Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Penyokong JDT kecewa tiket habis

Posted: 26 Jun 2013 08:04 PM PDT

JOHOR BAHRU 27 Jun - Kira-kira 2,000 penyokong tegar Johor Darul Takzim kecewa selepas gagal membeli tiket perlawanan akhir Piala FA apabila ia habis dijual di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin hari ini.

Para penyokong sejak pukul 12 tengah malam tadi telah berada di hadapan kaunter jualan tiket, namun kaunter hanya dibuka pukul 8.20 pagi sebelum ditutup pukul 9 pagi.

Bagaimanapun, kaunter jualan tiket dibuka semula sejam kemudian namun tidak sampai lima minit ia ditutup semula apabila tiket yang disediakan sebanyak dua keping seorang itu habis dijual.

Meskipun keadaan kecoh seketika, namun tiada kejadian tidak diingini berlaku dan pihak polis turut ditugaskan untuk mengawal ketenteraman. - UTUSAN

Fandi kecewa aksi anak buah

Posted: 26 Jun 2013 11:23 AM PDT

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
utusanjohor@utusan.com.my

FANDI AHMAD

JOHOR BAHRU - Jurulatih Johor Darul Takzim, Fandi Ahmad kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya yang gagal mengutip tiga mata penuh pada pertemuan menentang Felda United kelmarin meskipun bermain di laman sendiri.

Tegas Fandi, sesetengah pemain tidak beraksi baik dan gagal mengikut arahan yang diberikan sehingga menyebabkan pasukan pelawat berjaya mencuri satu mata pada pertemuan itu.

Menurut beliau, ada antara pemain tidak mempunyai semangat juang yang tinggi dan bermain mengikut emosi sehingga menjejaskan persembahan keseluruhan pasukan.

"Saya kecewa dengan keputusan ini, pemain kurang semangat dan kesungguhan. Kena guna akal untuk bermain, mereka seharusnya berikan 100 peratus atau 200 peratus apabila berada di padang.

"Ia bukan hari untuk kita, ia bukan mudah tetapi saingan masih belum tamat," katanya kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan.

Pada pertemuan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin, Johor Darul Takzim sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Felda United.

Skuad Harimau Selatan memperoleh jaringan pada minit ke-64 menerusi pemain gantian, Muhd. Haidin Azman sebelum pemain gantian Felda United, Rudie Ramli menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Fandi mengakui persembahan Johor Darul Takzim tidak konsisten sepanjang musim ini dan dengan keputusan yang dicatatkan itu menyukarkan lagi laluan mereka untuk menjulang kejuaraan Liga Super.

Beliau berkata, para pemain seharusnya memperbaiki mutu persembahan mereka dan perlu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan selain mengikut arahan yang diberikan.

"Dengan keadaan seperti ini, kemungkinan pada perlawanan terakhir akan menentukan pemenang. Kita memang tidak konsisten sepanjang musim tetapi saya percaya kepada keajaiban," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen