Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Ganjaran keterlaluan?

Posted:

Ganjaran keterlaluan?

Ganjaran keterlaluan?

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Pemerhati sukan bola sepak tanah air memberikan pelbagai reaksi berhubung limpahan ganjaran buat pemain skuad negara yang menjulang Piala Suzuki AFF, baru-baru ini, dengan ada yang menyifatkan mereka berhak menerimanya. Tidak kurang yang menganggap ada bentuk imbuhan agak keterlaluan.

Mereka berpendapat, memang masa yang tepat untuk memberikan habuan ribuan ringgit kepada anak buah K. Rajagobal, tetapi tidak perlu sehingga melibatkan pemberian berupa tanah atau rumah, mahupun pingat kebesaran.

Ia dikhuatiri ada pemainnya yang masih berusia awal 20-an, terlalu mudah berpuas hati atau terus hanyut dibuai kejayaan di peringkat Asia Tenggara itu.

Pemerhati bola sepak ini turut mengingatkan skuad K. Rajagobal bahawa masih ada empat tahap lebih tinggi yang perlu diburu selepas ini, Piala Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia.

Bagi mereka, Piala Suzuki AFF hanyalah sebuah trofi yang akhirnya tidaklah sebesar mana, selagi satu persatu daripada keempat-empat tahap berkenaan tidak dicapai, sekali gus tidak mampu menandingi tanda aras tertinggi generasi sebelum mereka yang pernah mara ke Sukan Olimpik Munich 1972 dan Moscow 1980.

Kata pengulas sukan Astro Arena, Azlan Johar: "Ganjaran ini memang perlu, biarlah pemain bola sepak negara kaya-raya hasil kejayaan di peringkat antarabangsa, walaupun bukan Piala Dunia. Apa salahnya penat lelah mereka dibalas setelah berjaya membuatkan rakyat kita bergembira sehingga seluruh negara diberi cuti?

"Dengan ganjaran besar, maka bermulanya minat ibu bapa dalam menyemaikan anak-anak mereka dengan bola sepak dan terus meyakinkan golongan ini bahawa sukan mampu menjamin masa depan,''kata bekas pemain negara dan Selangor pada era 80-an hingga 90-an ini.

Bagi legenda bahagian tengah negara yang mara ke Olimpik 1980, Shukor Salleh, "ganjaran buat mereka memang wajar kerana sudah lama kita tidak dapat kejayaan yang sebesar itu. Walaupun sekadar di peringkat Asia Tenggara, ada bagusnya kejayaan mereka dihargai dengan pelbagai bentuk termasuk tanah. Mungkin jika semata-mata diberi wang, mudah dan cepat pula habis begitu sahaja tetapi dengan tanah atau rumah, ada juga kenangan pada masa depan mereka.

"Zaman sudah berubah walaupun ketika saya bermain dan layak ke Olimpik, kami cuma dihadiahkan jam. Saya mengerti ketika itu penaja tidak seperti sekarang, malah sokongan dan penghargaan kerajaan negeri tidak begitu kuat dan menggalakkan. Bagi kami ketika itu, penghargaan dan ganjaran sebenarnya ialah apabila diberi peluang menyarung jersi negara pun sudah memadai.

"Kami tidak berkira sangat namun saya tidak mempertikaikan apa yang pemain sekarang dapat. Apabila kami bermain untuk Malaysia di luar negara terasa macam menjadi diplomat atau duta kerana membawa nama negara dan bermain demi semangat kenegaraan," katanya.

Kata blogger sukan terkenal yang juga bekas wartawan sukan sebuah tabloid berbahasa Inggeris, Rizal Hashim, "sekadar menghargai kejayaan pasukan dengan wang sudah memadai tetapi bukan sehingga mereka diberikan tanah atau rumah mahupun bintang yang mungkin membawa sesuatu gelaran kebesaran. Kejayaan ini tidak boleh dibandingkan dengan Piala Thomas (badminton) 1992 apabila ada pemain yang dapat tanah kerana ia sudah bertaraf dunia.

"Bagi bola sepak, kita menagih kejayaan yang lebih besar, di Asia, Olimpik dan Piala Dunia dan sekiranya pasukan kita berjaya ke tahap itu, barulah ganjaran yang selain wang itu boleh dipertimbangkan," katanya.

Bagi pengulas sukan RTM yang terkenal dengan slogan, "Terima Kasih, Terima Kasih, Terima Kasih" - Hafizal Hamad, "tidak kira apa juga bentuknya - wang, tanah atau rumah, skuad juara Piala Suzuki AFF ini berhak menerimanya kerana sudah memberikan segala-galanya untuk memastikan kejayaan yang sekian lama ditunggu-tunggu rakyat Malaysia.

"Namun jangan sesekali hanyut dengan kejayaan di peringkat Asia Tenggara. Ia masih bukan penanda aras yang besar tetapi boleh dianggap macam batu loncatan untuk kita mara sejauh Piala Asia, Sukan Asia, Sukan Olimpik dan Piala Dunia. Ayuh kita mencontohi kejayaan konsisten Thailand sebelum ini dan kepada FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia), pantaulah selalu skuad ini," katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Tiada jaminan ke kelayakan Olimpik

Posted:

Tiada jaminan ke kelayakan Olimpik

Tiada jaminan ke kelayakan Olimpik

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my


Pemain Harimau Muda, Mahali Jasuli (kiri) diasak pemain Johor, Wan Azwari Wan Nor pada perlawanan persahabatan di padang Wisma FAM Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/Azrul Edham Mohd Aminuddin


PETALING JAYA - Biarpun berada di dalam skuad Harimau Muda A, ia bukan merupakan jaminan buat mana-mana pemain bahawa nama mereka akan dipilih dalam skuad Malaysia yang akan beraksi di kelayakan Sukan Olimpik 2012 nanti.

Jurulatihnya, Ong Kim Swee menegaskan, pintu untuk mewakili Malaysia di pentas kelayakan Olimpik masih terbuka buat mana-mana pemain berumur 22 tahun ke bawah yang tidak beraksi dengan skuad Harimau Muda.

''Kita mahu dapatkan senarai pemain terbaik sebelum memulakan cabaran pusingan kelayakan Sukan Olimpik, tidak semestinya kami akan menyerap seratus peratus pemain dari Harimau Muda A dan beberapa pemain kebangsaan yang lain.

''Sebaliknya dalam masa sama, saya akan memantau perlawanan lain yang berlangsung dalam liga. Jika ada mana-mana pemain berumur 22 tahun ke bawah saya dapati menyerlah, mungkin saya akan memasukkan nama mereka di dalam skuad.

''Oleh itu, saya mahu berpesan kepada para pemain saya, jangan berasa cepat berpuas hati, manakala kepada pemain yang tidak beraksi bersama Harimau Muda mempunyai keinginan mewakili negara di pentas Olimpik, ini adalah masanya untuk anda menonjolkan diri.

''Buat masa ini, beberapa nama dari luar skuad Harimau Muda sedang pertimbangkan, seperti Khairul Fahmi Che Mat, Mohd. Faizal Abu Bakar, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali, '' katanya selepas perlawanan persahabatan dengan Johor di padang Wisma FAM, semalam.

Malaysia akan memulakan cabaran pusingan pertama timbal balik menentang Pakistan pada 23 Februari depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebelum bertandang ke tempat lawan pada 9 Mac.

Menyentuh mengenai sasaran kelayakan Olimpik, Kim Swee nyata mahu berpijak kepada realiti, kerana sedar adalah satu tugas yang amat sukar bagi mendapatkan salah satu slot benua Asia ke London 2012.

''Jika ditanya pada saya, terus terang saya mahukan bermain di Sukan Olimpik tetapi saya akur ia satu tugas yang sukar walaupun tidak mustahil.

''Saya lihat jika kita mampu mara ke pusingan ketiga atau peringkat kumpulan yang menempatkan 12 pasukan terakhir, saya anggap itu sudah satu pencapaian yang begitu baik, '' ujarnya.

Menjelang perlawanan dengan Pakistan, dia yakin peminat tempatan akan turun memberikan sokongan padu kepada pemainnya di Stadium Nasional nanti.

''Momentum skuad kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF mungkin akan memberikan banyak kesan kepada penonton negara untuk turun ke stadium, itu akan memberikan kesan positif kepada para pemain untuk menampilkan persembahan lebih bersemangat, '' katanya.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan