Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Perang psiko Fergie

Posted: 27 Oct 2012 06:47 AM PDT

LONDON: Alex Ferguson mengakui revolusi Chelsea tidak mudah ditangani Manchester United pada perlawanan penting malam ini sekalipun beliau tahu apa yang akan dilakukan Blues.

Sejak mereka memenangi kejuaraan Liga Perdana kali terakhir pada 2010, Chelsea beberapa kali cuba memantapkan semula skuadnya.


Carlo Ancelotti mahupun Andre Villas-Boas gagal melakukannya namun Roberto Di Matteo sedikit sebanyak berjaya melaksanakannya.

Pemangkinnya adalah pemergian Didier Drogba ke China berikutan tindakan keperwiraannya pada final Liga Juara-Juara, Mei lalu.


Nicolas Anelka sudah pergi begitu juga Michael Essien, yang dipinjamkan ke Real Madrid dan Frank Lampard bergelut mencari semula prestasi terbaiknya, jadi peluang untuk melakukan perubahan lebih mudah daripada disangkakan.


Seperti yang dikehendaki pemilik Roman Abramovich, Chelsea menemui jalan terbaru dengan penampilan Juan Mata, Eden Hazard dan Oscar menghasilkan permainan serangan menarik dan menghiburkan.

"Chelsea sering mempunyai alternatif bermain dengan Drogba di depan," kata Ferguson.


"Mereka boleh bermain hantaran jauh atau melorongkan bola menerusi bahagian tengah.

"Kini ia hanya satu aliran saja. Ia menerusi bahagian tengah sepanjang masa.


"Tapi ia bukannya satu sistem yang mudah ditangani. Oscar dan Hazard dua pemain yang memiliki gaya sama. Dan dengan Mata ketiga-tiganya bermain di belakang penyerang utama.


"Kami perlu mencari jalan untuk menanganinya." Sebelum kekalahan pada kempen Liga Juara-Juara di Donetsk pertengahan minggu ini, sistem itu ternyata berjaya.


Chelsea setakat ini hanya keciciran dua mata dalam Liga Perdana - keputusan seri tanpa jaringan di QPR - layak ke pusingan 16 terakhir Piala Liga dan berada dalam kedudukan yang baik dalam Liga Juara-Juara.


Ferguson berharap kunjungan ke Ukraine menghadirkan elemen keraguan dalam kem Blues dan dipergunakan sebaik mungkin oleh pemainnya di Stamford Bridge, malam ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


Peluang Hairi pamer bakat

Posted: 27 Oct 2012 06:37 AM PDT

HAIRI Zaid Ahmad Saroji disifatkan gimnas harapan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) ketika ini selepas dipilih menjadi wakil tunggal ke Kejohanan Asia Kelima di Putian, China, minggu depan.

Setiausaha Kehormat MGF, N Shanmugarajah berkata, Hairi dijangka akan berentap dengan 140 gimnas terbaik dari 20 negara Asia.


"Meskipun ini adalah penyertaan sulungnya di kejohanan ini, ia diibaratkan medan penting bagi Hairi untuk mencipta ranking di peringkat Asia.

"Malah, ia juga untuk memperkenalkan semula kebangkitan gimnas lelaki Malaysia di peringkat Asia selepas pengunduran atlet sebelum ini.


"Kami yakin Hairi mampu mengibarkan cabaran namun tidak meletakkan tekanan sebarang pingat. Kami optimis dia akan melakukan yang terbaik di China walaupun akur dengan kehebatan tuan rumah," katanya.


Mengulas lanjut, kejohanan itu akan diadakan dari 7 hingga 15 November di Pusat Sukan Putian dengan Kesatuan Gimnastik Asia bersama-sama kerajaan Putian.

"Sejak tahun lalu, gimnas lelaki tidak didedahkan dengan mana-mana kejohanan utama di luar negara. Maka, ini disifatkan landasan terbaik untuk mereka membuka lembaran baru bagi 2013.


"Sememangnya kami sedang merangka strategi terbaik untuk membangunkan semula sukan gimnastik negara khususnya acara lelaki dan Hairi adalah antara satu daripadanya," katanya.

Buat masa ini skuad kebangsaan hanya mempunyai dua gimnas saja, selain Hairi seorang lagi adalah Daniel Iskandar Richard.


MGF ketika ini sedang memantau muka baru untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan dan setakat ini empat gimnas dari Pahang dan Terengganu sudah dikenal pasti.


Bagaimanapun, sebarang keputusan muktamad hanya akan ditentukan menerusi pemantauan lebih terperinci di kejohanan gimnastik artistik SportExcel Sirkit 2 dan Kejohanan Artistik kebangsaan 9 hingga 11 November depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/27


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan