Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'Jangan gantung raket dulu'

Posted:

'Jangan gantung raket dulu'

'Jangan gantung raket dulu'

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

CHONG WEI perlu memberi tumpuan sepenuhnya pada sesi latihan bagi menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London.


BERDASARKAN prestasi semasa, impian rakyat Malaysia untuk menyaksikan jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyumbangkan pingat emas pertama pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London tampak sukar.

Ia ekoran rekod kekalahan berturut- turut yang dialami oleh pemain No. 1 dunia itu dalam beberapa kejohanan utama sejak akhir-akhir ini.

Kemerosotan prestasi Chong Wei dilihat semakin ketara selepas dia tewas kepada Lin Dan pada final Kejohanan Badminton Dunia di London, Ogos lalu.

Kehebatan Lin Dan terus membayangi Chong Wei apabila dia tewas sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada aksi separuh akhir Terbuka Hong Kong dan Terbuka China bulan lalu.

Terbaharu, Chong Wei dikejutkan dengan kekalahan 16-21, 21-16, 18-21 kepada bintang muda China, Chen Long pada aksi separuh akhir Siri Super Akhir di Liuzhou, China, Sabtu lalu.

Sebelum itu, Chen Long turut menewaskan Chong Wei di final Terbuka Jepun (September) dan Terbuka Denmark pada Oktober lalu.

Jika sebelum ini hanya Lin Dan dilihat sebagai ancaman terbesar buat Chong Wei tetapi kini dia sudah ada musuh baharu.

Peningkatan yang dipamerkan Chen Long dalam beberapa kejohanan perlu diberikan perhatian.

Sekiranya gagal, ia pasti akan melenyapkan impian Chong Wei dan seluruh rakyat Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Ekoran prestasi tidak menentu Chong Wei sejak kebelakangan ini, timbul spekulasi apabila segelintir pihak seakan- akan mendesak Chong Wei supaya menggantung raketnya, sekali gus memberi laluan kepada pemain-pemain muda yang lain.

Bagaimanapun, Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, belum masa untuk pemain kelahiran Pulau Pinang itu memikirkan isu persaraan.

Bagi James, khidmat Chong Wei masih diperlukan dalam usaha merealisasikan impian merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik 2012.

"Bagi saya, Chong Wei masih boleh meneruskan karier sebagai seorang pemain badminton selepas Sukan Olimpik 2012 berakhir meskipun ketika itu nanti usia pemain itu sudah menjangkau 30 tahun.

"Soal usia tidak menjadi masalah. Cuma, dia perlu lebih bekerja keras pada sesi latihan bagi memastikan staminanya sentiasa berada pada tahap terbaik," kata James ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Malah, James turut mengingatkan Chong Wei agar lebih selektif selepas ini dalam memilih kejohanan-kejohanan yang perlu disertainya.

Jelas beliau, antara faktor utama yang menyebabkan kemerosotan prestasi pemain itu adalah disebabkan terlalu banyak menyertai kejohanan sehingga menyaksikan tubuh badannya menjadi keletihan.

"Apa yang saya harapkan, selepas ini Chong Wei memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi Sukan Olimpik. Itu perkara utama yang perlu difikirkannya.

"Tidak perlu untuk menyertai terlalu banyak kejohanan. Cukup sekadar kejohanan-kejohanan utama seperti Terbuka Malaysia, Terbuka Korea Selatan, Seluruh England dan Piala Thomas yang berlangsung tahun depan sebelum Sukan Olimpik.

"Jika terlalu banyak menyertai kejohanan, ia hanya akan mengundang risiko buat Chong Wei," jelas James.

Sementara itu, Chong Wei yang dihubungi Kosmo! bagi mendapatkan penjelasan berhubung kemerosotan prestasinya itu enggan mengulas lanjut.

Full content generated by Get Full RSS.

Perlis import awang Sierra Leone

Posted:

Perlis import awang Sierra Leone

Perlis import awang Sierra Leone

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN
faizal.nazaruddin@kosmo.com.my


AZAHAR (kiri) menerima cek bernilai RM150,000 daripada Abdul Jamil di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar kelmarin.


PERLIS bakal diperkuatkan dengan sentuhan dua pemain import dari negara Afrika, Sierra Leone bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) pada tahun depan.

Pengurus pasukan, Azahar Ahmad berkata, barisan pemain skuad Liga Perdana itu telah bersiap sedia dengan pemain import terbabit iaitu Lamin Conteh, 33, dan seorang pemain muda, Henry Lewis, 19.

Katanya, bekas jurulatih Piala Presiden Kedah, Abdullah Hassan telah dilantik bagi menjadi jurulatih untuk membimbing para pemain skuad Singa Utara itu.

"Lamin Conteh akan memberi kelebihan kepada Perlis berdasarkan pengalamannya sebelum ini beraksi dengan skuad Perlis pada tahun 1996 hingga 1998.

"Dia dijangka akan mula menjalani latihan bersama para pemain Perlis pada 25 Disember ini.

"Lewis pula, pemain muda yang bertenaga dijangka bersama Perlis pada Mac depan selepas mendapat pelepasan daripada kelab lamanya," katanya.

Azhar berkata demikian selepas majlis penyerahan cek bernilai RM150,000 sumbangan kerajaan negeri yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis, Abdul Jamil Saad di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Kangar petang kelmarin.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sumbangan tersebut bagi membantu meringankan bebanan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) melunaskan bayaran tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) para pemain Perlis dan cukai pendapatan persatuan yang tertunggak.

Full content generated by Get Full RSS.

Kontroversi calar imej KOAM

Posted:

Kontroversi calar imej KOAM

Kontroversi calar imej KOAM

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


DUA pemimpin tertinggi KOAM, Shahidan (kanan) dan Karim (tengah) berbincang sesuatu dengan Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz pada awal tahun lalu.


KONTROVERSI seakan-akan sudah sinonim dengan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).

Tidak perlu diungkit isu-isu yang tercetus membabitkan badan induk sukan olahraga itu dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, cukup sekiranya jika dibuat penilaian berdasarkan perjalanan serta kalendar KOAM sepanjang tahun ini yang ternyata lebih banyak dipalit dengan pelbagai kontroversi berbanding kejayaan yang dilakar oleh barisan atlet di bawah naungan persatuan itu.

Suatu ketika dahulu, Malaysia cukup digeruni dan dianggap sebagai satu kuasa besar sukan olahraga dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan benua Asia.

Ia berdasarkan pencapaian atlet-atlet olahraga negara ketika itu yang gah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Begitupun, semua itu hanya tinggal kenangan. Negara-negara ASEAN seperti Thailand dan Indonesia sudah jauh ke hadapan, manakala Malaysia hanya berbangga dengan kejayaan masa lampau.

Cukup-cukuplah KOAM. Sudah tiba masanya badan induk tersebut mencari satu mekanisme baharu dan bertindak lebih proaktif bagi memajukan sukan olahraga tanah air.

Mungkin mudah untuk diperkatakan tetapi bekas Pengurus Besar KOAM, Aminuddin Mohd. Nasir tampil dengan satu cadangan yang dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan negara dalam arena sukan olahraga.

Aminuddin mencadangkan agar KOAM mewujudkan satu kumpulan pemikir (think tank group) yang terdiri daripada bekas-bekas atlet olahraga negara.

Jelasnya, bekas-bekas atlet seperti Tan Sri Dr. M. Jegathesan, Marina Chin, Rabuan Pit dan seangkatan dengan mereka pastinya memiliki pengalaman yang luas dan ia boleh dikongsi dalam usaha memajukan sukan olahraga negara.

"Bekas-bekas atlet ini sebenarnya mempunyai banyak idea tetapi mereka tidak diberi peluang untuk bersuara.

"Sebab itu, jika KOAM boleh mewujudkan satu kumpulan pemikir terdiri daripada bekas-bekas atlet ini, ia pasti dapat membantu mereka memikirkan bagaimana cara terbaik untuk memajukan sukan olahraga negara.


ROSLINDA SAMSU masih lagi dianggap sebagai ratu lompat galah negara.


"Biar kumpulan pemikir tersebut yang mencari jalan serta merancang program- program latihan atlet.

"Ini kerana, mereka lebih tahu apa yang diperlukan sebagai seorang atlet kerana sebelum ini mereka juga pernah bergelar atlet.

"Mereka juga boleh berkongsi formula bersama atlet-atlet yang ada ketika ini cara mereka melakar kejayaan di pentas antarabangsa suatu ketika dahulu," kata Aminuddin ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Malah, Aminuddin yang merupakan Pengurus Keahlian Yayasan Kebajikan Bekas Atlet Kebangsaan (YAKEB) turut mencadangkan supaya kempimpinan tertinggi KOAM mengkaji serta meminta pandangan daripada bekas-bekas pemimpin badan induk tersebut mengenai formula yang digunakan sehingga ramai atlet yang mampu melakar kejayaan ketika era mereka.

"Dahulu, ketika KOAM di bawah kepimpinan Datuk Khalid Yunus, atlet-atlet olahraga negara berjaya membawa pulang 14 atau 15 pingat emas pada temasya Sukan SEA.

"Jika dibandingkan dengan pencapaian atlet-atlet ketika ini yang hanya mampu meraih enam pingat emas baru-baru ini (bulan lalu), kita sebenarnya sudah hilang separuh daripada jumlah tersebut.

"Sebab itu, kita perlu bertanya, apa formula yang pemimpin-pemimpin terdahulu gunakan bagi memastikan atlet-atlet olahraga berjaya membawa pulang pingat emas yang banyak.

"Olahraga merupakan antara sukan yang mempertandingkan banyak acara pada Sukan SEA, namun hanya beberapa acara sahaja yang kita ambil bahagian sejak kebelakangan ini.

"Sayang sekali kerana jika kita memiliki program-program yang betul, kita sebenarnya mampu meraih lebih banyak pingat emas berbanding enam sahaja yang kita peroleh dalam dua edisi Sukan SEA (2009 dan 2011)," kata Aminuddin.

Jika direnung kembali dengan apa yang dicadangkan Aminuddin itu, ada benarnya dan mungkin KOAM boleh mencuba dalam usaha mengangkat kembali martabat sukan olahraga tanah air.


DARI kiri, Yunus, Kannathasan, Schzuan dan Yuvaraj mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas dalam acara 4x400 meter lelaki pada Sukan SEA 2011.


Ketika ini, arena sukan olahraga negara boleh dianggap berada pada tahap 'kritikal'.

KOAM sebenarnya telah menghabiskan banyak masa memikirkan mengenai kemelut dalaman yang melanda badan induk tersebut.

Sudah tidak ada masa buat KOAM untuk memikirkan siapa yang mahu bertanding jawatan, siapa perlu dibuang dan menuding jari menyalahkan antara satu sama lain setiap kali berlakunya masalahnya.

Sebaliknya, KOAM yang ketika ini di bawah pimpinan Datuk Seri Shahidan Kassim perlu memikirkan bagaimana cara untuk memajukan sukan olahraga itu sendiri kerana peminat-peminat sudah pastinya muak dengan kontroversi yang tercetus membabitkan badan induk tersebut.

Pencapaian atletnya tidak seberapa tetapi kontroversi sahaja yang lebih.

Kini, tirai 2012 akan menjengah tidak lama lagi.

Di harapkan, KOAM akan tampil dengan program-program yang mampu mengembalikan kegemilangan sukan olahraga negara, terutamanya di peringkat akar umbi.

Cuma, janganlah ia sekadar 'hangat-hangat tahi ayam'.

Seribu satu macam program dilakukan sebelum ini tetapi hasilnya tetap mengecewakan seperti yang telah terbukti sebelum ini.

Full content generated by Get Full RSS.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan