Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kumpulan maut

Posted:

Kumpulan maut

Kumpulan maut

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – Dalam kumpulan maut. Itulah hasil undian acara bola sepak Sukan SEA semalam apabila Malaysia sama kumpulan dengan tuan rumah, Indonesia, Singapura, Thailand dan Kemboja dalam Kumpulan A.

Daripada empat negara tersebut, hanya Kemboja lawan yang mungkin tidak memberikan banyak masalah kepada skuad negara untuk mempertahankan pingat emas.

Sebaliknya, Singapura, Thailand dan Indonesia pasti menghadirkan saingan sengit kepada anak-anak buah Ong Kim Swee dalam mencari tempat dua tempat teratas dalam saingan kumpulan.

Walaupun berada dalam 'kumpulan maut', Datuk Hamidin Mohd. Amin yang merupakan pengurus pasukan bola sepak Sukan SEA berpendapat keputusan undian semalam boleh dilihat kepada aspek positif.

"Keputusan undian ini sebenarnya boleh membuatkan para pemain lebih bersedia sekali ganda daripada biasa dan lebih fokus bagi mempertahankan pingat emas yang kita menangi pada Sukan SEA, di Laos dua tahun lalu

"Berada sekumpulan dengan Indonesia juga tidak memberikan kebimbangan kepada saya walaupun kita sedia maklum dengan situasi politik sekarang. Dalam masa sama sudah tentu para penyokong mereka mahu kekalahan semasa Piala AFF dapat ditebus.

"Biarpun saya jangka perlawanan akan berlangsung penuh ketegangan, para pemain Malaysia sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Singapura akan menjadi lawan sulung anak-anak buah Ong Kim Swee pada 9 November sebelum diikuti Thailand, dua hari kemudian.

Malaysia akan berdepan Kemboja pada perlawanan ketiga pada 15 November sebelum bertemu tuan rumah, Indonesia pada 17 November, yang dijangka mahu membalas dendam atas kekalahan di perlawanan akhir Piala AFF tahun lalu.

Menyentuh saingan yang akan ditemui Malaysia, Hamidin berkata, beliau sempat berbincang dengan Kim Swee dan pengendali skuad Olimpik itu mengakui, Singapura dan Thailand bukanlah dua pasukan yang asing.

"Kim Swee pernah melihat aksi skuad Bawah 23 Singapura dan Thailand, lantas dia memberitahu saya bahawa dia mempunyai idea tersendiri untuk berdepan kedua-dua pasukan itu nanti, " katanya.

Jika Malaysia berjaya mara ke saingan separuh akhir, skuad Kim Swee akan beraksi pada 21 November dan perlawanan akhir serta penentuan tempat ketiga, dua hari kemudian.

Full content generated by Get Full RSS.

Harimau Muda bukan berjiwa kecil

Posted:

Harimau Muda bukan berjiwa kecil

Harimau Muda bukan berjiwa kecil

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Skuad bawah 23 negara hanya akan dianggap berjiwa kecil sekiranya berasa nasib mereka bakal lebih baik sekiranya tidak diundi lebih awal untuk bertemu dengan lawan tertentu seperti Thailand, Indonesia dan Singapura apabila mempertahankan pingat emas bola sepak pada Sukan SEA Indonesia, bulan depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, sebagai juara bertahan, anak buah Ong Kim Swee sepatutnya sudah cukup bersedia untuk menghadapi siapa sahaja pada temasya dari 11 hingga 22 November ini, walaupun dalam masa yang sama, turut bersaing dalam pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012.

Mengulas mengenai undian Kumpulan A Sukan SEA, semalam, yang turut menemukan kita dengan Kemboja, kata beliau: "Bukan satu masalah untuk kita selaku juara bertahan dalam menerima sesiapa sahaja lawan.

"Sesiapa yang cuba mengelak jumpa pasukan tertentu, cuma layak dianggap berjiwa kecil.

"Yang membezakan setiap pasukan ialah kecergasan, kemahiran dan strategi pada hari perlawanan. Saya rasa tiada apa yang kurang dengan persediaan pasukan kita sekarang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Razali percaya Kim Swee mempunyai perancangan terbaik dan keutamaan tertentu dalam menangani pertembungan jadual perlawanan Sukan SEA dengan Kelayakan Olimpik khususnya apabila menentang Syria dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, bulan depan.

Mesyuarat jawatankuasa memutuskan sasaran layak ke Piala Dunia Bawah 17 pada 2019 buat kumpulan pemain berusia bawah sembilan tahun dari sekarang yang dibentuk dan dicungkil daripada program pembangunan seperti MyKid Soccer, Juara Antara Juara dan Liga Kementerian Pelajaran.

"Semua program ini dibiayai dengan peruntukan RM10 juta tahun lalu bagi Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara yang melibatkan 112 jurulatih dan 1,680 pemain dari 14 negeri, selain mendapat kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pelajaran dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Program lain di bawah tabung ini, turut menjalin kerjasama menempatkan pemain Harimau Muda A, Haziq Zikri Elias menjalani pengajian ijazah Pengurusan Perniagaan Sukan dengan Kolej Sukan Hartbury, United Kingdom (kira-kira 45 minit ke Cardiff City) sementara lima lagi mengambil pengurusan bola sepak di universiti tempatan Cyberjaya," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan