Utusan Online - Sukan

sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kita bukan tandingan

Posted:

Kita bukan tandingan

Kita bukan tandingan

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my


Pemain Malaysia, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyekat gerakan pemain Jepun, Genki Haraguchi pada perlawanan Kelayakan Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR - Jepun mengotakan janjinya untuk menang besar apabila membenam Malaysia 4-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil dalam saingan Kumpulan C kelayakan Olimpik, semalam.

Walaupun bermain dalam tekanan, skuad Samurai Biru tetap menampilkan permainan yang tersusun dengan tidak mempersiakan peluang gol.

Sebaliknya, kekalahan besar itu menunjukkan betapa masih banyak yang perlu diperbaiki oleh skuad bawah 23 tahun jika mahu memberikan saingan di pentas Asia.

Kerapuhan benteng pertahanan dan kurang kreativiti dalam mencipta gerakan gol menjadi punca kepada kekalahan besar Malaysia kepada Jepun.

Namun peminat perlu bersikap realistik dengan kekalahan besar kepada Jepun, yang mana ia membuktikan bola sepak negara memerlukan lebih banyak pendedahan pada masa depan.

Kekalahan semalam juga menjadikan Malaysia kekal tanpa sebarang mata dan sudah pasti akan menghuni tangga tercorot kumpulan, sekali pun jika mampu mencatat sebarang kemenangan ketika bertemu Syria dalam perlawanan terakhir nanti.

Kemenangan semalam adalah yang keempat buat Jepun dan terus memberikan saingan kepada Syria dalam usaha mengejar slot automatik ke London 2012 selaku juara kumpulan.

Skuad Takashi Sekizuka mendahului 2-0 pada babak pertama melalui jaringan Hiroki Sakai pada minit ke-35 dan Yuya Osako pada minit ke-45.

Samurai Biru mengukuhkan kedudukan dengan dua lagi gol pada babak kedua menerusi Genki Haraguchi (minit ke-55) dan Manabu Saito (minit ke-60).

Di hadapan 15,000 penonton, skuad Ong Kim Swee berjaya mengimbangi serangan bertali arus Jepun setakat minit ke-34, sebelum Jepun membuka tirai jaringan akibat kerapuhan benteng pertahanan negara.

Ketika barisan tengah negara sibuk merencana serangan, Jepun bijak merampas bola dan melakukan serangan balas pantas ketika bahagian pertahanan belum bersedia.

Hasilnya, pertahanan Jepun, Hiroki Sakai yang tidak dikawal mudah menolak masuk ke dalam gawang negara yang ternganga .

Pasukan pelawat yang amat memerlukan kemenangan besar semakin bersemangat selepas detik itu apabila menambah jaringan kedua 10 minit selepas itu melalui Yuya Osako yang melakukan tandukan menewaskan Khairul Fahmi yang sebelum itu cemerlang menyelamatkan dua percubaan awal Jepun.

Bermula separuh masa kedua, Malaysia bagaikan sudah hilang semangat untuk memberikan saingan dan Jepun sekali lagi terus menggempur kubu negara berpunca daripada sepakan silang Sakai, Genki Haraguchi mudah menghukum kesilapan Khairul Fahmi yang gagal menjangka dengan baik hantaran Sakai sebelum melepaskan rembatan separuh voli pada minit ke-55.

Rasa malu dapat cegah rasuah

Posted:

Rasa malu dapat cegah rasuah

Rasa malu dapat cegah rasuah

Oleh MUHAMAD ZAID ADNAN
zaid.adnan@utusan.com.my

KUALA LUMPUR – Setiap pemain bola sepak di negara ini harus berasa malu sekiranya mereka melibatkan diri dengan rasuah.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sifat itu penting kerana ia akan mencegah pemain bola sepak daripada melakukan perkara yang akhirnya memalukan mereka sendiri.

"Saya berpendapat kalau kita benarkan diri kita dipengaruhi rasuah, maka kita tidak berguna kepada masyarakat.

"Pada masa sama, kita juga harus berasa malu kerana apabila kita tahu malu, kita tidak akan melakukan sesuatu yang memalukan kita," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dan menyampaikan amanat kepada skuad Bawah 23 negara yang menentang Jepun pada perlawanan Kelayakan Olimpik malam tadi.

Turut hadir isteri beliau Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkeples Embong.

Hadir sama, Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad dan Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Mengulas lanjut mengenai pasukan Bawah 23 negara, Dr. Mahathir mahu skuad itu terus berlatih dan tidak meninggalkan latihan meski pun sudah tidak layak untuk bersaing pada kelayakan Olimpik.

Katanya, beliau dapati pasukan itu cergas dan difahamkan mereka berlatih dengan cukup berdisiplin serta menjaga pemakanan dan mendapat cukup tidur.

"Kalau mereka terus berbuat demikian, InsyaAllah, kita akan dapat kemenangan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Dr. Mahathir menasihatkan pasukan Malaysia supaya mencontohi semangat, disiplin serta sikap malu yang dimiliki rakyat Jepun yang sukar untuk ditandingi.

Katanya, dengan sifat-sifat itu, rakyat Jepun berjaya bangkit daripada sebuah negara yang musnah selepas perang kepada sebuah negara maju dalam tempoh singkat.

"Perasaan malu itu penting kerana menerusinya ia mendorong rakyat Jepun berjaya kerana bila gagal, mereka akan malu manakala sebaliknya, kejayaan akan memberi kepuasan yang boleh dibanggakan.

"Justeru, saya harap pasukan Malaysia akan sentiasa ingat perasaan malu kerana ia akan membuatkan mereka bersungguh-sungguh supaya tidak gagal dalam satu-satu perlawanan.

"Apabila kita berjaya, kita akan merasa puas kerana bukan sahaja menang malah negara akan turut merasa bangga dengan kita," katanya.

Pada majlis tersebut, penjaga gol skuad bawah 23 negara, Khairul Fahmi Che Mat menyampaikan cendera hati berupa jersi skuad kebangsaan yang ditandatangani setiap pemain dalam pasukan berkenaan kepada Dr. Mahathir.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan