Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Safee milik Johor

Posted:

Safee milik Johor

Safee milik Johor

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

SAFEE (kanan) menyerahkan dokumen kontrak kepada presiden PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas menandatanganinya di Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi.


PERSATUAN Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) terus berbelanja besar dalam persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Semalam, Setiausaha PBNJ, Suhairi Hashim mengesahkan telah mendapat surat pelepasan daripada kelab Liga Super Indonesia (ISL), Arema Indonesia bagi mendapatkan khidmat penyerang sensasi Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali secara pinjaman musim depan.

Suhairi berkata, surat yang ditandatangani oleh Pengarah Arema, Ruddy Widodo menyatakan, Safee akan menyarung jersi Johor selama setahun bermula dari 1 Disember 2012 hingga 30 November 2013.

"Safee sepatutnya hadir malam ini (semalam) untuk menandatangani kontrak tetapi tidak dapat berbuat demikian disebabkan terikat dengan peraturan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) yang tidak membenarkan pemain kebangsaan keluar daripada kem latihan mereka sepanjang kempen Piala Suzuki AFF 2012.

"Namun, kami (PBNJ) telah mendapat pelepasan daripada Arema yang membenarkan Safee beraksi bersama Johor. Saya ada bukti dan saya boleh tunjuk kepada umum.

"Jika segalanya berjalan seperti yang dirancang, Safee akan beraksi bersama Johor. Kami memang bersungguh-sungguh untuk membawa masuk Safee dan mahu menyelesaikan perkara ini dalam tempoh dua hari sebab tarikh tutup pendaftaran pemain akan tutup pada 6 Disember (esok)," kata Suhairi ketika ditemui pemberita di Hotel Prince Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, sidang akhbar yang dirancang PBNJ untuk majlis menandatangani kontrak Safee tidak dapat diteruskan kerana pemain berusia 28 tahun itu tidak dapat hadir kerana terikat dengan peraturan FAM.

Situasi itu menyaksikan Suhairi bersama Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya malam tadi bagi mendapatkan tandatangan Safee.

Mengulas mengenai yuran pinjaman dan gaji Safee, Suhairi berkata: "Berhubung perkara itu, kami tidak boleh dedahkan dan ia adalah rahsia," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memberi gambaran bahawa Safee akan mendapat gaji yang lebih baik daripada apa yang diterimanya bersama Arema.

Kosmo! difahamkan Safee ketika ini menerima gaji sebanyak RM90,000 sebulan daripada Arema dan ia memberi bayangan bahawa dia akan menerima gaji sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan bersama Johor.

Pada 1 Februari lalu, Safee telah menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun bersama kelab Indonesia itu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM2 juta. Kontrak dua tahun itu termasuk pelbagai kemudahan seperti bonus tetap perlawanan, rumah, kenderaan, pemandu peribadi, cukai yang dibayar oleh kelab, tiket pergi balik ke Kuala Lumpur yang disediakan oleh kelab dan penghormatan sebagai kapten pasukan.

Kontrak Safee bersama Arema akan tamat pada 2014.

Sebelum ini, lima pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim, Norshahrul Idlan Talaha, Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Azmi Muslim serta bekas pertahanan Terengganu dan Harimau Muda A, Muslim Ahmad telah menandatangani kontrak untuk beraksi bersama Johor musim depan.

9 pemain sertai Harimau Muda A

Posted:

9 pemain sertai Harimau Muda A

9 pemain sertai Harimau Muda A


ROZAIMI (kanan) antara pemain yang diserapkan dalam skuad Harimau Muda A.


SEMBILAN pemain daripada pasukan kelab dan negeri telah menyatakan persetujuan menyertai pasukan Harimau Muda A (skuad bawah 23 tahun negara) pada musim depan, demikian jelas ketua jurulatih skuad berkenaan, Ong Kim Swee semalam.

Pemain terbabit ialah Mohd. Rozaimi Abd Rahman (Sabah), Muhammad Nurridzuan Abu Hassan, D. Kenny Pallraj (Perak); Muhammad Zubir Mohd. Azmi (Terengganu), Nik Mohd. Shahrul Azim Ab Halim (Kelantan) dan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (PKNS FC).

Turut tersenarai ialah Mohamad Firdaus Muhamad (Harimau Muda B), Saiful Ridzuwan Selamat (UiTM FC) dan Adam Nor Azlan daripada Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Kesemua pemain tersebut telah melapor diri semalam kecuali dua pemain dari Perak yang membantu pasukan mereka menghadapi (Perlis) pada suku akhir kedua Piala Emas Raja- Raja (di Stadium Perak, Ipoh) hari ini (semalam)," kata Kim Swee.

Menurut beliau, pemain yang belum melapor diri akan berbuat demikian pada sesi latihan pasukan berkenaan di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya petang ini.

"Selain sembilan pemain tersebut, saya turut berminat mendapatkan pemain pertahanan daripada Selangor PKNS iaitu Mohd. Aminuddin Mohd. Noor bagi memperkuatkan pasukan menghadapi kejohanan-kejohanan pada tahun depan.

"Saya difahamkan, Mohd. Aminuddin bersama Mohd. Azrif Nasrulhaq kini bersama pasukan Selangor PKNS menghadapi perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia tahun depan.

"Namun, saya berharap dapat menyelesaikan proses mendapatkan kedua-dua pemain berkenaan sebelum 10 Disember ini," katanya.

Beberapa pemain skuad berkenaan telah meninggalkan pasukan itu berikutan melebihi had umur, antaranya pemain kebangsaan, Mahalli Jasuli yang menyertai pasukan Selangor.

Skuad Harimau Muda A bakal beraksi di Eropah musim depan sebagai persediaan awal mempertahankan pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar dan tempat mereka dalam Liga Singapura akan digantikan skuad Harimau Muda B yang dikendalikan bekas jurulatih Kuala Lumpur, Razip Ismail.

Malaysia miliki peluang

Posted:

Malaysia miliki peluang

Malaysia miliki peluang

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my


BARISAN pemain yang akan menggalas cabaran negara pada pusingan separuh akhir Piala Suzuki AFF 2012.


HARIMAU Malaya masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Suzuki AFF 2012 biarpun Thailand menjadi penghalang paling besar buat skuad negara mengekalkan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.

Bagaiamanapun, ranjau yang terpaksa dilalui sudah pastinya tidak mudah berikutan Thailand dilihat cukup konsisten selepas berjaya menjadi juara peringkat kumpulan selain mencatat tiga kemenangan berturut-turut.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu, perlawanan separuh akhir kali ini secara keseluruhannya adalah berlainan berbanding perlawanan pada peringkat kumpulan menentang Indonesia dan Singapura.

"Thailand bukan Indonesia, bukan Singapura. Tahap permainan mereka jauh lebih baik daripada pasukan yang berada dalam kumpulan kita. Mereka juara kumpulan, kita ada peluang yang baik tetapi sudah pasti laluannya bukan mudah.

"Saya ingat peluang kita adalah cerah, cuma kebimbangan ialah kita bermain di laman sendiri terlebih dulu. Bila macam ini, kita kena main habis-habisan untuk mendapatkan keputusan yang baik dan selesa," katanya.

Tambahnya, pasukan kebangsaan mampu melakukan kejutan tetapi perlu mendapat margin gol yang selesa terutama apabila beraksi di laman sendiri kerana cabaran ketika beraksi di gelanggang lawan sudah tentunya sukar.

Namun, beliau tidak mahu pemain berasa terlalu yakin kerana ia boleh memakan diri sendiri.

"Semua pemain lebih tenang menahan asakan selain berusaha memburu gol dan tidak mensia-siakan peluang yang terhidang.

"Jangan kita bayangkan mudah untuk kita tewaskan mereka (Thailand) dengan margin yang selesa walaupun main di laman sendiri. Kalau kita tidak menyusun strategi yang betul keputusan sebaliknya mungkin berlaku.

"Macam saya tengok baru-baru ini, jentera tengah sudah diperbaiki dan berjaya mengawal permainan. Apa yang penting, pemain hendaklah memberi komitmen seratus peratus. Kesemuanya bergantung kepada pemain dan taktikal jurulatih.

"Secara jujurnya, Thailand tidak sama corak permainan dengan Indonesia kerana mereka cukup seimbang di semua posisi. Saya lihat Indonesia tempoh hari cuba bermain laju tetapi rentak mereka terjejas kerana hari hujan dan padang pula licin. Kalau padang kering mungkin kita akan tengok corak permainan yang berbeza daripada Indonesia," ujarnya.

Jelasnya, Thailand bermain dengan lebih teratur terutama apabila mereka dilihat kerap menggunakan hantaran pendek dan skuad kebangsaan berada dalam bahaya terutama pada aksi separuh masa kedua sekiranya tidak mempunyai keupayaan dari segi mental dan fizikal untuk bertahan.

Untuk rekod, Harimau Malaya melangkah ke pusingan separuh akhir selepas muncul naib juara kumpulan di belakang Singapura.

Meskipun berkongsi enam mata dengan Singapura tetapi skuad negara dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Pada aksi peringkat kumpulan, Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Singapura sebelum menewaskan Laos 4-1 dan Indonesia 2-0.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan