Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


'BAM harus bertanggungjawab'

Posted:

'BAM harus bertanggungjawab'

'BAM harus bertanggungjawab'

AHMAD SHABERY (kiri) melihat kecederaan kaki yang dialami Chong Wei ketika menyambut ketibaan pemain itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang pada 23 Mei lalu.


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu bertanggungjawab jika gagal membawa pulang emas pertama negara pada Sukan Olimpik 2012 di London.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, acara badminton masih menjadi sandaran utama negara untuk meraih emas pada temasya itu menerusi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong.

"Jika gagal memenangi emas pada Olimpik, seluruh BAM perlu bertanggungjawab.

"Bukan sahaja BAM, malah saya dan rakan di MSN (Majlis Sukan Negara) serta ISN (Institut Sukan Negara) juga harus bertanggungjawab.

"Ini kerana pencapaian emas di London menerusi program Road to London merupakan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) tahun ini," kata Ahmad Shabery kepada pemberita selepas melancarkan BSN Maraton Malam Putrajaya 2012 semalam.

Menurut Ahmad Shabery, pada masa ini, BAM perlu memfokuskan pada Sukan Olimpik dan mengetepikan dahulu perancangan jangka panjang seperti melakukan rombakan jurulatih dan lain-lain.

Dalam pada itu, Chong Wei dikatakan tidak mungkin pulih daripada kecederaan buku lali kanannya dalam masa empat minggu seperti diramalkan sebelum ini.

Pakar fisioterapi Institut Sukan Negara (ISN) Sandra Fiedler berkata, pemain No. 1 dunia itu harus diberi tempoh sekurang-kurangnya lima hingga enam minggu untuk sembuh sepenuhnya.

"Saya tidak fikir (boleh pulih dalam tempoh minggu). Kecederaan itu boleh bertambah teruk sekiranya beliau memaksa dirinya terlalu kuat.

"Bagaimanapun, beliau dalam keadaan fizikal yang baik, jadi pemulihan boleh dipercepatkan sedikit," katanya selepas mengadakan sesi fisioterapi dengan Chong Wei di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Beliau berkata, Chong Wei juga harus sentiasa mengekalkan tahap kecergasannya bagi membantu mempercepatkan proses pemulihan.

Fiedler juga tidak menolak kemungkinan Chong Wei mengalami trauma akibat kecederaan tersebut.

"Saya mengandaikan bahawa selalu ada semacam ketakutan mengimbas kembali kejadian itu tetapi ia adalah sebahagian daripada latihan fisio yang anda cuba untuk memulihkan kembali kenyakinan atlet berkenaan," katanya.

Chong Wei mengalami kecederaan itu ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada peringkat kumpulan Piala Thomas di Wuhan, China, minggu lalu.

Kecederaan itu ternyata menjejaskan persiapan Chong Wei dalam menghadapi Sukan Olimpik 2012, apatah lagi dia merupakan sandaran emas pertama negara pada temasya tersebut. - Bernama

Misi perangkap Filipina

Posted:

Misi perangkap Filipina

Misi perangkap Filipina

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
fazli.yadi@kosmo.com.my


RAJAGOBAL (kanan) bersalaman dengan Weiss pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


JURULATIH Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal optimis skuad kendaliannya mampu melakar kemenangan ketika menentang Filipina pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam malam ini.

Rajagobal mula mendapat keyakinan selepas beliau berjaya 'menghidu' dan mengenal pasti beberapa kelemahan barisan kendalian Hans Michael Weiss itu.

"Saya telah mengenal pasti beberapa kelemahan Filipina. (Kelemahan tersebut) kita akan lihat (pada aksi perlawanan) esok (malam ini).

"Sudah tentu kami mahukan kemenangan dan mungkin ada kejutan dengan barisan utama yang akan diturunkan terutama membabitkan pemain-pemain Terengganu dan Kelantan.

"Saya berharap pemain-pemain yang diturunkan nanti bebas daripada kecederaan memandangkan kami masih ada dua perlawanan persahabatan menentang Singapura selepas bertemu Filipina," kata Rajagobal pada sidang akhbar perlawanan persahabatan Malaysia menentang Filipina di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Rajagobal percaya dengan kekuatan bahagian tengah yang diterajui kapten, Safiq Rahim mampu menjelmakan satu keputusan positif.

"Kami berazam untuk memberikan aksi yang terbaik dengan mempamerkan corak permainan pantas dan agresif, seterusnya memburu gol awal," jelasnya.

Begitupun, Rajagobal tetap mahu barisan pemainnya waspada dengan ancaman Filipina yang dikatakan memiliki kelebihan menerusi gerakan set piece.

"Saya pernah menyaksikan pita video rakaman aksi Filipina yang mana mereka kuat dari segi fizikal dan mental.


SKUAD negara giat menjalani latihan menjelang aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Shah Alam malam ini.


"Mereka juga memiliki kelebihan daripada gerakan set piece dan kerap menggunakan kelebihan itu untuk menjaringkan gol. Jadi, kami harus lebih berwaspada dengan situasi sebegitu," katanya.

Sementara itu, jurulatih Filipina, Hans Michael Weiss lebih bimbang dengan penampilan Norshahrul Idlan Talaha berbanding seorang lagi penyerang berbisa negara, Safee Sali.

"Kami perlu awasi pemain Malaysia yang tidak beraksi selama enam bulan itu (Norshahrul) kerana dia mampu menjadi 'duri dalam daging' buat kami.

"Saya lihat pemain itu mempunyai kemahiran yang cukup baik," katanya.

Sejak dibelenggu kecederaan pada November tahun lalu, Norshahrul yang lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo kini kembali memperkuat cabaran skuad Harimau Malaya.

"Ini satu aksi yang cukup kompetitif kepada kami. Sememangnya Malaysia tampil sebagai pasukan pilihan untuk memenangi perlawanan esok (malam ini).

"Kami perlu berhati-hati dengan kekuatan Malaysia kerana pemain yang sudah lama tidak bermain itu (Norshahrul) kembali berada dalam skuad Malaysia kali ini," jelasnya.

KOM mahu selesai luar mahkamah

Posted:

KOM mahu selesai luar mahkamah

KOM mahu selesai luar mahkamah

Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my


SHAHIDAN (dua dari kiri) mempengerusikan mesyuarat ahli-ahli majlis KOM di Bukit Jalil, Kuala Lumpur kelmarin.


SELESAI luar mahkamah.
Itu pilihan yang diambil Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi membela nasib enam atlet pecut negara yang diheret oleh Agensi Antidoping Dunia (WADA) ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, badan induk olahraga negara itu telah menghantar surat kepada CAS untuk menyelesaikan kes dengan WADA di luar mahkamah.

Menurut Shahidan, KOM akan mengikut apa sahaja hukuman yang dikenakan WADA terhadap enam atlet yang terlibat dan bekas ketua jurulatih olahraga negara, Harun Rasheed Othman.

"Untuk melawan kes ini di mahkamah, ia akan menelan belanja sekitar RM300,000 dan KOM tidak memiliki wang sebanyak itu.

"Situasi itu juga memerlukan atlet melantik peguam selain segala perbelanjaan di Lausanne, Switzerland iaitu ibu pejabat CAS. Ini sudah pasti akan menelan belanja yang cukup besar dan KOM tidak mampu.

"Disebabkan itu, KOM telah menghantar surat kepada CAS pada 21 Mei lalu untuk menyelesaikan kes dengan WADA di luar mahkamah," kata Shahidan pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat ahli-ahli majlis KOM di Bukit Jalil kelmarin.

Kosmo! pada 18 Mei lalu melaporkan, KOM telah diheret oleh WADA ke CAS ekoran keputusan badan induk itu yang hanya mengenakan amaran keras terhadap enam atlet yang melarikan diri daripada menjalani ujian antidoping pada 24 Mei tahun lalu.

KOM pula mengenakan penggantungan selama setahun terhadap Harun yang didakwa menjadi dalang terhadap tindakan enam atlet terlibat melarikan diri.

Mengikut peraturan WADA, keenam-enam atlet iaitu Siti Zubaidah Adabi, Siti Fatimah Mohamed, Yee Yi Ling, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Mohd. Imran Abd. Hadi perlu dikenakan sekurang-kurangnya dua tahun penggantungan.

Jika CAS mendapati keenam-enam atlet terbabit bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penggantungan maksimum empat tahun, manakala Harun pula digantung seumur hidup.

Bagaimanapun Shahidan menjelaskan, KOM tetap akan melindungi enam atlet terbabit dengan mengemukakan rayuan selepas WADA mengenakan hukuman ke atas mereka.

"Tugas KOM adalah melindungi atlet, jurulatih dan barisan pegawai. Jika kami tidak boleh melakukannya, tidak ada makna KOM ditubuhkan.

"Sebaik sahaja WADA menjatuhkan hukuman terhadap enam atlet terbabit, kami akan mengemukakan rayuan untuk meminta ia diringankan," jelas Shahidan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan