Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Enggan ikut emosi

Posted: 06 Jan 2011 09:21 AM PST

"SAYA bukan mengelak media, tapi tidak mahu membuat sebarang kenyataan mengikut emosi," kata jurulatih perseorangan badminton negara Datuk Misbun Sidek ketika diminta mengulas mengenai isu peletakan jawatannya.

Sejak beliau menghantar surat peletakan jawatan menerusi emel kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 31 Disember lalu, Misbun langsung tidak bersuara memberi alasan sebenar peletakan jawatan beliau.


Selepas BAM membuat kenyataan presidennya, Datuk Mohd Nadzmi Salleh akan bertemu Misbun sendiri bagi menyelesaikan kemelut itu, sehingga hari ini pertemuan itu masih gagal menjadi kenyataan.

Namun sudah ada nada positif masalah ini akan berakhir, tidak kira sama ada Misbun kembali atau meninggalkan BAM kerana jurulatih itu sudah mula bersuara.


"Saya tidak akan beritahu apa masalahnya kepada umum, ini masalah dalaman biarlah diselesaikan secara dalaman bukan di dada media.


"Tapi ini bukan masanya untuk saya bertemu sesiapa. Saya perlukan lebih masa untuk bertenang kerana saya mahu pertemuan dengan Nadzmi tidak dipengaruhi kenyataan beremosi," kata jurulatih itu yang berjaya melahirkan dua juara Seluruh England iaitu Muhd Hafiz Hashim dan Datuk Lee Chong Wei.

Misbun bukan hanya tidak mahu menjelaskan punca sebenar masalah itu kepada media, malah enggan mendedahkan butiran perbincangan antara beliau dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sebuah restoran di Ampang, malam semalam.


Dalam pada itu, Ahmad Shabery di Kuching, Sarawak berkata beliau akan mengatur pertemuan enam mata antara Misbun, Nadzmi dan beliau sendiri.

Pertemuan antara Misbun dan Nadzmi dijangka dapat menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan seminggu itu.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Shabery jamin isu peletakan jawatan Misbun boleh selesai

Posted: 06 Jan 2011 09:21 AM PST

ADA nada positif hasil pertemuan rahsia Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek, malam kelmarin.

Jodoh jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mungkin dapat diselamatkan sekiranya rancangan Ahmad Shabery mengatur pertemuan enam mata antara beliau, Misbun dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, menjadi kenyataan.


Misbun yang 'bercerai' dengan BAM selepas didakwa tidak berpuas hati dengan badan induk badminton negara itu, menjelaskan perkara sebenar kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengadakan pertemuan empat mata tanpa kehadiran pegawai BAM.

Namun, usaha mengurangkan suhu dalam BAM masih buntu sehingga memaksa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) merencana satu pertemuan yang dijangka diadakan hujung minggu ini.


"Saya dimaklumkan sebab utama Misbun meletak jawatan. Beliau (Misbun) menjelaskan terpaksa meletak jawatan kerana wujud perbezaan pendapat antaranya dengan pegawai BAM terutama dalam pelbagai aspek.


"Saya hanya boleh beri jaminan perkara ini mampu diselesaikan sekiranya pertemuan antara (Misbun dan BAM) menjadi kenyataan," katanya yang turut menghubungi BAM mengenai perkara dijelaskan Misbun.

Meskipun banyak perkara mencetuskan rasa tidak puas hati Misbun diluahkan pada pertemuan turut disertai pegawai KBS, Ahmad Shabery tetap mengambil pendekatan menutup mulut.


"Memang ada beberapa perkara yang disebut Misbun (dalam pertemuan itu) tapi, saya tidak mahu mendedahkan semuanya. Cukuplah saya katakan salah satu daripadanya disebabkan perbezaan pendapat," katanya.

Tanpa menyatakan tempat dan masa pertemuan itu, Ahmad Shabery memberi jaminan ia bakal diadakan sekembalinya dari menghadiri lawatan ke Sarawak.


"Saya akan mengatur pertemuan tiga pihak dengan Misbun dan Datuk Nadzmi sebaik saja saya pulang ke ibu negara," katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Akuatik Negeri Sarawak di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, semalam.


Beliau mengakui Misbun ada memberi bayangan pegawai dikatakan menyebabkan berlaku salah faham dan menerbitkan rasa tidak puas hati beliau sehingga meletak jawatan.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan