Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


‘Sedia hadapi akibat’

Posted: 29 Mar 2012 11:22 AM PDT

"DIA (Tan Sri Annuar Musa) sudah diingatkan supaya tidak terlalu lantang bercakap kepada media dan menggunakan saluran yang betul jika mahu membuat kenyataan tapi dia gagal mematuhinya dan perlu menanggung akibat perbuatannya itu," kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah, semalam.

Baginda bertitah, Annuar sepatutnya tahu mengenai peraturan itu kerana sudah dimaklumkan Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya tidak terlalu banyak bercakap kepada media dalam mesyuarat jawatankuasa eksekutif, baru-baru ini.


Titahnya, tindakan timbalannya itu yang mengkritik prestasi pasukan kebangsaan sebagai satu kesilapan besar dan perlu dikenakan tindakan.

"Apabila kita menyalahi undang-undang atau peraturan, kita mesti sedia menghadapi akibat daripada perbuatan itu. Annuar kini perlu merayu sebelum Jawatankuasa Tatatertib FAM mengambil sebarang tindakan.


"Jawatankuasa Tatatertib (FAM) akan mendengar kes itu pada 4 April ini dan saya sama sekali tidak campur tangan atau mempunyai pengaruh ke atas perkara itu," katanya kepada media selepas merasmikan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru di Kuantan, semalam.


Pada 13 Mac lalu, Annuar mengeluarkan kenyataan mengkritik prestasi semasa skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal ketika ditanya pemberita selepas Bengkel Pemasaran dan Pembangunan Penyokong Kelab anjuran Malaysia Super League Sdn Bhd (MSL) di Shah Alam.

Baginda bertitah, walaupun Malaysia negara bebas untuk mengeluarkan pendapat, persatuan itu masih terikat dengan undang-undang dan ada peraturan tertentu yang perlu diikuti. Mengikut peraturan ditetapkan FAM, hanya Presiden yang mempunyai kuasa memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.


Lembaga disiplin FAM dipengerusi Datuk Taufek Abdul Razak sepatutnya membincangkan mengenai tindakan terhadap Annuar, semalam tapi memutuskan untuk menangguhkannya kepada 4 April ini.




FAS tunggu aduan rasmi

Posted: 29 Mar 2012 11:19 AM PDT

PERSATUAN Bola Sepak Singapura (FAS) masih menunggu aduan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung insiden kontroversi penyokong Singapura menghina penyerang import Terengganu, Francis Doe dengan kata-kata berbaur perkauman.

"Kami belum mendapat aduan rasmi berhubung insiden itu. Jika FAM atau pasukan Terengganu tidak membuat aduan kami tidak boleh bertindak. Kami dimaklumkan menerusi laporan media hari ini (semalam) bahawa Terengganu tidak mahu membuat aduan dan terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan," kata jurucakap FAS ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Katanya, FAS sudah menyatakan pendirian dengan jelas selepas insiden itu berlaku bahawa mereka tidak bertolak ansur dalam isu perkauman.

Semalam Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh melabel penyokong Singapura yang mengejek Doe dengan kata-kata seperti 'monkey' (monyet) dan 'nigger' (ungkapan penghinaan kepada orang kulit hitam) sebagai tidak bertamadun.


Insiden itu berlaku ketika Doe beraksi bersama Terengganu menentang LionsXII dalam perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Jalan Besar Selasa lalu yang berkesudahan seri tanpa jaringan namun Terengganu mara dengan agregat 1-0.


Sementara itu dalam laman web sukan, JustSports.com.sg semalam mendedahkan pengakuan sekumpulan penyokong Singapura yang terbabit dengan insiden menghina Doe.

Menurut salah seorang wakil kumpulan itu yang dinamakan sebagai 'X', mereka memanggil Doe dengan perkataan 'Ah Meng' dan "Orang Hitam' sebagai tanda tidak puas hati dengan kelakuan pemain import dari Liberia itu pada aksi suku akhir pertama Piala FA.


Bagi penyokong itu, mereka menganggap Doe bersikap keterlaluan hingga menyebabkan pemain LionsXII, Hariss Harun dilayangkan kad merah sekali gus tidak dapat beraksi pada perlawanan kedua.

Namun X menafikan mereka bersikap perkauman dengan berkata: "Jika kami bersikap perkauman, kami akan memanggilnya 'nigger' atau 'negro', namun kami tidak memanggilnya dengan perkataan itu. Kami memang marah dengan Francis Doe tapi kami masih tahu batasannya." Sementara itu, Arena Metro cuba mendapatkan reaksi daripada jurulatih LionsXII, V Sundramoorthy mengenai insiden itu namun beliau enggan mengulas lanjut.


"Saya tidak boleh memberi sebarang komen, saya hanya boleh bercakap mengenai bola sepak, selain daripada itu saya tidak mahu komen," katanya.




  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan