Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Saya cukup masak’

Posted: 26 Oct 2012 09:40 AM PDT

JURULATIH Harimau Muda, Ong Kim Swee sudah cukup bersedia menghadapi apa saja kemungkinan pada masa depan selepas dihimpit cabaran demi cabaran yang langsung tidak menghalangnya membantu anak buahnya melakar kejayaan.

Pujian wajar diberikan kepada pengendali berusia 41 tahun itu kerana ketika berdepan masalah serta tekanan, Kim Swee tidak pernah mengecewakan peminat tempatan apabila terbaru membimbing anak buahnya menjuarai Kejohanan Jemputan Newspaper Cup di sebalik kehilangan kebanyakan tonggak utama kerana kecederaan serta di panggil menjalani latihan bersama Harimau Malaya.


Itu bukan satu-satunya masalah yang pernah di hadapi Kim Swee malah beliau pernah berdepan cabaran lebih besar ketika membantu skuad negara mempertahankan pingat emas pada temasya Sukan Sea di Indonesia, tahun lalu.

"Saya sudah cukup masak menghadapi masalah kecederaan serta pemain dipanggil skuad utama. Memanglah saya akui kadangkala agak tertekan dan mengeluh tapi saya cuba ubah tekanan itu kepada satu cabaran.


"Takkanlah saya mahu mengalah awal-awal. Apa kata pemain pula nanti, sudah tentu mereka akan berasa kecewa jika saya mempunyai mentaliti seperti itu.


"Jadi walau apapun berlaku, saya perlu kuat dan cuba mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang saya hadapi.

"Cabaran demi cabaran ini menguatkan lagi semangat saya dan sudah bersedia menghadapi apa saja kemungkinan selepas ini," luah Kim Swee.


Ada yang mengganggap kempen Harimau Muda pada Kejohanan Jemputan Newspaper Cup di Vietnam baru-baru boleh 'bungkus awal' selepas Kim Swee kehilangan lima tonggak utama kerana disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya untuk persiapan aksi persahabatan menentang Hong Kong pada 16 Oktober lalu.

Lebih parah, Kim Swee turut berdepan masalah kecederaan membabitkan pemainnya sehingga menyaksikan hanya bergantung kepada 14 pemain saja untuk menggalas cabaran di Vietnam.


"Bagi saya pujian wajar diberi kepada pemain kerana mereka tidak pernah panik ketika berdepan tekanan termasuk ketika di Vietnam," kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Aura Vettel

Posted: 26 Oct 2012 09:36 AM PDT

GREATER NOIDA, (India): Penyandang juara dunia, Sebastian Vettel mengungguli kedua-dua sesi latihan bebas Grand Prix India, semalam, ketika dia cuba untuk memenangi trofi keempatnya berturut-turut dan kemenangan bersejarah yang ketiga bagi takhta pemandu.

Pemandu Red Bull berusia 25 tahun itu merampas pendahulu kejohanan di perlumbaan terakhir di Korea Selatan dan berusaha untuk menjadi juara dunia tiga kali Formula Satu paling muda, apabila mencatat masa terpantas satu minit 26.221 saat pada sesi kedua.


Dia menamatkan cabaran di depan rakan sepasukan dari Australia, Mark Webber manakala Fernando Alonso (Ferrari), pendahulu kejohanan sebelum ini sebelum digantikan Vettel, ketiga.

Pemandu Jerman, Nico Rosberg keempat dalam kereta Mercedes di depan Kimi Raikkonen dari Lotus dan dua pemandu McLaren dari Britain, Lewis Hamilton serta Jenson Button.


Nico Hulkenberg, kelapan untuk Force India di depan pemandu Perancis, Romain Grosjean yang memandu untuk pasukan kedua Lotus serta Bruno Senna dari Brazil untuk Williams.


Pada hari cerah dan panas dengan suhu 28 darjah selsius, keadaan itu hampir sempurna buat Vettel ketika dia meneruskan prestasi cemerlang di Asia dengan mendahului sesi pertama dari Button selain mengekalkan kedudukan di depan pemandu lain pada sesi kedua.

Kemenangan di Singapura, Jepun dan Korea Selatan melonjakkan Vettel untuk mendahului tipis enam mata dalam senarai kedudukan tapi dengan persembahan jitu serta keyakinan tinggi menyaksikan pemandu Jerman itu mampu meraih takhta menerusi empat perlumbaan terakhir.


Kedua-dua Alonso dan Hamilton yang akan meninggalkan McLaren untuk Mercedes tahun depan turut kagum, tapi wujud sentimen yang Red Bull kini berada dalam kedudukan terbaik yang pernah memberikan mereka takhta berganda pada 2010 dan 2011. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan