Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Cabaran lebur setengah jam

Posted: 11 Aug 2011 08:40 AM PDT

TENTANGAN yang dijangkakan daripada Park Sung-hwan tidak kunjung tiba dan akhirnya pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei melangkah mudah ke suku akhir.

Turun dengan tanggapan pemain Korea itu akan memberikannya cabaran sengit, Chong Wei sebaliknya tidak perlu mengerah seluruh keringat ketika menang 21-10, 21-5 dalam tempoh tidak sampai setengah jam.


"Berbanding dua perlawanan sebelum ini, ini pertemuan paling mudah buat saya. Memang saya tak sangka akan menang cara sebegini. Saya tidak tahu mengapa tapi saya lihat Park bagaikan tidak bermain seperti biasa," kata Chong Wei selepas pertemuan pusingan ketiga di Arena Wembley semalam.

Sung-hwan bagai mati akal apabila setiap pergerakan dapat dibaca Chong Wei sehingga membuatkan pemain itu tidak dapat berbuat apa-apa walaupun cuba menukar taktik permainan daripada perlahan menjadi laju.


Ganjaran daripada kemenangan itu buat Chong Wei adalah tiket dalam kelompok lapan terbaik, bertemu pemenang antara 'pembunuh gergasi' Kevin Cordon dari Guatemala yang pernah dikalahkannya di pusingan pertama di Paris atau Pablo Abian dari Sepanyol.


"Mana-mana pemain yang saya jumpa nanti tidak menjadi hal. Yang penting tidak memandang rendah kedua-duanya kerana mereka juga hebat. Jika tidak sudah tentu mereka tidak membuat kejutan dan mara sejauh ini," kata Chong Wei.

Cordon, terutamanya, membuatkan kehadirannya di temasya ini dirasai apabila mencipta kemenangan mengejut ke atas Chen Long di pusingan pertama.


"Oleh itu, saya akan terus memberi fokus kepada permainan saya sendiri tanpa perlu memikirkan mereka," katanya.

Mengenai ketiadaan Taufik Hidayat dari Indonesia yang tewas mengejut kepada pemain Singapura, Derek Wong di pusingan kedua, lewat malam kelmarin, Chong Wei berkata: "Saya sebenarnya tidak begitu bimbangkan Taufik tapi lebih kepada Chen Jin." Taufik dan Chen Jin berada dalam undian Chong Wei dan berikutan ketiadaan pemain Indonesia itu, besar kemungkinan pemain China itu akan ditemuinya di separuh akhir.


Sementara itu, jurulatih perseorangan, Tay Seu Bock pula berkata, Sung-hwan tidak dapat bermain baik kerana Chong Wei bertindak cemerlang mematikan setiap pergerakannya.


"Sung-hwan pemain stroke dan dia berdepan masalah permainan pantas Chong Wei. Apabila dia cuba bermain pantas, Chong Wei pula lebih laju," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Tekanan Seu Bock

Posted: 11 Aug 2011 08:36 AM PDT

TAY Seu Bock mengakui menghadapi tekanan sejak menjadi jurulatih Datuk Lee Chong Wei sejak lapan bulan lalu.

Sambil mengakui sekarang baru beliau mengetahui tekanan yang dialami bekas jurulatih Chong Wei, Datuk Misbun Sidek, jurulatih berusia 38 tahun itu berkata, kadangkala apa yang dihadapinya itu terlalu berat untuk dipikul.


"Suka atau tidak, saya terpaksa menghadapi tekanan itu, biarpun terlalu berat kerana seluruh rakyat Malaysia mahukan Chong Wei menang setiap kali beraksi," katanya semalam.

Sejak mengambil alih daripada Misbun yang meletakkan jawatan sebagai jurulatih perseorangan awal tahun ini, Seu Bock bagaimanapun sudah membuktikan keupayaannya dengan membimbing Chong Wei memenangi enam kejuaraan sepanjang tahun ini.


Kecuali Terbuka Korea yang menyaksikannya tumpas kepada Lin Dan, Chong Wei memenangi Siri Super Masters Final, Terbuka Malaysia, Seluruh England, Terbuka India, Siri Emas Terbuka Malaysia serta Terbuka Indonesia dan kini berada dalam laluan tepat ke arah pemburuan takhta sulungnya di Kejohanan Dunia.


Begitupun, Seu Bock mengakui yang ramai orang bercakap mengenai dirinya yang mengambil kredit atas segala yang dilakukan bekas jurulatih Li Mao dari China dan Misbun.

"Macam-macam mereka kata dalam blog dan facebook. Ada yang kata, saya curi Chong Wei. Tapi, bagi mereka yang mengetahui permainan Chong Wei, mereka tidak akan bercakap begitu. Mereka tahu saya membuat perubahan dengan apa yang saya lakukan," katanya.


Mengenai perbezaan yang dicapai Chong Wei sejak berada di bawah bimbingannya, Seu Bock berkata jika dulu pemain nombor satu dunia itu hanya beraksi menggunakan satu atau dua skil, tapi kali ini dia sudah boleh mempelbagaikan pergerakannya.

"Chong Wei juga kini lebih berdikari, tahu apa yang perlu dilakukannya setiap kali turun ke gelanggang dan semua itu memudahkan saya membimbingnya," katanya.


Menurutnya, dia juga mengamalkan corak komunikasi dua hala ketika membimbing Chong Wei apabila setiap latihannya dibincangkan terlebih dulu sebelum dilaksanakan.


"Jika Chong Wei cakap latihan yang akan diterapkan itu ok buatnya, baru saya laksanakan kerana saya mahukan yang terbaik daripadanya," katanya.


Seu Bock berkata, tugasnya membimbing pemain utama negara itu menjadi mudah dengan sikap profesional Chong Wei.


"Sungguh mudah membimbingnya kerana dia tahu apa yang dimahukannya. Bagi sesetengah orang mengendalikan pemain bertaraf bintang mungkin menghadirkan masalah tapi tidak Chong Wei kerana dia masih seorang pemain yang bersikap rendah diri," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan