Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Ada masalah boleh rujuk FAM

Posted:

Ada masalah boleh rujuk FAM

Oleh AHMAD FAZLI
MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memandang serius isu 'belakang tabir' membabitkan beberapa pasukan yang dikatakan sedang rancak memburu pemain kegemaran masing-masing.

Ketika diminta mengulas perkara tersebut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad menganggap perbuatan itu sebagai sesuatu tidak beretika, apatah lagi ia membabitkan pemain yang masih mempunyai kontrak dengan majikan lama.

Azzuddin memberitahu, segala urusan untuk mendapatkan mana-mana pemain harus dijalankan dengan cara yang betul dan profesional.

"Sebenarnya, kepada mana-mana pasukan yang berhasrat untuk mendapatkan pemain, mereka boleh menggunakan saluran yang betul.

"Seperti yang termaktub dalam undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), mana-mana pasukan boleh mendapatkan pemain yang dikehendaki, dengan syarat mereka membayar pampasan jika pemain terbabit masih mempunyai kontrak dengan majikan lama.

"Kepada persatuan atau kelab yang masih keliru, mereka boleh merujuk kepada pihak FAM bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung isu kontrak pemain," jelas Azzuddin kepada Kosmo! semalam.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan bahawa adalah tidak profesional sesebuah pasukan mengikat kontrak dengan pemain baharu, sedangkan pemain terbabit masih menerima gaji daripada pasukan lamanya.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu turut melahirkan rasa kesal terhadap sikap beberapa pasukan yang 'merampas' pemain tanpa pengetahuan majikan lama.

Mohamad Hasan menegaskan, FAM perlu meneliti sewajarnya perbuatan tidak beretika tersebut agar semua pihak terbabit menghormati nilai 'kuasa' yang ada dalam kontrak seseorang pemain itu.

Mengambil contoh, pemain import, Jean Emmanuel Effa Owona yang masih mempunyai kontrak dengan PBNS.

Namun penyerang kelahiran Cameroon itu dilaporkan sudah menandatangani perjanjian dengan Terengganu bagi saingan musim depan.

"Kami menerima pandangan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai perkara itu.

"Perkara tersebut telah diserahkan kepada sebuah jawatankuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Buat masa ini, tiada sebarang tindakan diambil lagi," kata Azzuddin lagi.

4 pemain terlepas ke Hanoi

Posted:

4 pemain terlepas ke Hanoi

BARISAN pemain Harimau Malaya giat menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak dua minggu lalu.


"PELUANG tidak hanya datang sekali dan saya percaya, khidmat empat pemain yang tidak disenaraikan itu mungkin akan digunakan pada aksi perlawanan menentang Hong Kong, 14 November nanti."

Itu jawapan jurulatih skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ketika diminta mengulas pengguguran empat pemain bagi menghadapi aksi persahabatan menentang Vietnam di Stadium MyDinh, Hanoi, Vietnam, Sabtu ini.

Semalam, Rajagobal mengumumkan senarai 24 pemain yang akan dibawa ke Hanoi sebagai persiapan bagi menghadapi kempen Piala AFF Suzuki penghujung bulan ini.

Empat pemain yang tidak disenaraikan itu ialah penjaga gol Selangor, Norazlan Razali; pemain sayap Felda United, Yong Kuong Yong dan dua tonggak Kelantan, Mohd. Rizal Fahmi Abdul Rosid dan Nik Shahrul Azim Abdul Halim.

Rajagobal berkata, meskipun tidak disenaraikan, ia tidak bermakna 'pintu' buat mereka untuk kembali membarisi skuad Harimau Malaya sudah tertutup rapat.

"Tidak disenaraikan dalam siri perlawanan persahabatan kali ini tidak bermakna peluang mereka sudah berakhir.

"Ini kerana saya percaya selepas menentang Vietnam, mereka akan kembali bersama kami untuk menjalani latihan.

"Seperti yang saya katakan, tidak mustahil khidmat mereka akan ditagih pada aksi menentang Hong Kong di Shah Alam nanti," katanya.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata, beliau mempunyai alasan tersendiri untuk terus melakukan eksperimen bagi membentuk skuad yang mantap.

"Saya percaya pasukan Laos, Singapura dan Indonesia akan menghantar pengintip untuk memantau perkembangan skuad kebangsaan kita (Harimau Malaya).

"Jadi, kita tidak boleh menunjukkan kekuatan sebenar kita kepada mereka dengan begitu mudah," katanya.

Selepas bertemu Vietnam, Harimau Malaya akan membuat perhitungan dengan Thailand di Chiang Mai pada 7 November ini sebelum menentang Hong Kong di Stadium Shah Alam.

Kebangkitan dramatik Arsenal

Posted:

Kebangkitan dramatik Arsenal

WALCOTT meraikan jaringannya buat Arsenal ketika menentang Reading pada pusingan keempat Piala Liga di Stadium Madejski awal pagi semalam. Arsenal menang 7-5.


READING - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menganggap kejayaan The Gunners ketika membenam Reading 7-5 pada pusingan keempat Piala Liga awal pagi semalam antara memori paling manis dalam kariernya.

Pemain sayap, Theo Walcott menjadi inspirasi kebangkitan dramatik Arsenal dalam pertembungan di Stadium Madejski itu yang menyaksikan 12 gol terhasil.

Selepas ketinggalan 1-4 pada babak pertama, anak-anak buah Wenger menampilkan semangat juang yang tinggi untuk mengikat kedudukan 4-4 sehingga tamat 90 minit perlawanan.

Kedudukan tersebut menyaksikan perlawanan terpaksa dilanjutkan sehingga ke masa tambahan yang menyaksikan empat gol lagi terhasil.

Kemenangan itu juga sekali gus menjadi suntikan moral terbaik buat Arsenal dalam usaha mereka untuk memburu trofi pertama sejak tujuh tahun lalu.

"Kami berjaya mengelak daripada menerima satu lagi musibah apabila meraih kemenangan yang cukup dramatik hari ini (awal pagi semalam).

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada para peminat yang sentiasa memberikan sokongan kepada kami.

"Mungkin ia merupakan kemenangan bermakna bagi saya. Inilah Arsenal, selagi masa belum berakhir, kami akan berjuang habis-habisan.

"Meskipun pertandingan ini (Piala Liga) bukan salah satu keutamaan kami tetapi apa yang paling mustahak, kami berjaya menang dan layak ke peringkat suku akhir," kata Wenger.

Pada masa yang sama, Wenger memuji persembahan cemerlang Walcott yang berjaya meledak hatrik pada aksi tersebut.

"Walcott beraksi dengan cukup baik. Saya tahu dia merupakan seorang pemain yang hebat.

"Selain dia, pemain-pemain saya yang lain juga melakukan tugas dengan baik," ujarnya. - AFP

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan