Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Amukan Kelantan

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ISWAN SHAFIQ MAT ISA
sukan@utusan.com.my

Pemain Terengganu, Ismail Faruqi (kiri) hampir terjatuh akibat diasak pemain Kelantan, Dickson Nwakaeme dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam tadi. - utusan/Shaifudin Mohd Nor

KUALA LUMPUR - Selangor mencerahkan peluang untuk memburu kedudukan tiga teratas Liga Super apabila menumbangkan ATM 2-1 di Stadium Shah Alam, semalam.

Namun aksi di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu lebih mencuri tumpuan apabila Kelantan mengamuk belasah pasukan tuan rumah 4-0.

K. Gurusamy muncul wira Selangor apabila memastikan tiga mata buat Selangor apabila jaringannya pada minit terakhir masa kecederaan memastikan Red Giants terikat sama 33 mata dengan ATM.

Namun perbezaan jaringan masih memihak kepada ATM untuk kekal pada tangga ketiga Liga Super.

ATM tempang apabila beraksi dengan 10 pemain setelah Marlon Alex James diperintah keluar padang pada minit ke-35 kerana menerima kad kuning kedua.

Selangor memanfaat peluang tersebut dan mendahului lima minit kemudian hasil jaringan menakjubkan Mohd. Amri Yahyah yang bijak meloloskan diri daripada kawalan pemain ATM, Irwan Fadzli Idrus, sebelum melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Farizal Harun.

ATM masih mampu bangkit menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama menerusi penalti Bruno Martelotto, setelah pemain Selangor, Adam David Griffiths mengkasari Christie Jayaseelan di dalam kotak penalti.

Di Kuala Terengganu, hasrat Terengganu untuk menebus kehampaan setelah tersingkir pada separuh akhir Piala FA bukan sahaja tidak kesampaian tetapi dimalukan dengan kekalahan 0-4 kepada Kelantan.

Disaksikan hampir 10,000 penyokong sendiri dalam aksi pertama pada sebelah malam, Terengganu dibolosi seawal minit ke-11 menerusi Mohd. Badhri Radzi yang meledak sepakan lambung.

Kelantan semakin garang pada babak kedua apabila menggandakan kelebihan jaringan pada minit ke-46 hasil percubaan Dickson Nwakaeme.

Nwakaeme kemudian menjadi pencetus kepada gol ketiga Kelantan apabila melakukan hantaran kemas yang mudah disempurnakan Md. Norfarhan Muhamad pada minit ke-49.

Pemain sayap, Mohd. Faiz Subri melengkapkan malam derita skuad Penyu apabila rembatan derasnya gagal diselamatkan penjaga gol, Md. Sharmiza Yusof pada minit ke-55.

Hamidin Setiausaha Agung baharu?

Posted: 21 Jun 2013 10:44 AM PDT

KUALA LUMPUR - Ketika Datuk Azzuddin Ahmad hanya menunggu masa untuk memulakan tugasnya bersama Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), nama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin terus disebut sebagai calon pilihan untuk mengisi kerusi panas Setiausaha Agung FAM.

Hamidin yang ditanya mengenai khabar angin tersebut di sini semalam, bagaimanapun tidak mengiyakan perkara itu.

Menurutnya, biarlah persoalan itu disebut sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

"Itu cuma khabar angin (dilantik Setiausaha Agung FAM yang baharu), saya tidak boleh pengesahannya kerana itu semua terletak dalam bidang kuasa Presiden FAM.

"Minta maaf kerana saya tidak boleh menjawab persoalan anda, hanya Tuanku sahaja yang boleh menjawab namun baginda tidak dapat hadir hari ini.

"Saya tahu ramai wartawan datang mahu mendapatkan kesahihan daripada saya namun saya tidak boleh bercakap apa-apa, " katanya selepas taklimat dan perbincangan khas perlawanan akhir Piala FA di sini semalam.

Difahamkan Azzudin bakal berpindah pejabat barunya pada 1 Julai ini dan kekosongan jawatan itu akan diisi oleh Hamidin setelah mendapat perkenan Sultan Ahmad Shah.

Selain Hamidin, seorang lagi yang turut disebut-sebut adalah Pengarah Eksekutif Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Windsor Paul John.

Jika Hamidin menggantikan Azzuddin, beliau perlu melepaskan beberapa jawatannya di FAM seperti Naib Presiden dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan selain Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang disandangnya sejak 1995.

Hamidin antara orang lama di FAM dan berpengalaman luas dalam bola sepak.

Beliau turut mendapat sokongan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS