Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Peluang terakhir tebus maruah

Posted:

Peluang terakhir tebus maruah

Peluang terakhir tebus maruah

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my

PEMAIN skuad negara gigih berlatih sebagai persediaan menghadapi kempen Piala AFF Suzuki yang bermula Ahad ini.


PEJAM celik, debaran seluruh rakyat Malaysia terhadap kemampuan Harimau Malaya mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki semakin sampai ke kemuncak.

Ahad ini, skuad kendalian Datuk K. Rajagobal bakal membuka tirai Kumpulan B berdepan juara tiga kali, Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Begitupun, rentetan beberapa keputusan kurang memberangsangkan dalam tiga perlawanan persahabatan terakhir sebelum ini jelas mengundang resah peminat bola sepak tempatan.

Tewas dua kali kepada Vietnam dan Thailand (0-1 dan 0-2) sebelum sekadar seri 1-1 kepada Hong Kong baru-baru ini, sudah tentu hanya kemenangan ke atas Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini dilihat mampu mengubati semula kepercayaan peminat.

Atas kertas, Malaysia dilihat tidak berdepan masalah bagi mengatasi Bangladesh kerana mereka berada pada ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang jauh lebih tinggi iaitu 163 berbanding Bangladesh (171).

Kekalahan Bangladesh kepada Thailand dengan keputusan 0-5 dalam aksi persahabatan terakhir mereka sebelum ini juga bukan alasan buat Harimau Malaya untuk melakar kemenangan dan ia diakui kapten, Safiq Rahim.

Menurut Safiq, aksi malam ini merupakan peluang terakhir menebus maruah mereka selaku juara bertahan sebelum memulakan kempen Piala AFF Suzuki, Ahad ini.

Namun pada masa sama, bekas arkitek Selangor yang bakal berhijrah ke Johor musim depan itu tidak mahu rakan-rakan sepasukannya memandang mudah aksi berdepan Bangladesh.

"Kami wajib menang perlawanan ini, 1-0 pun tidak mengapa, janji menang.

"Kalau menang 10-0 ke atas Bangladesh pun tiada gunanya jika gagal mempertahankan kejuaraan Piala AFF Suzuki, yang penting kami wajib menang ke atas mereka supaya menyuntik moral kami selepas ini," katanya selepas dilantik sebagai duta minuman isotonik, 100Plus di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada masa sama, Safiq juga mengakui dia dan rakan-rakan perlu mempelbagaikan corak permainan mereka sepanjang Piala AFF Suzuki nanti memandangkan gaya persembahan mereka dilihat seolah-olah mudah dibaca lawan dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Sebagai juara bertahan, memang susah bermain dengan cara lama kerana semua pasukan mengkaji kekuatan dan kelemahan kami.

"Cuma pada masa sama, saya dan rakan-rakan masih mempercayai percaturan jurulatih," katanya.

Mengulas pertemuan menentang Singapura dalam aksi pembuka tirai kelak, Safiq sedar kedua-dua pasukan memiliki sentimen peribadi dalam perlawanan itu.

"Ia aksi pertama kedua-dua pasukan, jadi kami harap kami mampu mengatasi Singapura supaya lebih yakin dan tenang bagi menghadapi baki dua lagi perlawanan (menentang Laos dan Indonesia) selepas itu," kata Safiq.

Chong Wei kembali ke gelanggang

Posted:

Chong Wei kembali ke gelanggang

Chong Wei kembali ke gelanggang

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


CHONG Wei kembali ke gelanggang selepas bercuti lama.


SELEPAS berehat hampir tiga minggu, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei kembali fokus terhadap tugasannya di pentas antarabangsa.

Esok, dia akan membuat penampilan pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong 2012 menentang pemain Thailand, Boonsak Ponsana.

Sebelum ini, pemain No. 1 dunia itu bercuti lama bagi membuat persiapan perkahwinannya dengan bekas pemain perseorangan wanita negara, Wong Mew Choo yang telah berlangsung pada 9 dan 10 November lalu.

Disebabkan itu, Terbuka Hong Kong kali ini tampak sukar buat Chong Wei kerana dia perlu mencapai semula tahap prestasi terbaiknya selepas berehat panjang.

Berdasarkan undian, dia tidak berdepan halangan sukar untuk mara ke final.

Namun, apa yang membimbangkan ialah tahap kecergasannya kerana bukan mudah buat seseorang pemain untuk kembali ke prestasi sebenar dalam jangka masa yang singkat.

Untuk rekod, Chong Wei hanya kembali menjalani latihan pada 12 November lalu dan dia hanya mempunyai lima hari bagi melakukan persiapan sebelum berlepas ke Hong Kong.

Sebelum ini, jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock mengakui bahawa prestasi anak didiknya itu menurun sedikit ketika sesi latihan tetapi ia tidak membimbangkan.

"Ini memang sudah dijangkakan kerana Chong Wei telah bercuti lama tetapi saya tidak bimbang.

"Selepas memberi tumpuan selama empat tahun bagi menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London, Chong Wei perlu diberi masa untuk berehat," kata Seu Bock.

Meskipun tidak ada sebarang sasaran yang diletakkan pada Terbuka Hong Kong kali ini namun Seu Bock menjelaskan bahawa matlamat utama Chong Wei adalah untuk memastikan rankingnya selaku pemain No. 1 dunia kekal sehingga penghujung tahun ini.

Selepas Terbuka Hong Kong, pemain berusia 30 tahun itu akan beraksi dalam dua lagi kejohanan iaitu Grand Prix (GP) Emas Terbuka Macau bermula 27 November hingga 2 Disember dan Siri Super Akhir di Shenzen, China pada 12 hingga 16 Disember depan.

Sebagai rekod, Chong Wei yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2012 London telah merekodkan empat kejuaraan dalam kejohanan Siri Super tahun ini bermula dengan Terbuka Korea Selatan, Terbuka Malaysia, Terbuka Jepun dan Terbuka Denmark.

Selain Chong Wei, Liew Daren dan Chong Wei Feng turut bersaing dalam acara perseorangan lelaki pada Terbuka Hong Kong kali ini.

Cabaran dalam acara beregu lelaki akan digalas pasangan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong manakala Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turun beraksi dalam acara beregu campuran.

'Merasai suasana futsal sebenar'

Posted:

'Merasai suasana futsal sebenar'

'Merasai suasana futsal sebenar'

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


PASUKAN Parlimen Petaling Jaya Utara mencipta sejarah selepas muncul juara bagi kategori wanita pada edisi tahun ini.


KEJOHANAN Futsal Parlimen 1Malaysia Peringkat Kebangsaan 2012 telah pun melabuhkan tirainya di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya kelmarin.

Seperti sedia maklum, edisi ketiga kali ini 'ditakluk' juara baharu apabila kategori lelaki menjadi milik Parlimen Tangga Batu dari Melaka sementara Petaling Jaya Utara mengungguli kategori wanita.

Tangga Batu berjaya menewaskan Wangsa Maju 3-1 menerusi penentuan sepakan penalti sementara Petaling Jaya Utara mengatasi Puchong 1-0 di pentas final sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000.

Sedar atau tidak, kejohanan anjuran Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dengan kerjasama beberapa rakan penganjur itu dilihat semakin sempurna berbanding dua edisi terdahulu, dan ia diakui Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan Jabatan Belia Dan Sukan Negara KBS, Dr. Mohd. Ghani Mohd. Yusof.

Menurut beliau, penganjuran kali ini merupakan yang terbaik dan berharap supaya reputasi tersebut dapat diteruskan pada tahun depan.

"Selain tiada lagi unsur tidak puas hati yang membabitkan mana-mana pasukan seperti mana yang berlaku dalam dua edisi sebelum ini, saya juga gembira apabila aksi separuh akhir dan final dapat dilangsungkan di gelanggang utama iaitu Gelanggang Mokhtar Dahari yang menepati piawaian ditetapkan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

"Ia sekali gus membolehkan para pemain merasai sendiri suasana futsal yang sebenar selain beradu kekuatan memburu kemenangan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohd. Ghani memberitahu, ketika ini masih terlalu awal untuk membayangkan sebarang penambahan pasukan pada edisi akan datang berbanding 444 pasukan yang mewakili 222 Parlimen setakat ini.

"Pada masa sama, saya juga tidak menolak kemungkinan edisi tahun depan kekal diadakan di Kompleks Futsal 1Malaysia, Putrajaya.

"Bukan tidak mahu 'berubah angin', cuma fasiliti yang disediakan di kompleks tersebut dilihat terbaik bagi menampung jumlah perlawanan yang banyak.

"Apa pun masih terlalu awal untuk mendedahkan perkara itu, buat masa ini segala-galanya masih di peringkat perbincangan," jelasnya.

Biar di mana pun lokasi edisi keempat bakal diadakan tahun depan, Tangga Batu dan Petaling Jaya Utara pastinya sedar tugas getir yang menanti mereka bagi mempertahankan kejuaraan masing-masing selepas ini.

Ini kerana di atas kertas, belum ada mana-mana pasukan yang berjaya mempertahankan kejuaraan sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2010.

Untuk rekod, juara edisi 2010 menjadi milik Parlimen Padang Serai (lelaki) dan Gombak (wanita) sebelum Puchong dan Kuala Kedah muncul juara kategori lelaki dan wanita tahun lalu.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Sukan KBS, Fazulia Zulkifli berkata, beliau memuji kesungguhan semua ahli jawatankuasa yang terlibat menjayakan kejohanan yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu.

"Sebagai contoh, jawatankuasa pengangkutan yang bertugas tanpa mengira waktu demi memastikan kelancaran pergerakan pegawai, pengurus serta peserta Parlimen dari Sabah, Sarawak dan Labuan sepanjang kejohanan berlangsung memang dipuji.

"Saya harap kerjasama semua pihak terlibat dapat diteruskan pada kejohanan yang sama di masa hadapan," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan