Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Malaysia terikat seri dengan Bangladesh

Posted:

Malaysia terikat seri dengan Bangladesh

Malaysia terikat seri dengan Bangladesh

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE dan AHMAD FAZLI MOHD. YADI
sukan@kosmo.com.my

KHYRILL Muhymeen (tengah) sedang diasak dua pertahanan Bangladesh pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


SKUAD Datuk K. Rajagobal hampir malu besar. Lawan Bangladesh pun tidak boleh menang, inikan pula mempertahankan AFF Suzuki. Sudah tentu itu mesej yang cukup jelas diterima pengendali Harimau Malaya, Rajagobal semasa skuad kendaliannya sekadar seri 1-1 dengan Bangladesh dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Dengan hanya kurang 2,000 penonton hadir ke stadium, itupun sebahagiannya penyokong Bangladesh, tidak mustahil senario yang lebih kurang sama bakal berulang ketika aksi pembuka tirai Kumpulan B Kejohanan Piala AFF Suzuki menentang Singapura di stadium sama Ahad ini.

Apa tidaknya, 'penyakit lama' Harimau Malaya yang sering kehilangan kawalan bola seperti mana ketika tumpas 0-1 dan 0-2 kepada Vietnam dan Thailand serta seri 1-1 dengan Hong Kong dalam tiga siri persahabatan sebelum ini dilihat sekali lagi berulang ketika berdepan Bangladesh malam tadi.

Janji Rajagobal untuk menghadiahkan kemenangan buat penyokong Malaysia dalam 'eksperimen terakhir' malam tadi juga tidak ubah sekadar lawak semata-mata.

Mujurlah ada sorakan 'Ultras Malaya' yang setia berdiri teguh di belakang skuad negara di stadium malam tadi bagi mengimbangi sokongan gegak gempita penyokong Bangladesh.

Pada aksi malam tadi, Malaysia bermula garang seawal minit keenam namun percubaan Khyrill Muhymeen Zambri terus ke dakapan penjaga gol lawan, Mamun Khan.

Tuan rumah bertambah kecewa apabila rembatan kaki kiri Mohd. Safee Sali tersasar pada minit ke-17 sebelum tandukan Safiq Rahim juga gagal menemui sasaran empat minit kemudian.

Penantian Harimau Malaya akhirnya berbaloi apabila Khyrill tenang menanduk masuk hantaran Safiq hasil satu sepakan penjuru untuk gol pendahuluan tuan rumah pada minit ke-22.

Gol itu jelas menyuntik semangat Malaysia menggandakan asakan apabila Khyrill sekali lagi merobek gawang lawan pada minit ke-33, namun jaringannya dibatalkan pengadil, Nagor Amir Noor Mohamed kerana ofsaid.

Skuad kendalian Saiful Bari Titu yang sekali-sekala menyerang begitupun kecewa apabila sepakan percuma Md Zahid Hossain melambung tinggi sebelum rembatan Md Waly Faisal ditepis penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias pada penghujung babak pertama.

Percaturan Rajagobal membawa beberapa pemain gantian seperti Baddrol Bakhtiar dan Ahmad Fakri Saarani pada babak kedua juga tidak menjadi.

Sebaliknya, Bangladesh yang tempang dengan 10 pemain selepas Pranotosh Kumer Des dibuang padang pada minit ke-78 gara-gara mengutip kad kuning kedua pula dilihat bertambah garang menggempur kubu tuan rumah.

Hasilnya, pelawat berjaya menyamakan kedudukan apabila Md Jahid Hasan Ameli tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-81 untuk gol penyamaan Bangladesh selepas Mithun Chowdry dikasari Irwan Fadli Idrus.

Peluang terakhir Malaysia menebus maruah juga berkecai apabila sepakan percuma Baddrol ditepis keluar Mamun Khan pada masa kecederaan.

Apa yang pasti, keputusan itu bukan sahaja meresahkan peminat tempatan tetapi juga mengundang debar Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dilihat bergegas bertemu Rajagobal selepas perlawanan tamat.

Apa pun, sama ada Harimau Malaya mampu 'mengaum' atau tidak pada kejohanan Piala AFF Suzuki kali ini, hanya Rajagobal yang mengetahui jawapannya.

MSN, IPTS tawar biasiswa RM6.4 juta

Posted:

MSN, IPTS tawar biasiswa RM6.4 juta

MSN, IPTS tawar biasiswa RM6.4 juta


KETUA Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong (kiri) bertukar dokumen dengan Naib Canselor Allianze University College of Medical Sciences, Prof. Datuk Dr. Muhamad Abdul Razak sambil diperhatikan oleh Ahmad Shabery (dua dari kiri) di Kuala Lumpur semalam.


MAJLIS Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama 10 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) akan menawarkan biasiswa berjumlah lebih RM6.4 juta kepada atlet kebangsaan bagi menyuntik semangat serta memberi galakan kepada mereka untuk cemerlang dalam bidang akademik.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata setakat ini, tawaran tersebut diberi kepada 160 atlet kebangsaan yang bebas memilih jurusan pengajian yang mereka kehendaki di mana-mana 10 IPTS berkenaan.

"Selalunya IPTS dianggap universiti yang memerlukan perbelanjaan besar untuk menyambung pengajian. Kerjasama MSN dan IPTS ini membuka peluang yang luas kepada atlet kebangsaan untuk cemerlang bukan sahaja dalam bidang sukan tetapi merangkumi akademik.

"Ini merupakan satu era baharu dalam kecemerlangan untuk atlet kebangsaan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MSN dan 10 IPTS di ibu negara semalam.

Ahmad Shabery berkata, atlet yang cemerlang bukan sahaja perlu mempertingkatkan kredibiliti daripada aspek fizikal tetapi mempunyai kemampuan berbeza dalam bidang lain termasuk akademik.

"Menjadi ahli sukan, mereka perlu ada kemahiran dalam pelbagai bidang. Ini baru permulaan, selepas ini lebih banyak lagi IPTS akan tampil untuk menyuntik semangat atlet kebangsaan menjadi lebih cemerlang," katanya.

Sepuluh IPTS yang menawarkan biasiswa tersebut ialah Allianze University College of Medical Sciences, Berjaya University College of Hospitality, Cyberlinx College, Erican College, Help University, Segi University, Tunku Abdul Rahman College, Taylor University, University Tunku Abdul Rahman dan Sunway University.

Harun dapat tawaran negara jiran

Posted:

Harun dapat tawaran negara jiran

Harun dapat tawaran negara jiran

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

DIAM-DIAM ubi berisi.

Mungkin itu peribahasa sesuai buat bekas ketua jurulatih olahraga negara, Harun Rasheed Othman (gambar).

Selepas tamat tempoh penggantungan selama setahun yang dikenakan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) September lalu, Harun kini ada cerita baharu.

Beliau mengakui ada menerima tawaran untuk menjadi jurulatih olahraga di luar negara.

Bagaimanapun, Harun yang enggan mendedahkan nama negara tersebut sebaliknya hanya memberitahu bahawa beliau dipelawa oleh 'bos besar' persatuan olahraga negara itu untuk menjadi jurulatih.

"Beliau minta saya membuat permohonan bagi mengisi jawatan selaku jurulatih. Saya perlu mengikut proses yang telah ditetapkan persatuan tersebut kerana mereka tidak mengambil mana-mana individu sebagai jurulatih begitu sahaja.

"Namun, saya masih belum melakukannya lagi kerana saya mahu memberi tumpuan kepada anak perempuan saya yang ketika ini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Mungkin selepas itu nanti, saya akan fikirkannya. Itu sahaja yang saya boleh beritahu dan saya tidak mahu komen panjang mengenai hal ini," kata Harun ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya sama ada destinasi terbaharu untuk beliau mengembangkan karier sebagai jurulatih itu dalam kalangan negara Asia Tenggara (ASEAN), Harun sekadar menjawab: "Negara dekat-dekat sahaja," ujarnya.

Kredibiliti Harun selaku jurulatih terbukti apabila berjaya membentuk kuartet 4x100 meter wanita negara yang dibarisi Siti Zubaidah Adabi, Nor Jannah Hafizah Jamaludin, Yee Yi Ling dan Nurul Sarah Abdul Kadir dengan pencapaian tidak kurang hebatnya.

Selepas 21 tahun, kuartet negara itu mempamerkan kebangkitan apabila berjaya mencatat rekod baharu kebangsaan dengan catatan 45.33 saat yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Grand Prix (GP) Poland pada Julai 2010.

Namun, ekoran tindakan melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping pada Mei tahun lalu, kuartet tersebut terpaksa dibubarkan.

Tempiasnya turut terkena kepada Harun apabila beliau didakwa menjadi 'dalang' terhadap tindakan kuartet itu melarikan diri dan sekali gus digantung selama setahun oleh KOM bermula pada 9 September 2011 hingga 9 September lalu.

Sebelum ini, Harun ada menyuarakan hasratnya untuk kembali membimbing atlet olahraga negara sebaik tamat penggantungannya itu.

Namun, beliau memberitahu bahawa sehingga kini tidak ada sebarang tawaran daripada KOM mengatakan mahu mendapatkan khidmatnya semula sebagai jurulatih olahraga negara.

"Tidak ada sebarang tawaran lagi daripada KOM. Jadi, kita tunggu dan lihat sahaja kerana seperti saya katakan saya mahu memberi tumpuan kepada anak perempuan yang sedang menduduki peperiksaan SPM.

"Mungkin KOM ada perancangan mereka yang tersendiri," jelas Harun yang kini sedang membantu dua atlet olahraga negara melakukan persiapan bagi menghadapi temasya Sukan Universiti ASEAN di Laos bulan depan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan