Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Ini tidak adil’

Posted: 12 Oct 2012 11:01 AM PDT

BEKAS Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim tetap dengan pendiriannya mendakwa tidak bersalah dalam kes yang membabitkan pertuduhan terhadapnya.

Karim menyifatkan hukuman penggantungan enam tahun yang dijatuhkan kepadanya itu tidak adil dan menyamakan keputusan dibuat KOM itu seperti 'Mahkamah Kanggaru'.


"Ia seperti Mahkamah Kanggaru kerana mereka membuat keputusan tanpa garis panduan, malah bekas Presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menghubungi saya turut terkejut dengan keputusan itu. "Tapi saya sedar, sebenarnya ada pihak dalam KOM yang mempunyai agenda untuk cuba menjatuhkan dan memalukan saya," katanya.

Apapun Karim mempunyai 'senjata' tersendiri untuk mendedahkan mereka yang terbabit dan akan mengadakan sidang media dalam tempoh terdekat.


Katanya, beliau akan berusaha membersihkan namanya dan membongkar lebih banyak salah laku negatif yang membabitkan pegawai KOM.


"Saya ada bukti termasuk penyelewengan wang dalam KOM. Saya akan membuat laporan dan menghantarnya kepada Pesuruhjaya Sukan untuk mereka mengambil tindakan dan jika tiada apa-apa tindakan, saya akan membawa perkara itu kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Tunggulah," katanya yang menegaskan keadilan perlu ditegakkan.

Kelmarin, Karim dijatuhkan hukuman penggantungan enam tahun oleh KOM selepas didapati bersalah oleh Presiden baru, Datuk Zainal Abidin Ahmad dengan Karim juga dilarang bertanding dalam sebarang pemilihan jawatan peringkat kebangsaan atau negeri dan jawatan yang kini disandangnya selaku Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Melaka turut terlucut.


Hukuman itu dijatuhkan berdasarkan hak dimiliki KOM mengikut perlembagaan dan kuasa selaku badan induk olahraga dan Karim tidak dibenarkan merayu selepas semua ahli majlis memperhalusi maklumat berhubung laporan yang dikendalikan secara sukarela oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri V C George. Laporan itu adalah hasil siasatan berhubung petisyen 42 atlet dan 16 jurulatih olahraga yang diserahkan kepada Shahidan pada 13 Februari lalu.

Jawatankuasa itu ditubuh bagi mengumpul fakta isu doping membabitkan atlet olahraga pada Sukan Sea Indonesia selain isu enam atlet lari daripada ujian doping yang menggemparkan sukan tanah air apabila kedua-dua kes itu dikaitkan dengan Karim.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/13


UiTM, KKS tepati ramalan

Posted: 12 Oct 2012 09:48 AM PDT

JUARA bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan naib juara tahun lalu, Kolej Komuniti Selangor (KKS) layak ke suku akhir Grand Final Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi 2012, semalam.

Kejohanan di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan itu menyaksikan kedua-dua pasukan muncul juara Kumpulan D dan C dengan memungut sembilan mata.


Pada suku akhir hari ini, UiTM akan bertemu naib juara Kumpulan C, Universiti Multimedia Malaysia (MMU) manakala KKS yang menerajui Kumpulan C menentang naib juara Kumpulan D, KK Pahang.

Pengurus UiTM, Ezwan Othman berkata, mereka mengimpikan untuk melakar hatrik tahun ini selepas muncul juara 2010 dan tahun lalu.


"Dengan mempertaruhkan dua pemain kebangsaan, Mohd Ali Mahat dan Ahmad Fawzul Hadzir Mohamad, kami percaya mampu membentuk persefahaman untuk muncul juara sekali lagi.


"Biarpun pasukan lain akan cuba memberi tentangan tapi dengan pengalaman yang ada, kami yakin kejayaan akan memihak UiTM buat kali ketiga berturut-turut," katanya.

Empat pasukan lain yang layak ke suku akhir ialah juara Kumpulan A, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang akan menentang naib juara Kumpulan B, Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) manakala juara Kumpulan B, Politeknik Merlimau Melaka (PMM) bertemu naib juara kumpulan A, Politeknik Shah Alam (PSA).


Pada kejohanan kali ini, juara pasukan lelaki bakal membawa pulang wang tunai RM20,000, naib johan (RM10,000), ketiga (RM5,000) dan keempat (RM3,000) manakala juara wanita pula menerima RM10,000, naib juara (RM5,000), ketiga (RM3,000) dan keempat (RM1,000).

Sebanyak 16 pasukan lelaki berentap bagi meraih gelaran juara di Grand Final Liga Futsal IPT ini manakala wanita hanya lapan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/13


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan