Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


BAM abai program pembangunan

Posted:

BAM abai program pembangunan

BAM abai program pembangunan

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

BEKAS pemain beregu negara, Cheah Soon Kit berpendapat, kekurangan program latihan merupakan punca kegagalan skuad negara pada kempen Piala Thomas di Wuhan, China yang telah melabuhkan tirainya Ahad lalu.

Soon Kit berkata, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak sepatutnya menggunakan alasan yang sama setiap kali gagal pada kejohanan berpasukan itu dengan memberikan gambaran bahawa badan induk tersebut tidak memiliki barisan pemain berbakat.

Sebaliknya, Soon Kit menggesa BAM untuk mencari formula terbaik dan mengkaji semula program latihan barisan pemain negara.

Katanya, BAM sepatutnya merangka program latihan barisan pemain negara lebih awal bagi membentuk skuad yang benar-benar mantap bagi menghadapi kempen Piala Thomas kali ini berpandukan kegagalan pada edisi 2010 di Kuala Lumpur.

"Kita sudah mendapat pengajaran selepas kegagalan skuad negara pada Piala Thomas 2010.

"Sepatutnya, BAM menggunakan segala kelemahan yang dilihat dalam skuad negara ketika itu sebagai panduan untuk membentuk sebuah pasukan yang baik.

"Jadi, tidak sepatutnya BAM memberikan alasan yang sama setiap kali gagal pada Piala Thomas.

"Kita sebenarnya tidak pernah ketandusan pemain tetapi kita mungkin silap dari aspek program latihan yang dilihat penting bagi membentuk seseorang pemain berkualiti.

"Memang tumpuan lebih terarah terhadap persiapan Sukan Olimpik 2012 tetapi jika kita lihat sandaran utama ialah Datuk Lee Chong Wei (pemain perseorangan negara) seorang sahaja. Jadi, BAM boleh memberikan fokus terhadap pemain-pemain lain dengan program latihan yang ingin dilaksanakan.

"Apa yang saya boleh katakan, BAM perlu mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah tersebut secepat mungkin kerana kita ada dua tahun lagi bagi membentuk sebuah pasukan yang kuat untuk kembali memberi saingan pada kempen Piala Thomas 2014," kata Soon Kit.

Pada kempen Piala Thomas kali ini, skuad negara gagal melepasi sasaran yang diletakkan BAM untuk mara ke peringkat separuh akhir apabila tersingkir pada peringkat suku akhir.

Terdahulu, Soon Kit ditemui pemberita ketika majlis pengumuman senarai 12 pemain yang terpilih bagi program biasiswa badminton remaja Senheng-Samsung di ibu negara semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Senheng Electric (KL) Sdn. Bhd., Lim Kim Heng, Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd., Kwon Jae Hoon dan Pengarah Urusan Akademi Badminton Looi, Jack Koh.

Menerusi program tersebut, 12 pemain yang berusia antara 13 hingga 19 tahun itu telah ditawarkan biasiswa pembelajaran dan latihan selama tiga tahun di bawah kendalian Akademi Badminton Looi sementara Soon Kit dilantik sebagai ketua jurulatih.

Mengulas lanjut, Soon Kit turut berharap agar BAM mengamalkan sikap terbuka dalam proses pemilihan pemain yang bakal menggalas cabaran skuad negara dalam mana-mana kejohanan terutama melibatkan acara berpasukan.

"Tidak semestinya, seseorang pemain itu berada di bawah naungan BAM, dia boleh dianggap bagus. Ini kerana, pemain-pemain yang bergerak secara bebas dan bernaung di bawah kelab-kelab badminton di luar juga tidak kurang hebatnya.

"Jadi, BAM perlu memantau perkembangan setiap pemain secara menyeluruh. Jika perlu panggil pemain-pemain luar menjalani latihan bersama BAM lebih awal bagi menjalani proses pemilihan.

"Tidak kira pemain itu di bawah naungan BAM atau tida, mereka perlu diberi peluang yang sama rata kerana mereka memberi sumbangan untuk negara," jelas Soon Kit.

Sebagai rekod, Soon Kit merupakan salah seorang pemain yang membarisi skuad negara ketika menjulang Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur.

Siapa pilihan Rajagobal

Posted:

Siapa pilihan Rajagobal

Siapa pilihan Rajagobal

Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my


SAFEE mungkin mengetuai jentera serangan pada aksi menentang Filipina Jumaat ini.


TEKA-TEKI mengenai siapa yang bakal mengemudi jentera serangan skuad bola sepak kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Shah Alam, Jumaat ini masih belum terjawab.

Kelmarin, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal hanya menurunkan pilihan utama seperti Mohd. Safee Sali, Ashari Samsudin dan Norshahrul Idlan Talaha pada 20 minit terakhir semasa menewaskan Felda United 2-1 dalam aksi pemanas badan di padang Wisma FAM.

Selain ketiga-tiga pemain tersebut, Rajagobal turut menguji kemampuan penyerang Pahang, Azamuddin Akil bersama dua penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Md. Ali dan Shahurain Abu Samah yang turut meledak gol dalam perlawanan itu.

Satu lagi gol Harimau Malaya diledak oleh pemain tengah, Amar Rohidan sementara gol tunggal Felda United dilakar oleh Abdul Ghani Rahman menerusi satu sepakan percuma dua minit sebelum perlawanan tamat.

Meskipun kekal berteka-teki, Rajagobal mengakui berpuas hati dengan persembahan keseluruhan skuad kebangsaan menjelang pertemuan menentang Filipina kelak.

"Keputusan perlawanan tidak penting, saya cuma mahu pemain saya mendapat rentak untuk perlawanan sebenar.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan kecergasan pemain, pemain juga dilihat dapat melakukan hantaran yang baik selain kombinasi sesama pemain juga bagus," katanya kepada pemberita kelmarin.

Untuk rekod, Malaysia sekadar seri 1-1 dengan Filipina dalam satu aksi persahabatan terakhir antara kedua-dua pasukan di Stadium Memorial Rizal, Manila pada 29 Februari lepas.

Selepas berdepan anak-anak buah Michael Weiss Jumaat ini, skuad negara bakal berkunjung ke Stadium Jalan Besar berdepan Singapura pada 8 Jun depan sebelum kembali berdepan pasukan sama di Stadium Shah Alam empat hari kemudian.

Ketiga-tiga siri ujian persahabatan kelas A itu merupakan persediaan awal Harimau Malaya dalam usaha mempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi di Jakarta dua tahun lepas.

Kelly belum temui rentak

Posted:

Kelly belum temui rentak

Kelly belum temui rentak

Oleh SHANIKA ABDULLATIB
shanika.latib@kosmo.com.my


KELLY tampil dengan rentak kurang bertenaga pada hari pertama MLAO di KLGCC semalam.


PERMULAAN yang kurang kemas. Itu yang dapat disimpulkan terhadap aksi pemain terbaik wanita amatur negara pada saingan hari pertama apabila sekadar melakukan 69 pukulan semalam.

Biarpun berjaya menempatkan diri antara lima pemain terbaik pada Kejohanan Golf Terbuka Wanita Amatur Malaysia (MLAO) ke-29, raut wajah Kelly Tan Guat Chen tampak sedikit tertekan khsususnya pada beberapa lubang terakhir pada saingan yang berlangsung di Kuala Lumpur Golf & Country Club di Bukit Kiara itu.

Malah, kesilapan yang membawa kepada bogey di lubang ke-16, berjaya meletakkan pesaing utamanya, Dottie Ardina dari Filipina sebagai pendahulu pada hari pertama saingan.

"Saya benar-benar diberi saingan sengit. Memang sedikit mengecewakan apabila gagal menamatkan saingan hari ini (semalam) dengan baik.

"Saya jangka, sekiranya pukulan di lubang ke-16 itu menjadi, mata pungutan akan lebih baik. Namun secara keseluruhan, ia merupakan perlawanan pembukaan yang cukup baik dan saya yakin untuk mendapat mata yang lebih rendah pada saingan seterusnya.

"Paling penting, saya harus lebih sabar dan cuba mengelak daripada melakukan kesilapan hingga membawa kepada catatan bogey," jelasnya selepas tamat perlawanan.

Aksi semalam yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik turut membantu pemain berusia 18 tahun itu melakukan pukulan kemas.

"Tetapi lapangan golf yang pendek ini masih menjadi cabaran buat saya. Jadi saya perlu mengubah corak permainan saya untuk menyesuaikan dengan keadaan di sini," tambahnya.

Iman Ahmad Nordin yang mendahului persaingan selepas mengharungi 36 lubang pada edisi tahun lalu, sekadar bersikap merendah diri dengan peluangnya untuk bergelar juara selepas mempamerkan persembahan yang memberangsangkan semalam.

Terikat dengan 69 pukulan bersama Kelly, persembahan tenang Iman memberi kelebihan kepadanya untuk mengejar dua pemain teratas.

Mengekalkan permainan yang konsisten sejak lubang pertama, Iman kelihatan beberapa kali menarik nafas panjang apabila berjaya memintas kedudukan Kelly dan Dottie.

"Agak berpuas hati berada di tempat kedua dan sudah tentu, cabaran utama ialah lapangan golf ini. Tetapi itu tidak akan menjadi penghalang kepada saya untuk melakar kutipan mata yang lebih baik esok (hari ini).

"Saya dapat menyesuaikan diri dengan baik dan pukulan-pukulan saya juga bagus. Jadi, terus bermain dengan baik," kata penuntut Universiti Texas itu.

Jelas pemain berusia 20 tahun itu lagi, keadaan cuaca yang baik juga banyak membantunya dan mampu memberi fokus kepada permainan.

Dalam pada itu, dalam aksi Divisyen 2, Nur Islamiah Md. Fuad berada di kedudukan teratas.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan