Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


FAM kotakan janji

Posted: 08 Apr 2011 09:43 AM PDT

HANYA beberapa jam sahaja Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah mengotakan janjinya apabila menjelaskan separuh daripada geran tahunan yang sepatutnya diterima semua ahli gabungan badan induk kebangsaan itu.

Ternyata Sultan Ahmad Shah benar-benar serius dengan kenyataannya kelmarin yang menyebut masalah itu akan diselesaikan secepat mungkin dan selaku pemimpin nombor satu FAM, beliau tidak mahu masalah berkenaan dijadikan isu besar oleh sesetengah pihak sekali gus bakal mengaibkan namanya.


Beberapa persatuan bola sepak negeri yang dihubungi semalam mengesahkan mereka sudah menerima sebahagian daripada geran tahunan yang dijanjikan sebelum ini.

Naib Presiden FAM merangkap pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd Amin serta Naib Presiden 1 Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Omar Othman masing-masing mengesahkan geran itu sudah dimasukkan ke dalam akaun masing-masing.


"Ya, memang kami sudah menerima separuh daripada geran tahunan itu petang semalam. Memang mengikut perjanjian, semua persatuan bola sepak negeri akan menerima separuh dan separuh lagi akan diberikan pada pertengahan musim," kata Hamidin dan Omar ketika dihubungi Arena Metro, petang semalam.


Selaku salah seorang 'orang kuat' dalam FAM, Hamidin menegaskan beliau sendiri pernah memaklumkan kepada semua wakil ahli gabungan FAM mengenai kelewatan itu dalam satu mesyuarat sebelum ini.

"Mereka semua sudah tahu bahawa geran tahunan untuk musim ini akan sedikit lewat memandangkan kita perlu menyelesaikan beberapa perkara mengenai perjanjian dengan penaja baru iaitu Astro. Taklimat sudah diberikan dan mereka semua faham dengan keadaan itu.


"Sebahagian kecil daripada wang penajaan Astro diterima oleh FAM pada Jumaat lalu dan semalam, separuh daripada geran tahunan yang dijanjikan sudah dimasukkan ke akaun persatuan bola sepak negeri. Saya harap isu ini tidak dibangkitkan lagi oleh sesiapa pun," kata Hamidin.

Awal minggu ini, Arena Metro menyiarkan keluhan beberapa persatuan bola sepak negeri yang berdepan masalah untuk menguruskan pasukan masing-masing berikutan kelewatan geran tahunan yang sepatutnya diserahkan FAM sebelum musim bermula.


Sultan Ahmad Shah yang ditemui kelmarin memberi jaminan bahawa wang berkenaan akan diserahkan secara segera dan hanya beberapa jam selepas itu, beliau mengarahkan sekretariat FAM untuk menyelesaikan perkara itu.


Hamidin dan Omar masing-masing sepakat menjunjung kasih kepada Sultan Ahmad Shah yang bertindak pantas untuk mengatasi masalah itu dan masing-masing menyifatkan beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat yang perlu dicontohi.


"Memang kami sangat-sangat berterima kasih kepada Sultan Ahmad Shah kerana tindakan pantasnya. Kami yakin semua persatuan bola sepak negeri berterima kasih kepada pemimpin nombor satu FAM itu," katanya.


Difahamkan, Sultan Ahmad Shah juga sedang berkira-kira untuk menambah jumlah geran yang diterima semua ahli gabungan FAM dan perkara itu bakal diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan dan kewangan yang akan diadakan dalam masa terdekat ini nanti.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

>Annuar ucap terima kasih pemberian geran

Posted: 08 Apr 2011 09:42 AM PDT

TIMBALAN Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa berterima kasih di atas pemberian separuh daripada geran tahunan oleh Sultan Ahmad Shah kepada semua ahli gabungan badan induk itu semalam.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, tindakan pantas Sultan Ahmad Shah itu jelas membuktikan beliau adalah pemimpin yang sentiasa peka dan prihatin.


Serentak itu Annuar mahu menjelaskan kenyataannya sebelum ini berhubung kelewatan pemberian wang geran itu telah disalah-ertikan oleh pihak media.

Katanya beliau tidak bermaksud untuk mencampuri urusan Jawatankuasa Pengurusan dan Kewangan FAM yang dipengerusikan oleh Sultan Ahmad Shah.


Malah ia tertakluk kepada keputusan dikeluarkan oleh jawatankuasa berkenaan.


Tambah lagi FAM sebenarnya tidak menerima keseluruhan RM220 juta nilai penajaan Astro sebaliknya hanya baru menerima 10 peratus daripada RM30 juta setakat ini.

Jadi, tegas Annuar tidak timbul langsung isu kelewatan penyerahan geran itu dan kenyataannya berhubung perkara itu telah disalah-lapor.


Beliau sekali lagi menegaskan sentiasa menghormati Sultan Ahmad Shah dan hubungan mereka selama ini juga terjalin rapat dan saling bekerjasama baik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan