Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Danny bermula garang

Posted:

Danny bermula garang

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my

DANNY menamatkan saingan pusingan pertama semalam dalam kelompok 10 pemain terbaik.


PEMAIN berpengalaman negara, Danny Chia bermula cemerlang pada hari pertama Kejohanan Golf CIMB Classic 2012 apabila berjaya berada dalam kelompok 10 pemain terbaik.

Pada aksi yang berlangsung di The Mines Golf and Resort, Seri Kembangan, Selangor semalam, pemain berusia 39 tahun itu melakukan lima pukulan bawah par 66 untuk berkongsi mata dengan J.B Holmes, Ricky Barnes serta Greg Chalmer.

"Permainan saya bagus hari ini (semalam) malah boleh dikatakan yang terbaik pernah saya lakukan pada permulaan saingan. Saya juga tidak mencatat bogey dan ia membuatkan saya lebih selesa dan bersemangat untuk meneruskan saingan pusingan kedua esok (hari ini)," katanya yang agak terkejut dengan prestasinya semalam.

Rentak cemerlang bekas juara Terbuka Taiwan 2002 itu bermula apabila berjaya melakar birdie berturut-turut di lubang kelima dan keenam sebelum melakukannya sekali lagi di lubang kelapan.

"Kejayaan menghasilkan birdie berturut-turut memang cukup mengujakan. Saya rasa, keadaan lapangan serta pemilihan kayu yang tepat banyak membantu saya terutama ketika melakukan pukulan putt," jelasnya yang mengakui agak gementar ketika memulakan saingan.

"Ada tekanan tetapi saya cuba menumpukan sepenuh perhatian kepada permainan saya. Lama kelamaan, saya semakin selesa dan tekanan itu terus hilang," tambahnya.

Pada saingan semalam, dia juga berusaha untuk mengejar kedudukan Jeff Overton dari Amerika Syarikat (AS).

"Bagaimanapun, apabila dia (Overton) mendapat eagle pada lubang ke-15, saya semakin ketinggalan. Jadi, saya cuba mendapatkan birdie pada lubang seterusnya untuk merapatkan jurang," jelas Danny.

Mengulas mengenai cabaran yang bermula semalam sehingga 28 Oktober ini, Danny mengakui tekanan yang diterima ketika bersaing pada kejohanan ini berbanding Terbuka Malaysia amat berbeza.

"Saya akui, saya lebih tertekan ketika beraksi pada Terbuka Malaysia. Mungkin disebabkan saya bertanding sebagai pemain pilihan dan ia membuatkan saya agak terbeban.

"Situasinya amat berbeza. Walaupun pada kejohanan ini saya menghadapi saingan yang cukup sengit, tetapi saya mampu bermain dengan tenang," katanya yang masih menaruh harapan mengutip mata terendah sehingga ke pusingan terakhir Ahad ini.

Bukan itu saja, Danny turut berharap dia dapat bermain dengan bekas juara dunia, Tiger Woods menerusi kutipan mata yang diperolehnya.

"Sudah tentu itu membuatkan saya lebih bersemangat dan saya amat berharap prestasi saya konsisten sehingga hari Ahad ini," katanya lagi.

Dalam pada itu, Troy Matterson berjaya meraih posisi pendahulu selepas melakukan catatan lapan pukulan bawah par 63.

Lebih menarik, Matterson menutup saingan dengan penuh bergaya dengan melakukan birdie berturut-turut di empat lubang terakhir untuk memastikan dia memulakan saingan hari ini dengan penuh selesa."Secara jujur, saya tidak meletakkan harapan yang tinggi hari ini (semalam) tetapi kejayaan menamatkan saingan dengan empat birdie berturut-turut merupakan sesuatu yang cukup mengujakan," kata pemain dari AS itu.

Tambah pemain berusia 32 tahun itu, lapangan golf di situ banyak membantunya melakar pukulan yang baik malah keadaan rumput yang bagus membuatkan permainannya semakin sempurna.

"Saya sukakan lapangan golf ini dan ia membuatkan saya seperti bermain di tempat sendiri. Walaupun ada beberapa tempat yang agak sukar, ia masih membuatkan saya selesa untuk bermain," katanya yang berazam mahu menamatkan saingan kali ini dengan kemenangan.

Harimau Muda makin matang

Posted:

Harimau Muda makin matang

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

SKUAD Harimau Muda yang tiba di KLIA semalam dengan membawa pulang bersama mereka Newspaper Cup yang dimenangi di Vietnam minggu lalu.


PENDEDAHAN berterusan yang dinikmati skuad Harimau Muda nampaknya mula membuahkan hasil.

Rentak permainan mereka semakin matang dan kejayaan demi kejayaan terus diraih.

Kejayaan yang mereka capai di pentas antarabangsa itu juga membawa perkhabaran gembira buat sukan bola sepak negara bahawa pemain-pemain muda ini menjanjikan masa depan yang cukup indah.

Begitupun, jika mahu terus bergerak ke hadapan, program pendedahan harus lebih kerap dilakukan.

Terbaharu, skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mencipta nama pada Kejohanan Jemputan Newspaper Cup di Vietnam.

Biarpun beraksi tanpa lima tonggak utama pada kejohanan tersebut tetapi mereka tetap berupaya meraih kejayaan.

Hanya 14 pemain dibawa oleh Kim Swee ke Vietnam untuk mengharungi kejohanan tersebut, dan mereka masih mampu bergelar sebagai juara, sekali gus meraih hadiah wang tunai RM37,000.

Kejayaan itu dicapai dengan gaya yang sungguh istimewa kerana mereka menundukkan tuan rumah, Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir.

Kim Swee mendedahkan, kejayaan manis skuad negara itu membuktikan bahawa barisan pemainnya sentiasa komited untuk meletakkan diri mereka di puncak kejayaan.

"Yang paling menarik, kita bukan sahaja menjuarai kejohanan tersebut tanpa lima pemain utama tetapi saya hanya bergantung kepada 14 pemain sahaja untuk menggalas cabaran. Syahrul Azwari Ibrahim dan A. Thamil Arasu pula mengalami kecederaan.

"Jadi, ini bermakna program pendedahan yang kita lakukan sebelum ini berbaloi," katanya kepada pemberita selepas tiba di di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Sebelum bertandang ke Vietnam, lima pemain utama yang tidak turut serta ialah Izham Tarmizi, Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbat (Harimau Muda A) serta Zubir Azmi (Terengganu) kerana mereka disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya yang beraksi menentang Hong Kong pada satu perlawanan persahabatan antarabangsa 16 Oktober lalu.

Selepas beraksi dalam perlawanan persahabatan tersebut, hanya Izham Tarmizi sahaja 'diterbangkan' ke ke Vietnam bagi menyertai skuad Harimau Muda dalam kejohanan Newspaper Cup itu.

Mengulas lanjut, jurulatih kelahiran Melaka itu mengakui bangga dan gembira selepas menyaksikan perkembangan pasukan tersebut yang dilihat semakin positif.

"Saya tidak terkejut kerana saya selalu menaruh kepercayaan kepada semua pemain, tidak kira menang atau kalah," katanya.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi Sukan SEA Myanmar dan Liga Singapura (Liga S) pada tahun depan, Kim Swee berkata, beliau akan merujuk terlebih dahulu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Saya tidak pasti sama ada akan terus beraksi dalam Liga S.

"Yang mustahak, pihak persatuan (FAM) harus tetapkan perancangan buat Harimau Muda A terutama untuk menghadapi Sukan SEA (Myanmar).

"Jadi, selepas berakhirnya Liga S, saya akan berjumpa dengan pihak persatuan untuk membincangkan perkara-perkara ini.

"Bagi saya, setahun itu tidak lama, sekejap sahaja dan perancangan perlu ada serta saya berharap perkara ini dapat diselesaikan sebelum berakhir bulan November," ujarnya.

ASUM lega keputusan Zhuliang untuk kekal

Posted:

ASUM lega keputusan Zhuliang untuk kekal

Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my

KESATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengakui keputusan ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang (gambar) untuk menyambung kontrak bersama skuad kebangsaan sangat melegakan banyak pihak.

Menurut Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong, keputusan yang diambil ketua jurulatih tersebut membuktikan Zhuliang masih gembira melatih skuad negara meski pun dilaporkan telah menerima tawaran lumayan daripada negara-negara lain.

"Saya gembira dengan keputusannya untuk terus membimbing skuad terjun negara, malah selepas beliau (Zhuliang) menandatangani kontrak baharu banyak pihak yang berasa lega.

"Jadi, harapan kami untuk Zhuliang kekal bersama skuad negara sudah menjadi kenyataan. Kontroversi yang mengatakan beliau akan meninggalkan negara ini juga sekadar gosip sahaja," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, ratu terjun negara, Pandelela Rinong turut bersetuju dengan pendapat Edwin, malah pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 London itu mengakui, dia kini dapat memberikan tumpuan dalam latihan menjelang Kejohanan Renang Asia di Dubai pada 22 November depan.

"Saya gembira perkara ini sudah selesai, jadi tidak perlu lagi fikir mengenai kontrak jurulatih, jurulatih baharu atau sebagainya lagi.

"Keputusan Zhuliang sangat baik untuk semua pihak. Saya juga percaya bukan saya seorang sahaja dapat beri tumpuan tetapi rakan-rakan atlet yang lain pun mungkin begitu," kata Pandelela.

Dalam perkembangan lain, skuad terjun negara kini dalam proses mencari tiga lagi jurulatih asing setelah badan induk tersebut mendapat persetujuan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) baru-baru ini.

Edwin mengakui, tugas untuk mencari jurulatih bagi mengurangkan bebanan para jurulatih di kem latihan negara bukan sesuatu yang mudah kerana negara-negara lain pun sedang mencari jurulatih baharu.

"Bukan Malaysia sahaja mahukan jurulatih yang hebat tetapi negara lain seperti Amerika Syarikat, Britain dan Australia pun mencari jurulatih yang bagus.

"Kita juga dapat lihat, kebanyakan jurulatih yang bagus pun dari negara China jadi ia tidak akan jadi terlalu mudah untuk kita kerana persaingan mendapatkan jurulatih akan wujud," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan