Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Taufik tak mahu ulas

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

Taufik Abdul Razak

KUALA LUMPUR - 'Boleh jawab tapi enggan mengulas,' demikian komen yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Taufik Abdul Razak apabila ditanya mengenai persoalan status Tunku Ismail Sultan Ibrahim di bangku simpanan pemain.

Tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang mungkin disalah tafsir, Taufik berkata, lebih baik hanya pengawai undang-undang FAM melakukan kerja mereka terlebih dahulu kerana bimbang dia seolah-olah cuba menunjuk pandai di pandangan pihak lain.

"Saya tidak boleh mengulas dalam isu ini (Tunku Ismail) walaupun sebenarnya saya tahu dan boleh bercakap untuk menjelaskan persoalan yang dikemukakan.

"Jika saya jelaskan kepada media, saya bimbang nanti ada pihak mengandaikan saya ini seolah-olah mahu mendahului pegawai undang-undang yang telah diberi peranan mengendalikan kes ini sebelum dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.

"Biarlah mereka (pegawai undang-undang) yang membuat penilaian sebelum mengeluarkan surat pertuduhan kepada Tunku Ismail di atas kapasiti apa beliau duduk di bangku simpanan pemain semasa perlawanan antara Johor DT dan Terengganu.

"Isu ini boleh dianggap sensitif dan perlu diperhalusi sebaik-baiknya, tugas saya hanya akan bermula selepas surat pertuduhan dikeluarkan dan akan dibicarakan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Ahmad Fuad Daud semalam mendedahkan kapasiti sebenar Tunku Ismail berada di bangku simpanan sama ada bertindak sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan Tunku Mahkota Johor mungkin boleh menimbulkan sedikit kekeliruan, namun tetap akan dinilai mengikut prosedur ditetapkan.

Perlawanan antara Johor Darul Takzim dan Terengganu di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Sabtu lalu menarik perhatian ramai pihak apabila Tunku Ismail yang digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama enam bulan kerana melanggar Artikel 88 semenjak 9 Mac lalu berada di bangku simpanan pemain di babak kedua perlawanan.

Dalam perlawanan yang turut disiarkan secara langsung di salah sebuah televisyen utama, Fuad turut bertindak sebagai pesuruhjaya perlawanan pada malam itu dan hasilnya, beliau telah membuat laporan penuh mengenai insiden itu yang telah diserahkan kepada jawatankuasa yang bertanggungjawab.

Mengenai isu membabitkan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang terpaksa berhadapan Jawatankuasa Tatatertib tidak lama lagi, Taufik mengatakan surat tuduhan masih belum dikeluarkan sehingga ke hari ini.

"Setakat ini belum ada apa-apa lagi perkembangan kerana semuanya bergantung kepada Jabatan Undang-Undang mengeluarkan surat pertuduhan kepada Rajagobal dan kita juga perlu menyemak hasil mesyuarat exco yang akan dihadiri semua jawatankuasa pada 10 April nanti.

"Memang benar sepatutnya pada minggu ini dia akan dapat surat berkenaan, namun buat masa ini itu sahaja saya boleh komen," katanya.

Rajagobal yang mengeluarkan kenyataan kepada media selepas perlawanan antara Malaysia dan Arab Saudi, 17 Mac lalu bahawa Liga Malaysia sudah ketiadaan penyerang berkualiti kini berdepan risiko digantung dan berkemungkinan besar kehilangan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya semenjak tahun 2009.

14 atlet berentap anugerah olahragawan, olahragawati

Posted: 02 Apr 2013 11:57 AM PDT

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
sukan@utusan.com.my

Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR - Empat belas atlet bakal berentap untuk bergelar Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan dalam Anugerah Sukan Negara 2012 pada 16 April ini dengan tumpuan pasti terarah kepada mereka yang berprestasi cemerlang sepanjang Sukan Olimpik di London, Julai tahun lalu.

Naib juara badminton Olimpik 2012, Datuk Lee Chong Wei mengetuai senarai calon Olahragawan yang turut menampilkan Mr. Universe Bina Badan, Sazali Abd. Samad; juara Boling Piala Dunia, Mohd. Syafiq Ridhwan; Bryan Nickson Lomas (akuatik terjun); Leong Tze Wai (karate); Khairul Anuar Muhamad (memanah) dan Yu Peng Kean (lawan pedang).

Bagi calon Olahragawati, ratu skuasy yang juga juara Terbuka Dunia, Datuk Nicol Ann David menjadi pilihan utama sambil disaingi pemenang gangsa Olimpik, Pandelela Rinong Pamg dan juara keirin berbasikal Asia, Fatehah Mustapa; Nur Suryani Taibi (menembak), Cheah Mei Lan (boling), Chai Fong Ying (wusyu), Quzandria Nur Mahamad Fathil (ekuestrian).

Chong Wei dan Pandelela bergelar Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2011 ketika ganjaran kemenangannya buat kali pertama dinaikkan sekali ganda kepada RM20,000 sementara Sazali dan Nicol turut pernah merangkul anugerah berprestij oleh Majlis Sukan Negara (MSN) itu beberapa kali.

Anugerah Sukan Negara kali ke-48 ini bakal dilangsungkan di sebuah hotel di Subang Jaya, Selangor dan dihadiri kira-kira 800 tetamu dengan penyampaian kategori utamanya dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Ganjaran RM20,000 dan trofi turut menjadi rebutan empat calon bagi kategori Pasukan Lelaki Kebangsaan 2012 melibatkan Harimau Muda A juara Piala Newspaper, gandingan penerjun pemenang gangsa Piala Dunia FINA, Bryan Nickson Lomas-Huang Qiang; skuad juara Hoki Piala Remaja Asia dan trio pemanah naib juara Grand Prix Asia.

Nicol sekali lagi dicalonkan bagi kategori Pasukan Wanita Kebangsaan 2012 setelah membantu Malaysia menjuarai Kejohanan Berpasukan Dunia WSF meraih tempat ketiga, November lalu, bersama Siti Munirah Jusoh, Delia Arnold dan Low Wee Wern namun turut disaingi gandingan penerjun naib juara Siri Dunia FINA, Mac lalu - Pandelela dan Leong Mun Yee.

Anugerah lain termasuk Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan; Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan; Tokoh Sukan; Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan anugerah, Datuk Mohid Mohamed berkata, ganjaran kemenangan kali ini dikekalkan seperti sebelumnya, RM20,000.

''Anugerah ini juga kekal sebagai yang paling berprestij negara dan paling sukar untuk kami menentukan pemenangnya apatah lagi menjadi satu catatan bersejarah yang bakal dikenang sampai bila-bila.

"Namun tidak semestinya mereka yang cemerlang dalam Olimpik London lalu, menjadi pilihan utama kami kerana terdapat pencapaian jenis sukan yang tidak dipertandingkan di sana, tetap perlu diambil kira," katanya yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan selepas mesyuarat jawatankuasa itu di MSN, Bukit Jalil, semalam.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS