Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tengku Mahaleel jadi pilihan?

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
norzie.khasbi@utusan.com.my

Tengku Mahaleel Tengku Ariff

KUALA LUMPUR - Mesyuarat pemilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini dijangka tidak akan menyaksikan pertandingan dengan jawatan Presiden kemungkinan besar diserahkan kepada salah seorang daripada tiga calonnya; Tengku Mahaleel Tengku Ariff.

BAM akan cuba mendapatkan persetujuan sebulat suara daripada exconya yang akan bermesyuarat terlebih dahulu, dua jam sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) diadakan untuk melantik Presiden tanpa perlu melalui pertandingan, tradisi yang diamalkan selama ini.

Selain Tengku Mahaleel, Timbalan Presiden, Datuk Dr. Mohamed Al-Amin Abd. Majid dan Bendahari, Datuk Lim Teong Kiat juga berada dalam senarai calon yang akan dibincangkan oleh exco.

Malah, nama Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA), Datuk Mohamad Norza Zakaria juga pada awalnya berada dalam senarai tersebut, tetapi kerana beliau masih muda dan orang baharu, jadi sebahagian besar exco menganggap sebaiknya Norza hanya diberi peluang (jika berminat) pada penggal berikutnya.

Kebanyakan ahli majlis lebih cenderung ke arah Al-Amin, orang yang dianggap paling layak berdasarkan pengalaman luasnya dalam badminton negara.

Al-Amin juga pernah menjadi Setiausaha BAM, sekali gus dianggap orang paling berpengaruh selepas ketiadaan Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh, yang berundur untuk memberi tumpuan kepada tugasan baharu sebagai Presiden Konfederasi Badminton Asia (BAC).

Bagaimanapun, Al-Amin dipercayai tidak mendapat 'restu' begitu juga dengan Teong Kiat, sekali gus meninggalkan Tengku Mahaleel, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings sebagai calon pilihan.

Apa yang menarik untuk diikuti hari ini, apakah ahli gabungan bersedia mengetepikannya dengan tetap memilih calon kegemaran mereka atau akur dan bersetuju menerima Tengku Mahaleel sebagai bos baharu mereka.

Walau siapa pun yang bakal menjadi pilihan untuk menggantikan Nadzmi, yang penting orang itu mestilah mampu memenuhi komitmen tinggi dan cukup berwibawa untuk membantu BAM mengembalikan zaman kegemilangan badminton negara.

Jaguh No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menjadi kebanggaan BAM di bawah kepemimpinan Nadzmi sejak 13 tahun lalu.

Memandangkan Chong Wei sudahpun menghadiahkan dua pingat perak Sukan Olimpik - Beijing 2008 dan London 2012, maka Presiden BAM selepas ini akan menggalas harapan lebih tinggi, iaitu mencari juara Olimpik pertama.

Malah, di bawah kepimpinan baharu nanti, badan badminton kebangsaan itu juga berdepan cabaran berat untuk mencari pemain yang mampu mengisi kekosongan Chong Wei, yang hampir menuju penghujung kariernya pada usia 31 tahun.

Mengembalikan Piala Thomas, yang kali terakhir dimenangi Malaysia di bawah kepimpinan Tan Sri Elyas Omar pada 1992 juga antara agenda utama yang perlu difikirkan oleh Presiden baharu, selain menentukan masa depan beregu utama, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang sebelum ini diberi peluang sehingga Kejohanan Dunia bulan depan oleh kepimpinan lama.

"Ketika menerajui BAM, antara cabaran besar yang saya hadapi adalah mencari satu lagi bakat seperti Lee Chong Wei. Saya harap, kepimpinan baharu nanti dapat mencari pendekatan baharu untuk melahirkan lebih ramai pemain berkualiti sepertinya. Kita juga memerlukan jurulatih yang berkaliber.

"Sepanjang 13 tahun menjadi Presiden BAM, saya belum nampak ada pemain lain yang memiliki karakter seperti Chong Wei. Dia mempunyai komitmen yang amat tinggi dan sangat fokus orangnya, tetapi malang sekali, dia selalu tidak bernasib baik dalam kejohanan besar," kata Nadzmi baru-baru ini.

Tengku Mahaleel, 66, yang merupakan Naib Presiden BAM dan Presiden Persatuan Badminton Kelantan sebelum ini enggan melibatkan diri dengan badan badminton kebangsaan itu, namun beliau bertukar pendirian pada saat akhir dengan bersetuju menawarkan diri jika ada pencalonan.

Menurut perlembagaan BAM, pencalonan semua jawatan yang dipertandingkan akan dilakukan pada hari AGM.

Presiden boleh dilantik dalam kalangan orang luar badan badminton itu, tetapi cadangan dan sokongan mesti datang daripada ahli gabungan.

Sementara itu, jawatan Timbalan Presiden juga dijangka menyaksikan satu kekosongan apabila Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah sebelum ini menyatakan keengganan untuk mengekalkan jawatannya.

Minta maaf Malaysia - Pandelela

Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

Pandelela Rinong menduduki tempat keenam acara 10 meter platform Kejohanan Terjun Dunia di Barcelona, Sepanyol, kelmarin. - AFP

KUALA LUMPUR - Hasrat Pandelela Rinong Pamg untuk menghadiahkan satu lagi pingat buat negara pada Kejohanan Dunia FINA 2013 di Barcelona, Sepanyol tidak kesampaian apabila dia sekadar menduduki tempat keenam dalam acara 10 meter platform, kelmarin.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah penerjun kelahiran Sarawak itu apabila hanya mencatat mata 334.5, jauh ketinggalan dengan pemenang pingat emas Si Yajie dari China yang mengumpul 392.15 mata, diikuti pemenang pingat perak, Chen Ruolin 388.70.

Gangsa dalam acara tersebut diraih penerjun dari Ukraine, Luliia Prokopchuk yang meraih 358.40 mata.

Menurut Pandelela, dia berasa sangat kecewa dengan aksi kelmarin selepas gagal mengulangi pencapaiannya di Sukan Olimpik 2012 London, di mana ketika itu dia berjaya menghadiahkan pingat gangsa buat negara.

"Saya ada membuat kesilapan pada terjunan keempat, saya mahu minta maaf buat rakyat Malaysia," kata Pandelela yang sebelum ini berjaya meraih gangsa bersama Leong Mun Yee dalam acara 10 meter platform seirama.

Mengimbas kembali aksinya kelmarin, pada terjunan pertama Pandelela bermula dengan sederhana apabila hanya memungut 70.50 untuk menduduki tempat kelima, namun dia kembali bangkit di terjunan kedua dengan catatan 76.85 melonjak ke tangga ketiga.

Semuanya menjadi semakin sukar buat pelajar Universiti Malaya itu apabila pada terjunan ketiga dia dikenakan penalti selepas mencatat mata 54.50, namun masih mengekalkan kedudukan ketiga, terjunan keempat dia melakukan kesilapan dengan hanya mencatat mata 56.00 terus jatuh ke kedudukan keenam.

Terjunan terakhir dia mencatat 76.80 tetapi kekal di tempat keenam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Komen