Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Rooney tenang teraju England

Posted: 13 Oct 2012 03:26 PM PDT

LONDON: Wayne Rooney mencatat kenangan indah minggu ini apabila jaringan berganda kapten England itu mencetus semangat untuk menewaskan San Marino, 5-0 dalam kelayakan Piala Dunia di Wembley, pagi semalam.

Begitupun kejayaan itu dicemari insiden yang menggerunkan skuad Three Lions apabila Theo Walcot rebah selepas berlanggar dengan penjaga gol San Marino, Aldo Simoncini dan dikejarkan ke hospital.


Tanpa kapten Steven Gerrard yang digantung, Rooney menggalas tugas menerajui skuad England buat pertama kali dalam perlawanan kompetitif, pada minggu sama dia mendapat khabar isterinya, Coleen hamil anak kedua mereka dan penyerang Manchester United itu meraikannya dengan penuh bergaya.

Sewaktu skuad Roy Hodgson bertungkus lumus untuk menewaskan antara pasukan paling lemah di Eropah, Rooney berjaya menyelamatkan keadaan apabila meledak penalti pada separuh masa pertama dan menjaringkan gol ketiga selepas Danny Welbeck meledak gol kedua England.


Jaringan ke-30 dan 31 England disempurnakan pemain berusia 26 itu meletakkannya di tangga kelima penjaring terbanyak sepanjang zaman bersama Alan Shearer, Tom Finney and Nat Lofthouse.


Welbeck turut menjaringkan satu lagi gol untuk jaringan keempat England sebelum Alex Oxlade-Chamberlain melengkapkan kemenangan dengan gol antarabangsa pertamanya.

"Ia bukan satu keputusan yang teruk apabila memikirkan sukar bergerak dengan 10, 11 pemain mereka mengejar bola," kata Rooney.


"Saya amat bangga berada di tangga kelima penjaring terbanyak England." Hodgson menyifatkan kesabaran anak buahnya menjadi rahsia kejayaan mereka.

"Hantaran bola kami sejak awal hingga akhir permainan mantap dan bermain seperti yang kami inginkan. Tidak adil jika ada yang mengkritik apabila kami menang 5-0." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14


Penentu juara

Posted: 13 Oct 2012 03:24 PM PDT

POLITEKNIK Kota Kinabalu (PKK) layak ke perlawanan akhir kategori wanita Grand Final Liga Futsal Institut Pengajian Tinggi (IPT) merebut Piala Menteri Pengajian Tinggi 2012 apabila menewaskan Politeknik Ungku Omar (PUO), 3-0 di Kompleks Sukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan, semalam.

Percubaan kali kedua PKK itu membuahkan hasil lumayan buat skuad kendalian Noor Mohd Kamal itu selepas hanya menduduki tempat ketiga tahun lalu.


Pada perlawanan akhir hari ini, PKK akan bertemu juara bertahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 4-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir, semalam.

Bagi Noor, kejayaan skuadnya mara ke final adalah hasil persefahaman dan kerjasama semua pemain yang mempamerkan komitmen tinggi sejak saingan peringkat kumpulan.


"Saya berterima kasih kepada pemain kerana bijak mengawal perlawanan dan mencatat kemenangan selesa 3-0 untuk menempah tiket ke final. Kejayaan ini juga hasil latihan intensif dan kami menurunkan pemain sama yang beraksi tahun lalu.


"Namun UiTM pasti memberi saingan sengit kerana mereka pasti berhasrat mempertahankan kejuaraan. Namun, jika dinilai prestasi semasa, kami mampu merampas kejuaraan kali ini.

"Seri 1-1 dalam peringkat kumpulan membuktikan peluang untuk muncul juara tetap ada. Kini, terpulang kepada pemain untuk melakar kemenangan," katanya.


Sementara itu, jurulatih UiTM, Mohamad Ezuan Othman mengaku peluang pasukannya mengekalkan kejuaraan 50-50 berdasarkan prestasi dan pemain yang disenaraikan kali ini.

Tanpa empat pemain utama musim lalu, kekebalan UiTM sebelum ini sedikit luntur sekali gus menuntut komitmen dan kesungguhan lebih tinggi untuk menjulang kejayaan buat kali kedua berturut-turut.


"Saya harap masalah hilang tumpuan pada lewat permainan tidak berulang seperti saingan peringkat kumpulan. Pada masa sama, pemain perlu meningkatkan persefahaman jika mahu membenam PKK," katanya.


Juara kategori wanita membawa pulang wang tunai RM10,000 dan pingat, naib johan (RM5,000 dan pingat), ketiga (RM3,000 dan pingat) dan keempat (RM1,000 dan pingat).

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan