Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Revington letak jawatan

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Paul Revington

KUALA LUMPUR - Persiapan skuad hoki negara bagi menghadapi kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Bahru pada 29 Jun hingga 7 Julai ini menerima tamparan hebat apabila jurulatih, Paul Revington secara mengejut menghantar surat peletakan jawatan berkuat-kuasa serta merta.

Melalui satu emel yang dihantar Revington kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), dia berterus-terang sudah tidak mampu lagi bekerjasama dengan jurulatih hoki remaja, K. Dharmaraj dan Pengarah Program Pembangunan Hoki Satu Malaysia, Lim Chiow Chuan yang didakwa sering campur tangan semasa mengendalikan skuad kebangsaan.

Namun, Pengerusi Kejurulatihan MHC, Majid Manjit Abdullah berkata, seramai 16 orang ahli jawatankuasa kejurulatihan belum bersedia menerima peletakan jawatan Revington dan perkara itu akan dirujuk kepada Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum kata putus akan ditentukan dalam mesyuarat Eksekutif MHC pada 30 Jun ini di Johor Bahru.

"Kami mahu Paul untuk terus kekal kerana dia telah melakukan kerja yang sangat baik setakat ini kami tidak mendapat sebarang aduan mengenai corak latihannya.

"Dia tidak gembira dan mengakui tidak boleh bekerja apabila terdapat campur tangan daripada jurulatih lain semasa mengendalikan skuad kebangsaan

"Kami akan berusaha untuk bersemuka dengan Revington dalam beberapa hari ini dan berharap dapat memberi keyakinan kepadanya kerana apa yang lebih penting adalah persiapan skuad negara untuk menghadapi separuh akhir Liga Hoki Dunia di Johor Bahru hujung bulan ini," katanya pada sidang media selepas mesyuarat kejurulatihan MHC di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

Jelasnya, mereka sudah dimaklumkan perkara ini lebih awal oleh Revington apabila sering mengadu terdapat gangguan daripada pihak lain dan berjaya diselesaikan, namun tidak menyangka masalah ini kembali berulang.

"Sebelum ini, saya menjangkakan perkara ini telah selesai apabila surat peguam sampai di tangan Lim, dia telah meminta maaf dan Paul juga menerima maaf daripada Lim.

"Namun. apabila Paul memberikan emel terbaharu ini yang menyatakan segalanya masih belum selesai, saya sendiri terkejut malahan dia telah menutup telefon sepanjang hari ini dan tidak dapat menghubunginya secara langsung," katanya.

Jika Revington masih berhasrat melepaskan jawatan, Majid mengakui mereka sudah ada perancangan melantik Sarjit Singh sebagai jurulatih sementara dalam menghadapi Liga Hoki Dunia tidak lama lagi.

"Kami mencadangkan Sarjit menjadi pengurus sementara biarpun buat masa ini Arul (Selvaraj) merupakan pembantu kepada Revington sekarang," katanya.

Malaysia yang memburu tiket ke Piala Dunia 2014 perlu memastikan berada di kalangan tiga terbaik daripada lapan pasukan bertanding.

Berada dalam Kumpulan B, skuad hoki negara diletakkan bersama Pakistan, England dan Afrika Selatan manakala Kumpulan A persaingan melibatkan Jerman, Korea Selatan, Argentina dan Jepun.

Sepanjang 10 bulan dilantik menjadi jurulatih menggantikan Tai Beng Hai, pencapaian skuad hoki boleh dianggap berada di tahap membanggakan apabila berjaya muncul naib juara Piala Sultan Azlan Shah 2013, meraih tempat ketiga trofi Juara-Juara Asia 2012 dan menduduki tangga keempat dalam kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di Argentina, tahun lalu.

PBNJ janji ganjaran jika julang Piala FA

Posted: 15 Jun 2013 11:48 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

Peminat-peminat bola sepak pasukan Johor Darul Takzim berpeluang melihat dengan lebih dekat Piala FA yang dipamerkan di Pusat Konvesyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Pemain kedua-dua pasukan Johor dijanjikan ganjaran sekiranya negeri tersebut berjaya menjulang Piala FA musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, ganjaran tersebut merupakan insentif kepada hasil usaha mereka selama ini.

Johor Darul Takzim yang beraksi dalam saingan Liga Super akan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala FA pada 29 Jun ini.

"Memasuki pentas akhir Piala FA ini merupakan sesuatu yang cukup baik berbanding persembahan musim lalu, ini menunjukkan peningkatan yang mendadak.

"Walaupun pasukan Johor tidak bertanding tetapi mereka akan tetap menerima ganjaran kerana mereka juga pasukan saya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majalah Harimau Selatan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, semalam.

Majalah Harimau Selatan keluaran bulanan terbitan syarikat Southern Tigers Sdn. Bhd. merupakan majalah rasmi Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) yang memuatkan maklumat terkini mengenai para pemain serta persatuan itu.

Pasukan Johor Darul Takzim dijadual menentang juara bertahan Piala FA, Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 29 Jun ini bagi membawa pulang semula piala itu ke negeri ini selepas kali terakhir merangkul kejuaraan itu pada 1998.

Mengulas mengenai baki saingan Liga Super, Tunku Ismail berharap pasukan Johor Darul Takzim akan memberikan persembahan terbaik bagi meraih kejuaraan.

Beliau mengakui pertembungan menentang skuad Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 22 Jun ini merupakan tugasan yang sukar tetapi tetap yakin pasukan Johor Darul Takzim mampu mempamerkan aksi cemerlang dan seterusnya mencipta kemenangan.

"Lions XII merupakan pasukan yang kuat tetapi Johor Darul Takzim akan berusaha sebaik mungkin. Kita akan adakan latihan di padang rumput tiruan sama ada di Kluang atau Singapura dan ia bergantung kepada Fandi (Ketua Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad)," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan