Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


Rajagobal pertahan formula

Posted: 05 Nov 2012 05:05 PM PST

Skuad Harimau hilang tiga pertahanan temu Thailand esok

Kuala Lumpur: Pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal terus mempertahankan pendiriannya menguji pemain hingga ke saat akhir dalam persiapan menjelang kempen mempertahankan mahkota Piala AFF Suzuki.

Faktor menguji pemain dan menyembunyikan kemampuan sebenar pasukan dilihat sebagai penyelamat reputasi Rajagobal yang sepanjang tempoh persiapan tahun ini, skuad kebangsaan kendaliannya tampak kurang meyakinkan untuk meraih kejayaan pada kejuaraan yang bermula pada 25 November ini.

"Apabila kita dapat kecederaan, seperti sekarang, Amar Rohidan, Aidil Zafuan dan Fadhli Shas, adakah kita perlu turunkan juga mereka bertemu Thailand nanti?

"Dari awal lagi saya katakan ia penting (mencuba pemain berbeza) tetapi anda kata saya uji pemain," kata Rajagobal yang dalam persiapan bertemu Thailand dalam perlawanan persahabatan kedua terakhir di Bangkok, esok.

Ramai pemain kualiti

Pada sesi latihan semalam, tiga pemain berkenaan tidak berlatih bersama pasukan akibat kecederaan.

Berbeza dengan situasi dua tahun lalu di mana Harimau Malaya tidak diberikan harapan tinggi untuk menamatkan kemarau kejuaraan, terutama dengan kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan, Rajagobal kali ini disokong lambakan pemain berkualiti negara.
Namun kekurangan perlawanan persahabatan antarabangsa kompetitif, disulami dengan saingan Liga Malaysia yang padat, Rajagobal sempat mencuba sekitar 70 pemain termasuk sebahagian besar tonggak Harimau Muda yang beraksi dalam Liga Singapura.

Kekalahan terbaru, 1-0 di tangan Vietnam - pasukan yang menjadi mangsa skuad kebangsaan pada peringkat separuh akhir edisi dua tahun lalu - menimbulkan kerisauan di kalangan peminat terutama apabila Rajagobal turun dengan skuad terbaiknya di Hanoi Sabtu lalu.

PBSNT, Butler cari jalan damai

Posted: 05 Nov 2012 05:04 PM PST

Kuala Terengganu: Adakah Peter Butler akan kekal sebagai ketua jurulatih Terengganu atau menjadi ketua jurulatih T-Team musim depan?

Persoalan itu mungkin terjawab sekembalinya jurulatih berbangsa Inggeris berusia 46 tahun itu ke Kuala Terengganu hari ini selepas menghabiskan cuti tiga minggu bersama keluarga di Manchester, England.

Butler yang sebelum ini didenda, digantung dan ditamatkan kontraknya oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) sebelum hukumannya itu ditarik balik oleh Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan lalu, juga dijadual bertemu pengurusan tertinggi PBSNT hari ini.

Menurut sumber T-Team, arahan sudah dikeluarkan ketua pegawai eksekutif yang baru dilantik, Abdul Rasid Jusoh supaya wakil pasukan itu menjemput Butler di Lapangan Terbang Sultan Mahmud hari ini.

Ada tanda penyelesaian

Sebaik saja mendarat di lapangan terbang, jurulatih itu perlu dibawa ke pejabat PBSNT di Wisma Amar di Kuala Terengganu untuk bertemu dengan pengurusan tertinggi persatuan itu.

"Nampak ada usaha ke arah mahu menyelesaikan masalah Butler dengan PBSNT secepat mungkin. Kami diarahkan menjemput jurulatih itu dan tanpa melengahkan masa membawanya terus ke pejabat persatuan berkenaan.
"Ada kemungkinan Butler dan pengurusan PBSNT akan mencari jalan penyelesaian terbaik supaya jurulatih itu dapat menerima tugasan baru sebagai ketua jurulatih T-Team," katanya.

Namun, kemunculan jurulatih Kuala Lumpur, Razif Ismail di Kuala Terengganu kelmarin yang mana dia turut berada di padang ketika ujian pemilihan pemain baru yang berminat untuk menyarung jersi T-Team musim depan menimbulkan persoalan.

Razif sah hadir

"Ada yang mengatakan Razif cuma akan dilantik sebagai penolong jurulatih, namun buat masa ini belum ada apa-apa kenyataan daripada pengurusan tertinggi pasukan," katanya.

Sementara itu, ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam, Razif mengesahkan hadir pada ujian pemilihan pemain baru, kelmarin.

"Saya berada dua hari di Kuala Terengganu. Saya dijemput ke sana untuk berbincang dengan pengurusan T-Team.

"Oleh kerana T-Team di bawah pengurusan baru, belum ada kata putus dibuat dan saya percaya semuanya akan diketahui dalam masa terdekat ini," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen