Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Komitmen pemain dituntut

Posted:

Komitmen pemain dituntut

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

RAJAGOBAL (kanan) mengendali latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini


KEKUATAN mental akan menjadi penentu kejayaan buat skuad Harimau Malaya pada perlawanan kelayakan Piala Asia 2015.

Demikian tegas jurulatih, Datuk K. Rajagobal terhadap skuad bimbingannya itu menjelang aksi kelayakan kejohanan berprestij di Asia itu.

Rajagobal mahu barisan pemainnya bersedia untuk menghadapi cabaran sebagai usaha mengangkat mutu bola sepak negara di pentas Asia.

"Kita akan membuat persediaan rapi untuk menghadapi Piala Asia 2015.

"Suka dimaklumkan bahawa saya mahu semua pemain berfikiran positif dan paling penting, pemain jangan takut untuk mengubah mentaliti mereka.

"Secara peribadi, saya mahu pemain-pemain ini menganggap ia sebagai satu cabaran untuk meningkatkan kualiti bola sepak tempatan.

"Apa yang pasti, kami akan memberikan aksi terbaik demi maruah negara," kata Rajagobal kepada pemberita selepas menyaksikan skuad negara diundi bersama Qatar, Bahrain dan Yemen dalam Kumpulan D Piala Asia 2015, semalam.

Tambah Rajagobal, beliau yakin peluang untuk beraksi di pentas tertinggi Asia dilihat cerah bagi skuad negara.

Namun, beliau enggan terlalu yakin sambil menyifatkan Harimau Malaya perlu bekerja dengan lebih keras sekiranya berhasrat untuk layak ke Australia kelak.

Ditanya mengenai kesebelasan utama skuad negara yang akan menggalas cabaran pada Piala Asia, bekas jurulatih Selangor itu tidak menolak kemungkinan dengan menggunakan barisan pemain Piala AFF Suzuki kelak.

Begitupun, beliau akan memantau perkembangan setiap pemain dengan lebih serius sebelum disenaraikan dalam skuad Piala Asia 2015.

"Mungkin akan guna pemain yang sama dalam AFF Suzuki tetapi saya akan tengok dulu tahap keupayaan pemain," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Rajagobal memberitahu, beliau lebih berminat untuk menumpukan persiapan skuad negara berbanding isu letak jawatan.

Menurutnya, beliau akan melepaskan jawatan ketua jurulatih secara sukarela sekiranya Harimau Malaya gagal melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2015.

"Berhubung hal itu (meletakkan jawatan), saya akan fikirkan kemudian," katanya.

Rajagobal merupakan jurulatih tempatan pertama yang membawa skuad negara menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 dan pingat emas Sukan SEA Laos 2009.

Pada aksi kelayakan Piala Asia 2015, enam perlawanan secara timbal balik untuk setiap kumpulan itu bakal berlangsung pada 6 Februari, 22 Mac, 15 Oktober, 15 November dan 19 November 2013 serta 5 Mac 2014 depan.

TNB yakin untuk muncul juara

Posted:

TNB yakin untuk muncul juara

Oleh NOR AZIRAN YUNUS
aziran.yunus@kosmo.com.my

KAPTEN KLHC, Azlan Misron (kiri) dan pemain TNB, Azlan Misron memegang piala yang bakal menjadi rebutan mereka malam ini.


TENAGA Nasional Berhad (TNB) tetap optimis untuk menjulang Piala TNB 2012 menjelang perlawanan akhir malam ini menentang Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) walaupun turun tanpa penyerang prolifik mereka, Faizal Saari yang mengalami kecederaan hamstring.

Jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, dia mahu semua pemainnya tidak terlalu memikirkan ketiadaan Faizal serta menjadikan itu alasan untuk mereka menyerah kalah kepada KLHC.

Selain itu, kata Nor Saiful Zaini, dia tidak rela untuk mengambil risiko mengorbankan masa hadapan Faizal dengan menurunkannya pada perlawanan akhir itu.

"Ini adalah permainan berpasukan, walaupun saya mengakui ketiadaan Abe (Faizal) akan sedikit sebanyak mengganggu rentak permainan tetapi saya percaya kami masih ada ramai pemain yang boleh diharapkan.

"Jika mereka menetapkan semangat juang berpasukan 100 peratus pada malam esok (malam ini), saya yakin kami akan menang."

Katanya, mereka akan menentang satu pasukan yang hebat serta berpengalaman dalam perlawanan akhir itu nanti dan oleh itu mereka akan menggunakan kepantasan serta kecergasan pemain muda TNB untuk menyaingi kehebatan KLHC.

Penolong ketua pasukan TNB, Mohd. Amin Rahim berkata, perlawanan akhir itu nanti ibarat pertembungan antara benteng pertahanan kebal TNB dengan jentera serangan hebat KLHC.

"Pada perlawanan akhir tahun lalu, kami mendahului 2-0 pada separuh masa pertama tetapi KLHC bangkit untuk memenangi Piala TNB 2011 dengan keputusan 3-2 dan perkara itu sangat memberi pengajaran kepada kami.

"Saya menganggap perlawanan akhir Piala TNB 2012 ini peluang antara kedua-dua pasukan meraih kejuaraan adalah 50-50 dan pasukan yang tidak membuat kesilapan akan menjadi juara," tegas Mohd. Amin kepada Kosmo! semalam.

Jurulatih KLHC, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah berkata, dia tidak menganggap ketiadaan Faizal Saari sebagai satu kelebihan buat pasukannya menjelang perlawanan akhir hari ini.

"Perlawanan akhir merupakan satu medan bagi pasukan yang berjaya mengambil peluang dan mengelak melakukan kesilapan," katanya.

Tambahnya, mengikut pertemuan terdahulu antara kedua-dua pasukan, mereka dilihat seimbang dan dia turut mengakui TNB mempunyai kelebihan daripada segi kepantasan serta pertahanan yang mantap.

Perlawanan akhir Piala TNB antara KLHC dan TNB akan berlangsung di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil pada pukul 8 malam ini manakala Piala Presiden pula akan berlangsung terlebih dahulu pada pukul 6 petang antara Angkatan Tentera (ATM) melawan Johor.

Selangor belum mengalah

Posted:

Selangor belum mengalah

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

AMRI (kiri) akan memastikan gawang Kelantan digegarkan pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam Jumaat ini.


PENGENDALI Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan Gergasi Merah masih memiliki peluang untuk menempah slot ke perlawanan akhir kempen Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 20 Oktober ini.

Meskipun dibolosi oleh Kelantan menerusi penyerang, Norfarhan Muhammad pada aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu minggu lalu, Irfan kekal optimis skuadnya mampu memadamkan defisit jaringan tersebut di laman sendiri Jumaat ini.

Bekas jurulatih Terengganu itu memberitahu skuadnya sudah bersedia untuk mempamerkan aksi cemerlang untuk terus menyalakan 'Misi 33' pada musim ini.

"Saya akui persembahan kami ketika di Kota Bharu pada minggu lalu tidak begitu 'menjadi' sebagaimana ketika kami menentang Pahang, Johor FC dan Sarawak pada aksi peringkat kumpulan.

"Begitupun, masih ada 90 minit dan kami tekad untuk mengatasi kelebihan yang ada pada Kelantan.

"Jaringan (Kelantan) itu masih belum selamat dan saya berharap persembahan pemain akan bertambah baik dan matang terutama ketika beraksi di laman sendiri pada Jumaat ini.

"Matlamat kami adalah untuk mara ke final pada musim ini dan 'Misi 33' masih berada di landasan tepat," katanya kepada Kosmo!, semalam.

Ditanya mengenai kehilangan Mohd. Nasriq Baharom, Irfan kekal dengan nada tenang dengan memberitahu beliau masih memiliki ramai pemain lain untuk menggantikan tonggak pertahanan Selangor itu.

"Kami tidak perlu panik. Saya masih memiliki Mohd. Razman Roslan yang sudah biasa beraksi di posisi pertahanan kanan.

"Saya yakin dia mampu melaksanakan tugas itu dengan baik," katanya.

Sementara itu, penyerang Gergasi Merah, Mohd. Amri Yahyah yang turut bersetuju dengan pandangan Irfan, mengakui benteng pertahanan The Red Warriors berjaya 'merantai' pergerakannya pada aksi di Stadium Sultan Muhammed IV.

Amri kini terdesak untuk menjaringkan gol di laman sendiri sambil menuntut agar rakan sepasukan bekerjasama dengan memberikan bantuan untuk meraih kemenangan.

"Ketika aksi di Kota Bharu, saya dikawal dengan begitu ketat oleh pemain-pemain Kelantan yang menyebabkan saya tiada ruang untuk bergerak dengan lebih bebas.

"Namun, saya tekad untuk membantu Selangor mara ke pentas final Piala Malaysia.

"Dengan sokongan rakan sepasukan, saya berharap dapat menjaringkan gol ketika menentang Kelantan pada separuh akhir kedua kelak," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan