Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Selangor bangkit, Kelantan tumbang

Posted:

Selangor bangkit, Kelantan tumbang

Selangor bangkit, Kelantan tumbang


PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (kiri) gagal menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi oleh penyerang Pahang pada aksi di Kuantan malam tadi.


T-TEAM gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Perak dalam saingan Liga Super semalam.

Keputusan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu itu turut menyaksikan Perak kekal dengan rekod tanpa kalah selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Bagaimanapun, tuan rumah seharusnya berterima kasih kepada kehebatan penjaga gol, Syamsuri Mustapa yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan pemain Perak.

Peluang terbaik Perak hadir seawal minit kelima, namun percubaan jarak jauh daripada Akmal Rizal Rakhli mudah ditepis keluar oleh Syamsuri.

Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan padang becak akibat hujan turun memberi kesukaran kepada kedua-dua pasukan untuk menjaringkan gol.

Sementara itu, Negeri Sembilan gagal menafaatkan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Selangor pada aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di Seremban.

Skuad Hoben Jang Hoben terlebih dahulu mengejutkan pasukan pelawat apabila mendahului pada separuh masa pertama tetapi Selangor bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua.

Pada separuh masa pertama skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan itu lebih banyak menguasai perlawanan dan melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Selangor, namun penyudah lemah menafikan mereka melakukan jaringan.

Negeri Sembilan terlebih dahulu menceriakan kira-kira 10,000 penyokongnya apabila memperoleh sepakan penalti pada minit ke-10 selepas penjaga gol Selangor, menjatuhkan pemain sayap, S. Kunalan.

Shahurain Abu Samah yang dipertanggungjawabkan mengambil sepakkan tersebut mudah menewaskan Mohd. Iqbal dan menjadikan kedudukan 1-0 pada separuh masa pertama.

Kunalan hampir menambah gol kedua untuk pasukan tuan rumah lima minit sebelum separuh masa pertama berakhir tetapi rembatannya sekadar singgah pada palang gol Selangor.

Pada separuh masa kedua, Selangor melancarkan beberapa serangan dalam usaha menyamakan kedudukan tetapi gagal memecahkan benteng pertahanan Negeri Sembilan yang diketuai Muhd. Shukor Adan dan G. Mahathevan.

Penjaga gol Negeri Sembilan, Mohd. Farizal Marlias juga bertindak cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya daripada penyerang Selangor yang diketuai Mohd. Amirulhadi Zainal dan Mohd. Amri Yahyah.

Jurulatih Selangor, K. Devan kemudiannya membuat pertukaran strategi apabila memasukkan Mohd. Fitri Shazwan dan Mohd. Faziudin Khalid bagi menggantikan Mohd. Fadzli Saari dan Mohd. Hardi Jaafar.

Hasilnya skuad The Red Giant itu berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-61 selepas Amri Yahya mudah menewaskan Mohd. Farizal selepas menerima lorongan cantik daripada Safiq Rahim.

Tersentak dengan gol penyamaan tersebut, Negeri Sembilan membuat sedikit perubahan apabila memasukan penyerang sensasi, Mohd. Zaquan Adha bagi menggantikan Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-65.

Namun, Safiq Rahim muncul wira Selangor apabila menjaringkan gol kemenangan untuk pasukannya melalui satu tandukkan cantik pada minit ke- 78.

Negeri Sembilan cuba bangkit mencari gol penyamaan pada minit-minit terakhir perlawanan tetapi keputusan kekal hingga ke wisal penamat.

Pada perlawanan lain menyaksikan Kedah yang dibimbing oleh Radhi Mat Din kembali bernafas apabila mencatat kemenangan 2-1 ke atas Terengganu di Alor Setar.

Felda United pula semakin garang apabila mencatat kemenangan 2-0 ke atas Perlis di Kangar, sementara pendahulu liga Kelantan, tewas 0-2 kepada Pahang di Kuantan.

Dengan kekalahan itu, rekod bersih Kelantan kini sudah tercalar, namun masih unggul memimpin kedudukan liga dengan 14 mata.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Rentak pelumba Malaysia sumbang

Posted:

Rentak pelumba Malaysia sumbang

Rentak pelumba Malaysia sumbang

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) diperkenalkan kepada pelumba negara, Hariff sebelum bermulanya saingan peringkat kelima di Pekan, Pahang semalam.


SEPERTI diduga, saingan peringkat kelima Kejohanan Lumba Basikal Jelajah Malaysia (JM) 2011 semalam adalah perlumbaan paling mencabar buat barisan pelumba Malaysia.

Pada perlumbaan dari Pekan ke Bentong sejauh 221.2 kilometer itu, pelumba negara dilihat bergelut untuk menamatkan jarak terpanjang pada JM edisi kali ini apabila pelumba LeTua, Vidal Celis Zabala berjaya muncul juara, sekali gus merampas Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan daripada tangan jaguh pecut negara, Anuar Manan dari pasukan Terengganu Pro Asia (TSG).

Zabala yang juga juara peringkat kedua dari Bandar Penawar ke Kluang, mencatat masa 5 jam, 13 minit dan 10 saat untuk menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat.

Hanya seorang saja pelumba dari Malaysia, iaitu Mohd. Shahrul Mat Amin dari pasukan TSG yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terawal dengan menduduki tempat keenam dengan catatan masa yang sama.

"Hari ini jarak perlumbaan sangat jauh dan saya juga kehilangan banyak tenaga kerana terlalu banyak breakway daripada pelumba lain," kata Zabala pada sidang media semalam.

"Begitupun, saya tetap berusaha untuk memastikan saya tidak ketinggalan jauh daripada pelumba di depan dan ketika semakin menghampiri penamat, saya seperti mendapat tenaga baru untuk melakukan pecutan.

"Jadi esok (hari ini) saya akan cuba mengekalkan Jersi Kuning ini, tetapi perlumbaan terakhir esok juga amat jauh. Mungkin ramai pelumba lain yang akan cuba berada dekat dengan saya. Saya harap rakan sepasukan dapat membantu saya pada saingan esok," ujarnya lagi.

Sementara itu, pelumba TSG, Mohd. Hariff Salleh masih mengekalkan Jersi Hijau sebagai Raja Pecut dengan 66 mata diikuti rakan sepasukan, Anuar (62 mata) dan Ioannis Tamouridis (44 mata).

Jersi Biru selaku Pelumba Terbaik Asia pula menjadi milik pelumba Tabriz Petrochemical, Mehdi Sohrabi manakala pelumba pasukan Asian Racing dari Jepun, Kenichi Suzuki mengekalkan Jersi Merah selaku Raja Bukit.

Bagi Jersi Putih untuk pelumba terbaik Malaysia pula dimenangi Amir Mustafa Rusli dari pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

PasukanTabriz Petrochemical dari Iran terus mengungguli gelaran pasukan terbaik keseluruhan diikuti Giant Kenda dari Taiwan dan Eddy Merckx - Indeland dari Greece.

TSG pula kekal menjadi pasukan terbaik Malaysia keseluruhan diikuti pasukan LeTua dan skuad kebangsaan Malaysia.

Hari ini, JM2011 akan melabuhkan tirainya dengan peringkat keenam bermula dari Batu Caves ke USIM sejauh 175.1 km dengan melibatkan tiga zon pecutan iaitu di Petronas Jalan Reko, Kajang (zon 1), IKTBN Sepang (zon 2) dan Petronas Taman Semarak (zon 3) manakala dua zon pendakian pula di Look Point, Ampang (KOM 1) dan Semenyih (KOM 2).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Skuad jalan kaki negara selamat

Posted:

Skuad jalan kaki negara selamat

Skuad jalan kaki negara selamat

SKUAD jalan kaki negara yang tiba di Jepun kelmarin untuk menyertai Kejohanan Jalan Kaki 20 Kilometer Asia di Nomi City, Jepun dilaporkan selamat.

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim berkata, skuad yang diwakili empat anggota serta tiga jurulatih itu berada jauh dari kawasan yang dilanda gempa bumi dan tsunami.

"Mereka semua selamat dan saya difahamkan pertandingan jalan kaki itu akan berjalan seperti biasa esok (hari ini)," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, atlet jalan kaki iaitu Norliana Mohd. Rusni, T. Dhiban Raj, Lo Choon Siang, Teoh Boon Lim serta tiga jurulatih iaitu V. Subramaniam, R. Mohan dan Abdul Aziz Abd Manaff berada di sebuah hotel di Komatsu, Jepun ketika kejadian gempa itu berlaku.

Sementara itu, Subramaniam ketika dihubungi Bernama berkata, kejadian gempa itu berlaku jauh dari tempat mereka menginap dan tiada gegaran dirasai.

"Kami semua selamat dan pertandingan yang akan berlangsung esok (hari ini) akan berjalan seperti biasa," katanya.

Kawasan gempa itu berlaku lebih 700 kilometer dari tempat rombongan skuad jalan kaki menginap.

Gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter menggegarkan Jepun tengah hari semalam dan menyebabkan wilayah timur laut negara itu dilanda tsunami setinggi 10 meter. Setakat ini, sekurang-kurangnya 1,000 orang dilaporkan maut akibat bencana alam itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan