Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Jangan kusutkan rundingan

Posted:

Jangan kusutkan rundingan

Jangan kusutkan rundingan

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
sukan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sedang merangka 'pelan damai' dengan Datuk Misbun Sidek apabila membuka pintu rundingan bersama jurulatih perseorangan itu, tindakan beberapa anggota Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) mengancam untuk meletakkan jawatan hanya akan menyukarkan proses rundingan.

Tiga anggota CTC, Tony Tan (Pulau Pinang), Abdul Hadi Abdul Kadir (Sarawak) dan Teoh Teng Chor (Kedah) kelmarin mengancam akan melepaskan jawatan sekiranya BAM melayani tuntutan Misbun dan melakukan perubahan dalam struktur mereka hanya semata-mata hendak membawa jurulatih itu kembali.

Melihat perkembangan semasa yang nyata tidak menggembirakan, Setiausaha BAM, Ng Chin Chai, yang juga pengerusi CTC menegaskan, semua pegawai badan badminton itu sepatutnya memberi sepenuh kepercayaan kepada Presiden, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh untuk menyelesaikan isu tersebut tanpa menganggunya.

Tegas Chin Chai, Presiden telah diberi mandat oleh semua ahli majlis untuk berbincang dengan Misbun dan cuba meyakinkan jurulatih itu agar menimbangkan semula peletakan jawatannya, dan semua pihak diharap menghormati proses rundingan yang belum lagi berlangsung.

"Saya faham apa yang difikirkan semua pegawai BAM kerana sebagai anggota CTC kami saling berhubung dan berkomunikasi berhubung isu ini tetapi pinta saya kepada mereka, kita serahkan sepenuh kepercayaan kepada Presiden untuk berunding serta menyelesaikan perkara ini dengan Misbun.

"Presiden sedang berusaha meyakinkan Misbun untuk kekal sebagai jurulatih, perbincangan terarah kepada proses meyakinkan beliau agar memahami mengapa struktur baru diperkenalkan dan apakah matlamat di sebalik semua program yang dirangka BAM.

"Sama ada akan berlakunya kompromi dalam rundingan itu nanti, ia bergantung kepada apa yang Misbun ingin sampaikan kepada Presiden. Kita tidak tahu apa yang beliau ingin kongsikan kerana rundingan belum bermula, jadi selagi proses itu tidak berlangsung kita jangan buat andaian," ujar Chin Chai.

Menurut Chin Chai lagi, Presiden akan menyampaikan mandat yang diberikan oleh seluruh majlis BAM dalam pertemuan dengan Misbun nanti dan pada masa yang sama mendengar apakah yang diperlukan oleh jurulatih itu untuk membolehkan beliau kekal di BAM.

Sama ada ideologi atau perbezaan pandangan di antara kedua-dua pihak boleh diselesaikan, ia bergantung kepada apakah permintaan yang dikemukakan oleh Misbun dan kesediaannya menerima idea dan perancangan BAM.

Namun, Chin Chai dengan jelas mengatakan, tolak ansur sepatutnya boleh berlaku, bukan saja di pihak BAM tetapi Misbun, seandainya kepentingan negara dan pemain menjadi intipati kepada rundingan itu nanti. Malah, beliau masih berharap masalah ini akan menemui penyelesaian positif.

Ditanya bilakah rundingan akan berlaku, Chin Chai menjelaskan, Nadzmi masih mengatur waktu yang sesuai dan ia mungkin akan diadakan dalam tempoh ketika kejohanan badminton Terbuka Malaysia berlangsung di antara 18-23 Januari ini.

Mesyuarat exco BAM pada mesyuarat Rabu lalu bersetuju untuk membuka pintu rundingan dengan Misbun dengan meminta jurulatih itu menimbangkan keputusannya untuk meletakkan jawatan.

Walaupun tidak menyatakan dengan jelas tawaran yang sedia diberikan kepada Misbun untuk mengekalkan jurulatih senior itu, namun Nadzmi memberi bayangan bersedia untuk berkompromi dalam beberapa isu demi mengelakkan perkara yang merugikan negara berlaku.

Presiden BAM itu bagaimanapun tidak menjelaskan apakah membenarkan Misbun Ramdan Misbun kembali berlatih bersama Misbun, antara tawaran yang sedia diberikan oleh badan badminton itu, sambil menegaskan, ia tidak semestinya menjadi isu pokok dalam perbincangan tersebut.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

Puvaneswaran, Nicol atlet Olimpian 2010

Posted:

Puvaneswaran, Nicol atlet Olimpian 2010

Puvaneswaran, Nicol atlet Olimpian 2010


R.Puvaneswaran menunjukkan pingat Olimpian Lelaki 2010 dan cek RM10,000 yang diterimanya pada majlis penyampaian khas anugerah tersebut di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Foto Rashid Mahfof


KUALA LUMPUR – Atlet karate negara, R. Puvaneswaran melakar kejutan apabila mengetepikan calon pilihan, yang juga jaguh berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang apabila dinobat Olimpian Lelaki Negara 2010, semalam.

Datuk Nicol David pula menepati ramalan apabila pemain skuasy No. 1 dunia itu dipilih sebagai Olimpik Wanita Negara, mengetepikan saingan jaguh wusyu negara yang memenang pingat emas Sukan Asia, Chai Fong Ying dan atlet terjun, Pandelela Rinong.

Ia merupakan kemenangan kedua buat Nicol, selepas menerima anugerah yang sama untuk 1998. Kemenangan tersebut membolehkan Puvaneswaran dan Nicol masing-masing membawa pulang RM10,000 sumbangan Coca-cola beserta trofi. Hadiah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Puvaneswaran, pemenang pingat emas acara Kumite lelaki bawah 55kg pada Sukan Asia 2010, berkata, dia terkejut dan tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.

''Saya tidak menduga boleh terpilih sebagai pemenang kerana calon untuk kategori lelaki cukup hebat seperti Azizulhasni, Alex Liew (boling) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton).

''Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang saya terima sepanjang karier saya dalam sukan ini.

''Lebih penting, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada sukan karate, kerana saya adalah penerima pertama dari sukan karate,'' katanya.

Sementara Nicol tidak dapat hadir pada majlis semalam dan hadiah diterima oleh pengurus pasukan skuasy negara ke Sukan Asia, Peter Chee.

Menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis tersebut, Nicol mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak.

Katanya, anugerah itu pasti akan menyuntik semangat juangnya bagi menampilkan persembahan yang lebih mantap di masa depan.

Tahun lepas, pemain skuasy wanita No. 1 dunia itu meraih satu emas pada Sukan Komanwel dan dua emas pada Sukan Asia.

Beliau juga merupakan pemenang `National Sportswomen Award' dari tahun 2006 hingga 2009.

Full Feed Generated by GetFullRSS.com, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan