika hayat T-Team panjang, isu kelewatan elaun kepada sesiapa pun dan melibatkan berapa bulan pun perlulah dielakkan kerana hal seumpama ini menjejaskan reputasi dan prestasi pasukan.

Frasa 'ada niat yang tidak baik dan cuba menangguk di air keruh' sebagaimana yang ada pada perenggan 3 laporan akhbar Kosmo! itu pula jika benar diujarkan Rozi, perlu difikirkan sebelum dilantunkan kepada media.

Sekiranya benar ada pihak berniat tidak baik ke atas T-Team, kata-kata itu wajar, namun jika pendedahan pihak yang berkenaan itu benar dan tidak lebih daripada menuntut hak mereka, maka impak negatifnya kepada pengurusan T-Team besar sekali.

Tulisan ini tidak bermaksud untuk memburuk-burukkan sesiapa. Yang dihasratkan cuma T-Team terus maju dan terus relevan bersaing dalam kancah tertinggi bola sepak Malaysia.

Selain itu, semua pihak perlu tahu bahawa ketidaktepatan sebahagian fakta dalam sesuatu isu tidaklah semesti- nya bermakna isu itu tiada asasnya.

Jika hal ini difahami, komu- nikasi akan menjadi lebih matang dan berwibawa. - ALIAS ISMAIL

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan