Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Owona sertai skuad Penyu

Posted: 28 Oct 2012 03:29 PM PDT

Kuala Terengganu: Pencarian penyerang berbisa untuk pasukan Terengganu sudah berakhir. Pemain tinggi lampai Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona, yang menjaringkan 24 gol dalam semua pertandingan musim ini, sudah sah menjadi milik mereka.

Berasal dari Cameroon, berusia 28 tahun dan berketinggian 1.91m, Owona menandatangani kontrak setahun dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di pejabat urusan PBSNT di Wisma Seri Amar, di sini, semalam.

Owona yang lebih dikenali sebagai Effa di kalangan peminatnya bakal memulakan tugas barunya bersama pasukan Penyu pada 1 Disember ini, mengambil tempat yang dikosongkan penyerang Liberia, Francis Doe, yang tamat kontrak pada 30 November.

"Saya gembira mendapat peluang beraksi dengan Terengganu musim depan kerana saya tahu pasukan ini sedang berusaha untuk membentuk pasukan baru yang mampu untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim depan.

"Saya memang mempunyai pengalaman manis di Negeri Sembilan selepas menjaringkan 24 gol, namun saya pasti nasib saya akan bertambah baik di Terengganu dan boleh menjaringkan lebih banyak gol di sini nanti," katanya.

Bekas pemain antarabangsa Cameroon dan FC METZ di Perancis itu, berkata dia kini dapat pulang bercuti di kampung halamannya di Ikbongo, Cameroon, dengan aman selepas urusan menandatangani kontraknya dengan pasukan Penyu selesai.

"Saya akan kembali semula pada minggu akhir bulan depan dan kali ini, saya juga akan membawa isteri dan anak untuk menetap di Kuala Terengganu sepanjang tempoh kontrak saya nanti.
Kata Owona lagi, dia tidak perlu berfikir panjang untuk menerima tawaran Terengganu kerana dia tahu Terengganu mempunyai ramai pemain berkualiti tinggi, dan sejak bermain dalam Liga Malaysia dia sudah mengenali beberapa pemain Terengganu dan tidak sabar untuk menjalinkan hubungan lebih baik dengan mereka.
Sementara itu, pengurus pasukan, Marzuki Sulong, berkata seorang lagi pemain import akan dipilih awal bulan depan.

Harimau Muda A kekal dalam Liga Singapura

Posted: 28 Oct 2012 03:29 PM PDT

Shah Alam: Harimau Muda A dijangka terus kekal beraksi dalam Liga Singapura musim depan berdasarkan kontrak empat tahun bermula 2012 yang ditandatangani Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), Julai lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad bagaimanapun berkata situasi itu boleh berubah memandangkan skuad bimbingan Ong Kim Swee itu perlu membuat persediaan rapi untuk mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA di Myanmar, tahun depan.

Menurut Azzuddin, spekulasi bahawa Harimau Muda A bakal menyertai liga lain di luar negara, hanya khabar angin kerana jawatankuasa eksekutif FAM belum membuat keputusan mengenai perkara itu.

"Kita bagaimanapun bercadang menghantar mereka menyertai latihan di Eropah sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA tahun depan," katanya kepada pemberita selepas seminar Liga Malaysia 2013-2016 semalam.

Sebelum ini dilaporkan, FAM bercadang menghantar skuad Harimau Muda A menyertai Liga Brazil sebagai persiapan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA.

Sementara itu Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM akan mengadakan perbincangan dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam tempoh terdekat bagi mewujudkan sebuah badan bebas yang akan mentadbir liga bola sepak tempatan.

BERNAMA

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan