Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Lions pertahan rekod kebal

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh IFQDAR RAHMAN
ifqdar.rahman@utusan.com.my

Penyerang Johor Darul Takzim, Mohd. Aidil Zafuan melakukan percubaan ke gawang Lions XII pada aksi Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi. - MINGGUAN/RAJA JAAFAR ALI

SINGAPURA - Johor Darul Takzim (Johor DT) hampir meleburkan rekod kebal Lions XII di laman sendiri namun akhirnya terpaksa akur dengan jaringan penyamaan pasukan tuan rumah untuk seri 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Jalan Besar, Singapura semalam.

Namun, Lions XII cemas sebelum memastikan rekod tanpa kalah di laman sendiri dapat dikekalkan apabila Johor DT mendahului menerusi jaringan Leonel Nunez pada minit kesembilan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Lions XII menggandakan asakan sehingga permainan agak tegang, menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kepada Safiq Rahim pada minit ke-13.

Safee Sali yang membantah keputusan pengadil turut menerima kad kuning.

Skuad Fandi Ahmad hampir menggandakan jaringan menerusi gerakan Safee pada minit ke-22, namun percubaan pemain kebangsaan itu berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah, Nazrul Nazari.

Babak kedua lebih memihak kepada pasukan tuan rumah dan percubaan terbaik untuk jaringan penyamaan dilakukan Safuwan Baharuddin pada minit ke-78 namun percubaannya terlalu tinggi.

Safuwan akhirnya memastikan Lions XII mengekalkan rekod tanpa kalah apabila percubaannya menewaskan penjaga gol Harimau Selatan, Al Hafiz Hamzah pada minit ke-82.

Johor DT terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila Mohd. Aidil Zafuan dilayangkan kad merah pada minit ke-87, kerana mengkasari pemain lawan.

Keputusan itu tidak menjejaskan penguasaan Lions XII pada tangga teratas liga dengan 39 mata, diekori Johor DT dengan 35 mata.

Kebimbangan mengenai jerebu sebelum sepak mula semalam ternyata tidak menjejaskan perlawanan kerana keadaan jerebu di negara itu mulai reda sejak semalam.

Sementara itu, di Stadium Darul Makmur Kuantan, hasrat Pahang untuk mengutip tiga mata tidak kesampaian apabila kalah 1-2 kepada Perak.

Perak, yang jarang melakukan serangan mengejutkan Pahang apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil rembatan Azlan Ismail pada minit ke-60.

Namun, Pahang menyamakan kedudukan hasil sepakan bebas Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-78.

Perak memastikan tiga mata penuh apabila Paulo Rengal menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81.

Sementara itu, pasukan tercorot, Negeri Sembilan terus malang apabila kalah 0-1 kepada PKNS di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban, hasil jaringan Nazmi Faiz Mansor.

Pemilihan terburuk - Kok Chi

Posted: 22 Jun 2013 09:44 AM PDT

Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my

Sieh Kok Chi (kiri) yang mempertahankan jawatan Setiausaha Kehormat MOM menerima ucapan tahniah daripada Tunku Imran Tuanku Jaafar selepas sesi pemilihan di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Datuk Sieh Kok Chi menyifatkan cabaran yang dihadapinya ketika mempertahankan jawatan Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam, adalah yang terburuk pernah dilaluinya.

Beliau yang mengekalkan jawatannya setelah mendapat 62 undi berbanding 36 undi oleh pencabarnya T. Kumar dalam sesi pemilihan MOM semalam berkata, beliau kecewa kerana terlalu banyak perkara yang dipolitikkan pada pemilihan kali ini.

"Sejak dua tahun lalu, saya diserang dengan pelbagai tohmahan tetapi semua tuduhan itu tidak ada bukti," katanya selepas pemilihan MOM di sini semalam.

Sesi pemilihan semalam turut menyaksikan Timbalan Presiden Datuk A. Sani Karim gagal mempertahankan jawatannya apabila meraih 44 undi berbanding pencabarnya, Tan Sri Mohamad Noor Abdul Rahim dengan 53 undi.

Bagi jawatan Naib Presiden yang menyaksikan pertandingan lapan penjuru, lima pemenang dipilih iaitu Tan Sri Abdul Halil Abd. Mutalif (87 undi), Datuk Low Beng Choo (83 undi), Datuk Paduka Mumtaz Jaafar (58 undi), Profesor Datuk Dr. Zakaria Ahmad (54 undi) dan Datuk Danyal Balagopal Abdullah (54 undi).

Jawatan Bendahari Kehormat dimenangi Yong Choo Kong (53 undi) manakala lawannya Ling Eng Chan 44 undi.

Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar kekal Presiden setelah tidak dicabar.

Kok Chi mendedahkan dia diserang dari setiap sudut dengan tujuan untuk menjatuhkannya, termasuklah didakwa menyalahgunakan kuasa dan dana MOM sehingga dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM).

Namun, katanya semua tuduhan itu gagal buktikan.

"Saya tidak perlukan wang MOM untuk jadi kaya. Kedudukan kewangan saya kukuh.

"Sepanjang bersama MOM, saya tak buat apa-apa kesalahan pun. Saya mendukung persatuan sukan kebangsaan. Kalau adapun kelemahan saya, biasalah saya juga manusia," katanya.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS