Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kenang jasa Misbun

Posted:

Kenang jasa Misbun

Kenang jasa Misbun

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI
norzie.khasbi@utusan.com.my


AKSI Lee Chong Wei (kanan) ketika menentang Lin Dan pada perlawanan akhir All England di Birmingham, kelmarin. – AFP


KUALA LUMPUR – Biarpun telah membuktikan dia mampu mempertahankan kejuaraan All England tanpa kehadiran Datuk Misbun Sidek, namun Datuk Lee Chong Wei tetap menganggap mentornya itu sebagai sebahagian daripada kejayaannya di Birmingham.

Malah, Chong Wei sedikit sebak ketika ditanya mengenai status jurulatihnya itu sejurus melakar kemenangan 21-17, 21-17 ke atas seteru utama, Lin Dan pada babak akhir, kelmarin.

Jaguh No. 1 dunia itu memperagakan aksi terbaik untuk membawa pulang gelaran All England kedua berturut-turut dengan dibimbing Tey Seu Bock. Chong Wei menjadi pemain Malaysia pertama berjaya mempertahankan kejuaraan selepas Datuk Eddy Choong melakukannya pada 1956 dan 1957.

Kemenangan ini menguatkan keyakinan jaguh perseorangan itu untuk memburu dua lagi kejuaraan besar yang tidak pernah dimenangi - Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia.

Sama ada misi ke London 2012 akan diteruskan tanpa atau dengan Misbun, yang meletakkan jawatan pada 31 Disember lalu, bagi Chong Wei yang penting ketika ini, dia mahu berkongsi detik indah All England bersama jurulatihnya itu.

"Saya tujukan kemenangan ini buat Perdana Menteri dan isteri. Ia juga adalah hadiah buat jurulatih saya, Misbun Sidek. Saya tidak tahu apa masalah beliau (Misbun) dan BAM (Persatuan Badminton Malaysia) tetapi saya harap beliau boleh balik.

"Kejayaan ini juga buat semua peminat yang menyokong saya, baik di Malaysia mahu pun Birmingham," katanya.

Malah, Chong Wei turut menerima hadiah istimewa sejurus tamat perlawanan apabila mendapat ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Beliau (Najib) menelefon saya dan berkata, kamu melakukan tugas yang bagus,'' katanya.

Biarpun ramai yang melihat kejayaan menjuarai All England tahun lalu lebih istimewa kerana dipahat pada ulang tahun ke-100 kejohanan, namun Chong Wei melihat kemenangan kali ini lebih bermakna.

Apa yang menjadikan ia istimewa adalah kerana dia menumpaskan Lin Dan dalam final kejohanan utama buat kali pertama.

"Kemenangan ini sangat bermakna kerana Lin Dan bukan pemain yang mudah dikalahkan, ia meningkatkan keyakinan saya untuk menghadapi Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik," akui Chong Wei.

Chong Wei memiliki pengalaman kalah dalam tiga final kejohanan utama kepada Lin Dan, bermula dengan Sukan Olimpik 2008, All England 2009 dan Sukan Asia 2010.

Dia juga diaibkan dengan kekalahan mudah 17-21, 8-21 pada separuh akhir Piala Thomas di depan penyokongnya sendiri di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Empat emas Olimpik dalam jangkauan

Posted:

Empat emas Olimpik dalam jangkauan

Empat emas Olimpik dalam jangkauan


Ahmad Shabery Cheek (tengah), James Teo (kanan) dan Zolkples Embong memegang replika angka 500, simbolik 500 hari menjelas Sukan Olimpik London 2012 di Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR - Bukan satu tetapi empat kilauan emas mampu diraih atlet Malaysia pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Itu ramalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang menyifatkan empat emas Olimpik tahun depan sebenarnya 'berada dalam jangkauan' atlet negara.

Menurutnya, empat prospek emas Olimpik ialah menerusi pemain badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei, beregu negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, pelumba basikal trek , Azizulhasni Awang dan penerjun remaja, Pandelela Rinong.

"Saya bercakap demikian kerana saya berasakan ia (emas Olimpik) berada dalam jangkauan kita dan jika dilihat dari segi pencapaian masing-masing, semua atlet ini mampu menjadikan impian kita sebagai satu realiti.

"Namun saya tidak kata ia sebagai sasaran kita. Empat emas sebenarnya boleh dicapai dengan mengambil kira pencapaian terkini atlet berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan 100Plus serta Pelancaran Detik 500 Hari Program Road To London di sini, semalam.

Jelas Ahmad Shabery, Azizulhasni telah membuktikan dia adalah pelumba kierin terbaik dunia dan kini beradapada ranking No. 1.

Malah, katanya, pelumba Terengganu itu masih muda dan hanya akan mencecah usia 23 tahun, tahun depan.

"Selain Azizulhasni, Pandelela merupakan penerjun negara yang telah membuktikan kehebatannya apabila meraih emas Sukan Komanwel di New Delhi, tahun lalu," ujarnya.

Ketika ditanya sama ada ia memberi tekanan kepada atlet remaja yang baru berusia 17 tahun itu, Ahmad Shabery berkata, kebimbangan tersebut tidak sewajarnya wujud.

Ahmad Shabery turut mengucapkan tahniah kepada Chong Wei kerana menumpaskan musuh ketatnya, Lin Dan untuk mempertahankan kejuaraan All England, kelmarin.

Katanya, kejayaan tersebut membuktikan dia layak memegang gelaran pemain No. 1 dunia.

"Chong Wei kini bukan sekadar pemain yang berada di ranking No.1 dunia, tetapi, dia juga merupakan pemain terbaik dunia," tegasnya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, 100Plus menyalurkan penajaan RM4 juta bagi tujuan mempromosi program Road To London. Turut hadir Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dan Pengarah Urusan F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., James Teo.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan