Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


BAM, Rexy berpisah

Posted:

BAM, Rexy berpisah

BAM, Rexy berpisah

REXY (kanan) bersalaman dengan Chin Chai selepas sidang akhbar di Bukit Jalil, semalam.


SETELAH hampir tujuh tahun, 'jodoh' ketua jurulatih beregu wanita, Rexy Mainaky dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berakhir.

Semalam, Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai mengesahkan bahawa Rexy telah meletak jawatan sebagai jurulatih badan induk sukan badminton negara itu.

Chin Chai berkata, Rexy telah menyerahkan surat peletakan jawatannya pada pertengahan bulan lalu dan barisan Exco BAM sebulat suara menerima keputusan tersebut.

"Dengan keputusan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Rexy sepanjang khidmatnya bersama BAM.

"Beliau telah melaksanakan tugasnya dengan baik terutama ketika membawa beregu lelaki (Koo Kien Keat-Tan Boon Heong) bergelar pasangan No. 1 dunia sebelum ini.

"Namun, Rexy akan terus melaksanakan tugas sebagai jurulatih sehingga hujung bulan ini. Siapa yang akan menggantikan Rexy hanya akan diputuskan selepas mesyuarat C&T (Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan BAM) hujung bulan ini," kata Chin Chai.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja (JKK) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil semalam.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Pengarah Cawangan Atlet MSN, Ariffin Mohd. Ghani, anggota Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj, Kolonel (B) Wong Ah Jit, Pengurus Besar BAM, Kenny Goh dan Rexy sendiri.

Sementara itu, Rexy yang diminta mengulas mengenai keputusan peletakan jawatannya menjelaskan bahawa beliau mahu sesuatu yang baharu dan mencabar bagi meneruskan kariernya sebagai jurulatih.

Jelasnya, beliau telah pun menerima tawaran daripada Persatuan Badminton Filipina sebagai Pengarah Kejurulatihan badan induk sukan badminton negara tersebut.

"Saya ingin tegaskan bahawa keputusan saya ini hanya disebabkan mahu mencari sesuatu yang lebih mencabar dan tidak ada sebab lain.

"Dengan Filipina yang hanya memiliki 20 pemain setakat ini, saya diberi tanggungjawab untuk mencari pemain-pemain yang berbakat daripada seluruh pelosok negara tersebut bagi diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

"Selain itu, saya juga diberi tugas untuk merangka program latihan buat pemain-pemain mereka. Tugas saya bersama Filipina akan bermula pada 1 Mei ini," jelas Rexy yang turut menerima tawaran untuk membimbing skuad badminton Indonesia, England dan Rusia.

Untuk rekod, Rexy mula bersama BAM pada 7 Julai 2005 sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara.

Kejayaan pertama yang dilakar jurulatih kelahiran Indonesia itu bersama skuad negara adalah ketika membawa Kien Keat-Boon Heong memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.

Setahun kemudian, di bawah sentuhan Rexy juga, Kien Keat-Boon Heong bergelar juara pada Kejohanan Badminton Seluruh England 2007 selain memegang status beregu No. 1 dunia pada 2010.

Bagaimanapun, selepas pasangan tersebut bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam saingan tahun lalu, Rexy telah ditukar menjadi ketua jurulatih beregu wanita.

Kini, jurulatih berusia 44 tahun itu telah meletakkan beregu utama wanita negara, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui berada pada landasan yang tepat untuk beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London Julai depan.

Sepanjang kariernya sebagai pemain, Rexy telah merangkul pelbagai kejayaan termasuk pingat emas Sukan Olimpik 1996 di Atlanta dalam acara beregu lelaki bersama gandingannya, Ricky Subagja.

Selangor kembali beraksi di Stadium Shah Alam

Posted:

Selangor kembali beraksi di Stadium Shah Alam

Selangor kembali beraksi di Stadium Shah Alam

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


HAMIDIN (kanan) dan Irfan Bakti (kiri) ketika meninjau padang di Stadium Shah Alam semalam.


SELANGOR mampu menamatkan saingan Liga Super musim ini dalam kelompok tiga teratas.

Demikian tegas pengendali Selangor, Irfan Bakti Abu Salim semalam.

"Itu sasaran paling realistik buat ketika ini," katanya penuh yakin.

Irfan memberitahu bahawa skuad Gergasi Merah kini mendapat semangat baharu apabila kembali beraksi di gelanggang keramat mereka, Stadium Shah Alam selepas ia ditutup selama empat bulan untuk kerja-kerja membaik pulih.

Jelasnya, Selangor yang masih segar dengan kejayaan menumbangkan naib juara Liga Super musim lalu, Terengganu 6-1, menjadikannya sebagai inspirasi apabila berdepan Johor FC, Sabtu ini.

Katanya, apabila kembali beraksi di gelanggang keramat, dia berharap moral pemain-pemain Selangor berada dalam keadaan yang lebih baik sebagai usaha untuk memburu kelompok tiga teratas liga.

"Apabila kembali beraksi di gelanggang sendiri, sedikit sebanyak ia dapat meningkatkan moral pemain untuk terus beraksi cemerlang sekali gus dapat merealisasikan sasaran untuk menamatkan saingan musim ini di kedudukan ketiga.

"Saya berharap kami dapat meneruskan konsistensi ketika menentang Johor FC di Stadium Shah Alam selepas kejayaan membelasah Terengganu pada Sabtu lalu.

"Untuk itu, saya mahu semua pemain tampil lebih bersemangat untuk mengutip tiga mata penuh dalam baki perlawanan musim ini terutamanya ketika beraksi di Shah Alam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Stadium Shah Alam, petang semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin mengumumkan Stadium Shah Alam kembali menjadi gelanggang utama pasukan Selangor selepas proses penambahbaikan berjumlah RM3.4 juta sejak Disember lalu sudah siap sepenuhnya.

Hamidin memberitahu lampu limpah di stadium berkenaan juga sudah mencapai standard piawaian yang ditetapkan iaitu 1,200 lux.

"Terima kasih kepada Tan Sri Khalid Ibrahim (Presiden FAS) kerana meluluskan dana untuk membaiki fasiliti stadium dan sebahagian besar daripada kerja-kerja membaik pulih membabitkan proses menggantikan rumput baharu.

"Lampu stadium juga berada di tahap yang terbaik apabila kecerahannya mencecah lebih 1,200 lux di sembilan penjuru yang sudah diuji dan ia akan digunakan pada aksi menentang Johor FC, 17 April ini.

"Selain itu, kami juga mempertingkatkan tahap keselesaan tandas, bilik persalinan pemain, satu terowong dibina serta kemudahan bilik doping dipertingkatkan berbanding dahulu.

'Kenyataan saya diputar belit'

Posted:

'Kenyataan saya diputar belit'

'Kenyataan saya diputar belit'

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my


TAI BENG HAI


KETUA jurulatih skuad hoki negara, Tai Beng Hai, semalam meluahkan kemarahan dan perasaan kecewanya terhadap laporan sebuah akhbar tempatan kelmarin yang memutar belitkan fakta dan laporannya mengenai post mortem skuad kendaliannya.

Akhbar yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris itu dikatakan telah menyalurkan informasi yang tidak tepat mengenai laporan yang dibentangkan Beng Hai pada Mesyuarat Majlis Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Selasa lalu berhubung kegagalan skuad negara pada kempen Kelayakan Olimpik 2012 London, di Dublin bulan lepas.

Selain cuba mencalarkan imej pemain, pegawai dan persatuan, Beng Hai menjelaskan bahawa laporan tersebut juga dilihat bertujuan memberi tanggapan negatif kepada MHC dan juga sukan hoki Malaysia dengan memutar belitkan fakta laporan yang dipercayai diseludup keluar oleh dalang-dalang tertentu ketika mesyuarat tersebut berlangsung.

"Saya rasa bukan saya sahaja yang marah, tetapi semua orang yang terlibat dalam sukan hoki juga akan sedih dengan laporan yang tidak tepat dan telah diputar belitkan ini," jelas Beng Hai dalam sidang akhbar di Bukit Jalil, semalam.

"Saya lihat ini adalah satu percubaan untuk meletakkan kesalahan kepada pemain skuad ini di atas kegagalan mereka pada kempen Kelayakan Olimpik di Dublin, baru-baru ini.

"Ini bukan cara yang wajar dilakukan oleh pengamal media sekiranya mahu memajukan hoki negara, sebaliknya ia memberi tanggapan negatif masyarakat terhadap pemain kita sekali gus menjejaskan minat dan semangat mereka yang telah berusaha keras untuk mengangkat reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.

Turut hadir pada sidang akhbar tersebut ialah pengurus pasukan, George Koshy, penolong jurulatih, Nor Saiful Zaini, Setiausaha Agung MHC, Mohd. Johari Abdul Aziz dan koordinator pasukan, Stephen van Huizen.

Akhbar tersebut kelmarin melaporkan bahawa Beng Hai telah menggariskan lapan sebab mengapa pemain negara gagal pada kempen tersebut, sekali gus menyaksikan Malaysia gagal beraksi di pentas Olimpik buat kali ketiga berturut-turut.

Selain itu, laporan tersebut turut mengimbas kembali isu dan kontroversi yang timbul pada tahun 2009 hingga 2010 yang mana Beng Hai menjelaskan ia telah pun berjaya ditangani oleh MHC (atau Persekutuan Hoki Malaysia, PHM ketika itu).

"Saya akui bahawa masalah dan isu yang timbul sebelum ini seperti pemain menghisap rokok, keluar berhibur di tengah malam, ponteng latihan atau mengatur perlawanan pernah berlaku, namun ia telah pun berjaya ditangani oleh MHC.

"Jadi, ia bukan lagi menjadi punca utama di atas kegagalan kita pada kempen kelayakan ini. Malah, MHC juga telah mengambil pengajaran terhadap perkara tersebut dan memperkenalkan beberapa peraturan dan garis panduan baharu hasil daripada kes-kes tersebut untuk pemain generasi muda seperti skuad Projek 2013 dan Projek 2017.

"Malah, saya juga tidak pernah membuat kenyataan bahawa kita gagal ke Olimpik adalah sebab-sebab isu yang timbul pada 2009 atau 2010.

"Sebaliknya kita telah berjaya mengatasinya sehingga pasukan ini berjaya memperbaiki ranking dunia dan memenangi pingat perak di Sukan Asia 2010," katanya lagi.

Sementara itu, Mohd. Johari yang dilantik setiausaha agung MHC yang baharu menggantikan Maninderjit Singh berkata: "Saya harap sidang akhbar ini dapat menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai laporan yang telah dilaporkan oleh akhbar berkenaan.

"Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memandang ke depan dan lupakan kekecewaan kita pada kempen kelayakan ini," jelasnya lagi.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan