Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


‘Baginda ada hak’

Posted:

'Baginda ada hak'

'Baginda ada hak'

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my

Datuk Azzuddin Ahmad


SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad menegaskan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak akan dikenakan sebarang tindakan meskipun mengeluarkan kenyataan mengenai prestasi skuad Harimau Malaya.

Kenyataan baginda itu merupakan pendirian badan induk bola sepak negara.

Menurut Azzuddin, pandangan Tengku Abdullah itu dibuat atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal skuad Harimau Malaya dan baginda berhak untuk menyuarakan pendapat mengenai prestasi skuad negara.

Jelasnya, FAM menganggap pandangan Tengku Abdullah sebagai satu nasihat berguna kepada ketua jurulatih skuad negara, Datuk K. Rajagobal.

"Tengku Abdullah ialah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Harimau Malaya dan baginda ada kuasa untuk melontarkan pandangan.

"Kita mesti jelas bahawa Tengku Abdullah bercakap atas kapasiti sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal yang mana baginda berhak untuk menyuarakan pendapat termasuk mengenai persembahan skuad negara kendalian Rajagobal itu.

"Itu hak Tengku Abdullah," kata Azzuddin ketika ditemui di Wisma FAM Kelana Jaya, semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Tengku Abdullah melahirkan kebimbangan mengenai persembahan skuad Malaysia selepas tewas 0-1 kepada Vietnam dan 0-2 di tangan Thailand dalam siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

Baginda menegur dan menasihatkan pengendali Harimau Malaya agar memberikan perhatian lebih serius dalam menyenaraikan kesebelasan utama terbaik sebelum mengharungi Kejohanan Piala Suzuki AFF yang bermula pada 25 November ini.

Bagaimanapun, kenyataan Tengku Abdullah itu mengingatkan kembali banyak pihak kepada kes bekas rakan sejawatan baginda, Tan Sri Annuar Musa yang digantung dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah melanggar artikel 88 peraturan FAM yang menetapkan hanya Presiden dan Setiausaha Agung boleh mengeluarkan kenyataan kepada media.

Annuar yang merupakan Timbalan Presiden FAM didapati bersalah kerana memberikan kenyataan kepada media mengenai prestasi skuad negara.

Pada 4 April lalu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu dikenakan hukuman atas dua kesalahan berbeza.

Bagi kesalahan pertama, Annuar didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur negatif mengenai skuad bola sepak negara pada 12 Februari lalu.

Dalam kesalahan kedua, Annuar didakwa melanggar titah Tengku Abdullah dan selepas hukuman tersebut, beliau tidak dibenarkan terbabit dalam aktiviti sukan bola sepak negara di bawah naungan FAM.

Berdasarkan statut tersebut, hanya Presiden dan Setiausaha Agung FAM berhak untuk menyuarakan pendapat atau pandangan terhadap prestasi skuad negara.

Mengulas lanjut, Azzuddin memberitahu, pandangan Annuar terhadap prestasi skuad negara jauh berbeza jika dibandingkan dengan pendapat Tengku Abdullah.

"Kenyataan Annuar mengaibkan. Titah Tengku Abdullah adalah untuk memberikan nasihat kepada Rajagobal.

"Dalam konteks titah Tengku Abdullah (kelmarin), baginda hanya menegur Rajagobal agar menghentikan eksperimen terhadap skuad negara.

"Sekali lagi saya ingin katakan bahawa Tengku Abdullah mempunyai hak untuk bersuara dan situasi (Annuar) dengan baginda amat berbeza," katanya.

Parlimen Puchong tekad pertahan kejuaraan

Posted:

Parlimen Puchong tekad pertahan kejuaraan

Parlimen Puchong tekad pertahan kejuaraan


PASUKAN-pasukan yang memenangi Kejohanan Futsal Parlimen 1Malaysia edisi kedua bergambar kenangan selepas upacara penutup kejohanan tersebut di Kompleks Futsal 1Malaysia Presint 18 Putrajaya awal tahun ini.


JUARA bertahan Kejohanan Futsal Parlimen 1Malaysia peringkat kebangsaan, Puchong mengakui faktor cuaca bakal menjadi 'pencabar utama' mereka dalam usaha mempertahankan kejuaraan tersebut.

Ketua pasukan, Zahrin Arin mengakui gusar sekiranya kejohanan tersebut ditentukan menerusi sepakan penalti.

Menurutnya, mereka kini giat menjalani persiapan sebelum turun beraksi pada kejohanan tiga hari itu yang bermula pada Jumaat ini di Kompleks Futsal 1Malaysia Presint 18, Putrajaya.

"Seperti juga tahun lalu, sebanyak 444 pasukan bakal bertanding kali ini dan saya yakin mereka pasti bersemangat untuk melakukan aksi terbaik pada kejohanan tersebut.

"Apa yang merisaukan saya ialah cuaca yang tidak menentu pada masa ini. Jika hujan lebat, sudah pasti perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.

"Apa pun, sasaran kami adalah untuk layak ke pusingan suku akhir," katanya kepada Kosmo! semalam.

Pada kejohanan edisi kedua awal tahun ini, Parlimen Puchong muncul juara selepas menundukkan Parlimen Seremban 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan akhir selepas kedudukan terikat 1-1.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan Parlimen Puchong membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, piala pusingan, pingat dan hamper manakala Parlimen Seremban menerima RM10,000 berserta pingat dan hamper.

Mengulas lanjut, Zahrin menegaskan, kesemua pasukan dilihat memiliki peluang untuk muncul sebagai juara pada edisi kali ini.

Begitupun, semangat juang Puchong semakin membara untuk mempamerkan aksi lebih cemerlang sebagai usaha untuk mempertahankan status sebagai juara.

"Saya menjangkakan pertandingan kali ini lebih sengit kerana ia melibatkan pasukan-pasukan baharu. Tidak dapat dinafikan mereka mampu menjadi pencabar utama kami.

"Mungkin pengalaman lebih memihak kepada kami. Jika boleh, kami mahu mengelak daripada bertemu dengan pasukan dari Lembah Klang atau Pantai Timur pada peringkat awal.

"Apa yang pasti, Kompleks Futsal 1Malaysia merupakan gelanggang keramat kami dan Puchong tidak rela untuk melepaskan status juara kepada mana-mana pasukan," tegasnya.

Butler sah terajui T-Team

Posted:

Butler sah terajui T-Team

Butler sah terajui T-Team

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my


BUTLER diberi tanggungjawab menjadi pengurus dan jurulatih T-Team.


BEKAS pengendali Terengganu, Peter James Butler akan menandatangani kontrak sebagai pengurus dan jurulatih baharu pasukan berstatus kelab, T-Team dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Rozi Mamat berkata, pihak pengurusan T-Team dan Butler telah mencapai persetujuan selepas pengendali dari England itu dilepaskan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

"Dia (Butler) akan menandatangani kontrak selaku jurulatih dan pengurus T-Team dalam masa terdekat.

"Dia dilihat pilihan terbaik dan kami merasakan dia mampu menerajui pasukan ke tahap yang lebih tinggi terutama dalam menyemai disiplin dalam kalangan pemain," katanya.

Rozi yang diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk memantau pasukan T-Team dan Terengganu pada musim depan menambah, T-Team sudah lama ingin mendapatkan khidmat Butler sejak musim lalu lagi memandangkan beliau mempunyai rekod baik sebagai jurulatih.

Katanya, kaedah latihan dan cara Butler mendisiplinkan pemain akan memberi manfaat kepada skuad T-Team, sekali gus meningkatkan prestasi pasukan pada musim depan.

"T-Team sebenarnya mahukan khidmat Butler pada musim lalu tetapi Terengganu bertindak lebih awal untuk mendapat khidmatnya.

"Justeru, apabila semua masalah berhubung Butler dan PBSNT telah diselesaikan, T-Team tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan khidmatnya," kata Rozi.

Beliau menambah, dengan pelantikan sebagai pengurus dan jurulatih, Butler akan diberi kebebasan untuk memilih pemain.

Katanya, sesi latihan pasukan T-Team akan bermula pada 16 November ini selepas Butler menandatangani kontrak dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, T-Team juga sedang mengadakan perbincangan dengan pemain dari Ghana iaitu George dan Derek Boateng.

"Kalau semua berjalan dengan lancar, kami akan memperkenalkan pemain-pemain import baharu ini minggu depan," katanya.

Rozi menjelaskan, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM3 juta untuk kedua-dua pasukan (T-Team dan Terengganu) pada musim depan. Ia dijangka akan ditambah mengikut prestasi pasukan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan