Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Sedia akhiri penantian 20 tahun

Posted:

Sedia akhiri penantian 20 tahun

Sedia akhiri penantian 20 tahun

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my

SKUAD negara giat menjalani latihan sebagai persiapan menentang Pakistan pada aksi final Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia ke-7 di Stadium MBMB, Bukit Serindit, Melaka malam ini.


SKUAD negara berada dalam prestasi terbaik menjelang aksi final menentang Pakistan pada Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Asia ke-7 di Stadium MBMB, Bukit Serindit, Melaka yang dijadualkan berlangsung pukul 8.05 malam ini.

Jurulatih negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah berkata, barisan pemainnya juga sudah bersedia melakar sejarah dengan menjuarai kejohanan kali ini, sekali gus memadam skrip pada edisi 1992 di Ipoh, Perak.

Ketika itu, skuad negara yang diketuai Mirnawan Nawawi terpaksa akur dengan kehebatan Pakistan apabila tewas 0-3 di pentas final.

Bagaimanapun, anak-anak buah Dharma Raj kini dilihat lebih bersedia bagi memadam igauan 20 tahun lalu.

"Saya telah memperbaiki beberapa kelemahan yang telah dikenal pasti ketika menentang India pada separuh akhir lalu.

"Malah, sepanjang latihan pagi ini (semalam), kami berlatih mengikut strategi yang akan digunakan pada perlawanan akhir nanti," kata Dharma Raj kepada Kosmo! Ahad semalam.

Menurutnya, Pakistan mempunyai beberapa pemain yang mempunyai skil individu tinggi seperti kapten, Muhammad Umar Bhutta, Muhammad Tousiq, Syed Kashif Shah dan pertahanan kanan, Muhammad Rizwan.

"Umar, terutamanya perlu dikawal dengan lebih ketat dan tidak diberi ruang untuk merancang serangan Pakistan," katanya.

Bagaimanapun Dharma Raj berkata, Pakistan turut mempunyai kekurangan apabila dilihat sering kali gagal menyempurnakan pukulan sudut penalti.

"Pada aksi separuh akhir menentang Korea Selatan, kesemua gol Pakistan merupakan gol padang.

"Jadi, saya lihat Pakistan agak kurang berkesan dari aspek pukulan sudut penalti," katanya.

Sementara itu, keyakinan sama turut dilahirkan kapten, Muhammad Noor Faeez Ibrahim yang optimis skuad Projek 2013 mampu menumbangkan Pakistan.

"Setiap pemain sudah tidak sabar untuk menanti perlawanan akhir esok (hari ini) bagi menunjukkan bukti mereka mampu melakukannya.

"Kami akan bermain bermatian-matian bagi memastikan pasukan negara muncul juara Asia buat kali pertama," katanya.

Man. City juara baharu?

Posted:

Man. City juara baharu?

Man. City juara baharu?


MANCINI mahu menyekat dominasi United dalam persaingan memburu trofi Liga Perdana England musim ini.


MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menganggap status Liga Perdana England menjadi lebih berprestij jika skuad kendaliannya dinobatkan selaku juara musim ini.

Sebagai rekod, sejak Arsenal menjuarai kempen Liga Perdana England pada musim 2001/2002, United telah merekodkan lima kejuaraan setakat musim lalu (2002/2003, 2006/2007, 2007/2008, 2008/2009, 2010/2011).

Dalam tempoh yang sama, Chelsea berjaya mengungguli liga domestik itu sebanyak tiga kali (2004/2005, 2005/ 2006, 2009/2010), manakala Arsenal turut menjulang trofi kejuaraan pada edisi 2003/2004.

Justeru Mancini berkata, kebangkitan City musim ini telah mewujudkan satu persaingan yang sihat dalam Liga Perdana England.

"Jika ada pasukan lain yang muncul juara dan bukan pasukan yang merangkul gelaran dalam tempoh 10 musim sebelum ini, ia amat baik untuk liga ini.

"Pemain-pemain saya mengetahui bahawa mereka memiliki segala-galanya. Mereka berusaha keras dan berjuang dalam setiap perlawanan. Kini mereka memiliki peluang yang besar untuk muncul juara.

"City merupakan sebuah pasukan dan saya rasa kami perlu membuktikan perkara yang sama esok (malam ini)," kata Mancini.

Sebagai pendahulu, Mancini optimis City mampu meraih gelaran sulung dalam tempoh 44 tahun walaupun ketika ini berkongsi 86 mata dengan penyandang juara, Manchester United.

City berpeluang merealisasikan impian tersebut andai berjaya menewaskan Queens Park Rangers (QPR) pada aksi terakhir liga di Stadium Etihad malam ini.

Bagaimanapun, City juga perlu berharap United tewas kepada Sunderland di Stadium of Light.

Andai kedua-dua pasukan meraih kemenangan, seterusnya berkongsi 89 mata, juara liga musim ini akan ditentukan menerusi perbezaan jaringan dan situasi itu bakal memberi kelebihan kepada City.

Ini kerana City memiliki kelebihan lapan gol berbanding United.

"Trofi liga sudah hampir berada dalam genggaman, jadi kami tidak mahu melepaskannya begitu sahaja," kata Mancini. - Agensi

Atlet UPM bolot gelaran utama

Posted:

Atlet UPM bolot gelaran utama

Atlet UPM bolot gelaran utama

Oleh NADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
amir.azam@kosmo.com.my


TUANKU MIZAN (tengah) bergambar bersama para pemenang pada majlis anugerah Masum 2011 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu semalam.


EMPAT atlet kebangsaan yang menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkul anugerah utama pada Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) 2011 semalam.

Pemanah berpengalaman, Cheng Chu Sian dan penerjun sensasi, Leong Mun Yee masing-masing telah dinobatkan sebagai Olahragawan serta Olahragawati Masum 2011.

Pemilihan kedua-kedua atlet itu berdasarkan pencapaian cemerlang mereka di pentas antarabangsa sepanjang tahun lalu.

Kejayaan itu membolehkan Chu Sian dan Mun Yee yang menuntut di UPM meraih hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan, trofi dan sijil penghargaan.

Bagaimanapun, Chu Sian dan Mun Yee tidak hadir pada majlis tersebut kerana mereka kini giat membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan.

Dua lagi atlet UPM, K. Teagarajan, 21, dan Nurfarah Afiqah Mohd. Taufekh, 22, masing-masing meraih anugerah Bintang Harapan lelaki dan wanita.

Teagarajan memberitahu, dia sudah menjangka merangkul anugerah berkenaan apabila meraih pingat emas dalam acara karate-do pada Sukan SEA di Jakarta, Indonesia.

"Kejayaan ini akan menjadi pembakar semangat kepada saya dalam menyertai beberapa pertandingan antarabangsa yang bakal diadakan tahun ini," katanya.

Nurfarah Afiqah yang menduduki kelompok enam penembak remaja terbaik dunia ketika ini pula tidak menduga akan meraih anugerah berkenaan.

"Saya berasakan calon-calon lain hebat belaka dan tidak menyangka akan mendapat anugerah ini.

"Bagaimanapun, pencapaian yang memberangsangkan pada tahun lalu banyak membantu dalam meraih anugerah ini," kata anak kelahiran Melaka itu.

Bagi anugerah Tokoh Sukan Masum, ia menjadi milik Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Omar Osman. Beliau merupakan bekas Presiden ASEAN University Sports Council (AUSC).

Akhbar Kosmo! turut tersenarai apabila menerima anugerah Rakan Sukan Masum bersama empat lagi organisasi iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Majlis Daerah Port Dickson, Astro Arena dan Permanis Sdn. Bhd.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada majlis Anugerah Sukan Masum 2011 yang berlangsung di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu. Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Nur Zahirah.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Masum merangkap Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Datuk Dr. Kassim Md. Mansur dan Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan