Kosmo Online - Sukan

sumber :-

Kosmo Online - Sukan


Dilema berakhir

Posted:

Dilema berakhir

ROZAIMI mengesahkan akan menjalani ujian pemilihan dengan kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana.


DILEMA penyerang Sabah, Rozaimi Abdul Rahman berakhir sudah. Semalam, peledak berbisa negara itu mengesahkan bakal menjalani ujian bersama kelab Liga Perdana Thailand, BEC Tero Sasana.

Ternyata spekulasi mengenai kualiti permainan liga di Thailand yang lebih terarah kepada aktiviti menjual perlawanan sebelum ini tidak mengganggu keterujaan Rozaimi menimba ilmu di luar negara.

Rozaimi yang bakal membantu skuad Sukan Malaysia (Sukma) menentang Perak pada perlawanan akhir acara bola sepak di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini memberitahu, beliau akan menjalani ujian pemilihan bersama kelab itu selama seminggu.

Begitu pun, katanya, ujian itu hanya akan dilakukan selepas membantu Selangor dalam saingan Piala Malaysia 2012 setelah dia disahkan akan dipinjamkan kepada skuad Gergasi Merah itu kelmarin.

"Jika berjaya dipilih, saya akan menyarung jersi Tero Sasana tetapi pada masa sekarang terlalu awal untuk saya memperkatakan mengenai perkara itu," katanya kepada Kosmo! di Kuantan semalam.

Nama anak kelahiran Bongawan, Sabah itu tiba-tiba meniti di bibir peminat bola sepak tempatan apabila berjaya meledak 10 gol pada kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun di Yangon, Myanmar baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rozaimi menafikan spekulasi yang mengatakan beliau 'lupa daratan' sebaik menyertai Gergasi Merah secara pinjaman.

"Saya sayangkan Sabah, namun peluang menimba ilmu bersama Selangor tidak harus saya lepaskan.

"Lagipun saya masih muda, jadi jika saya gagal menyertai Tero Sasana saya akan kembali semula bersama Sabah, bukannya Selangor," katanya yang berharap dapat meledak gol bagi membantu Sang Badak muncul juara Sukma malam ini.

Dalam pada itu, jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim mengakui kehadiran Rozaimi menjadikan Sabah pasukan pilihan untuk muncul juara malam ini.

"Ini merupakan final pertama kami sejak muncul juara Sukma 2002 di Sabah, jadi saya harap kemarau emas Sabah selama sedekad lalu akan berakhir," katanya.

'Semua pasukan seimbang'

Posted:

'Semua pasukan seimbang'

NORSHAHRUL (dua dari kiri) ketika hadir pada majlis pelancaran produk but terbaharu keluaran Adidas di Sports Planet Kota Damansara, Kuala Lumpur kelmarin.


PENYERANG prolifik skuad negara, Norshahrul Idlan Talaha tidak mahu menjadikan undian sukar pada kempen Piala Suzuki AFF 2012 sebagai alasan dalam usaha mengekalkan status Malaysia selaku juara bertahan.

Sebaliknya, Norshahrul yang juga merupakan penyerang Kelantan berkata, setiap pasukan memiliki peluang seimbang untuk mara ke peringkat separuh akhir.

"Setiap pasukan dalam kalangan negara ASEAN (Asia Tenggara) sebenarnya memiliki peluang yang sama rata. Masing-masing ada kelebihan yang tersendiri.

"Jadi, saya tidak kisah berdepan dengan mana-mana pasukan sekalipun pada kempen Piala Suzuki AFF kali ini," kata Norshahrul ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran produk kasut but terbaharu keluaran Adidas, Predator Lethal Zones di Sports Planet Kota Damansara kelmarin.

Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut, empat lagi tonggak utama skuad negara iaitu Mohd. Asraruddin Putra Omar, Mohd. Farizal Marlias dan S. Kunanlan.

Pada kempen Piala Suzuki AFF kali ini, Harimau Malaya telah diundi dalam Kumpulan B yang dilabel sebagai 'kumpulan maut' bersama-sama dua musuh tradisi, Singapura dan Indonesia.

Thailand, Vietnam dan Filipina pula telah diundi dalam Kumpulan A manakala bagi Brunei, Myanmar, Laos, Timor Leste dan Kemboja akan beraksi pada pusingan kelayakan di Myanmar bermula 5 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Norshahrul berkata, aksi persahabatan menentang dua kelab gergasi England, Arsenal dan Manchester City penghujung bulan ini adalah medan terbaik untuk membentuk kombinasi para pemain negara sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF yang dijadual berlangsung November depan.

Sementara itu, nada berbeza disuarakan Asraruddin yang merupakan tonggak pertahanan kiri skuad negara apabila yakin Malaysia memiliki kelebihan tersendiri untuk mengekalkan kejuaraan yang diraih dua tahun lalu.

"Berdasarkan undian, Singapura dilihat sebagai ancaman utama kepada skuad negara kerana mereka memiliki ramai pemain berbakat. Saya jangkakan hampir separuh pemain (Lion XII FC) yang beraksi dalam Liga Malaysia tahun ini akan mewakili Singapura ditambah dengan pemain import mereka.

"Namun, kelebihan memihak kepada Malaysia selaku tuan rumah bersama. Jika dua tahun lalu beraksi di negara orang, kita boleh mencipta kejayaan, apatah lagi beraksi di negara sendiri.

"Saya percaya, semua pemain sudah cukup matang untuk mengatasi tekanan pada kejohanan tersebut nanti," kata Asraruddin yang beraksi di bahagian pertahanan tengah Selangor musim ini.

Malaysia dan Thailand dipilih sebagai tuan rumah bersama Piala Suzuki AFF 2012 yang menyaksikan dua peringkat iaitu Kumpulan A di Thailand dan Malaysia menjadi hos aksi Kumpulan B.

Zaidatul berhak bergelar Ratu Pecut Sukma ke-15

Posted:

Zaidatul berhak bergelar Ratu Pecut Sukma ke-15

RATU pecut, Zaidatul Husniah Zulkifli sekali lagi menggamit tumpuan dalam acara olahraga Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 Pahang yang berakhir di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Selepas meraih emas acara 100 meter (m) kelmarin, Zaidatul Husniah sekali lagi membuktikan larian bertenaga apabila mengungguli saingan 200m malam tadi.

Pelari Pulau Pinang itu mengesahkan pingat emas menjadi miliknya apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 24.79 saat (s).

Pingat perak menjadi milik pelari Terengganu, Nur Farahana Musa yang merekodkan masa 25.46s dan gangsa dirangkul atlet Sabah, Fathin Faqihah Mohd. Yusof dengan catatan masa 25.52s.

"Syukur alhamdulillah... saya dapat meraih emas buat kali kedua pada Sukma kali ini.

"Sejak awal perlumbaan lagi, saya hanya fokus dengan larian saya tanpa menghiraukan pencabar-pencabar lain," kata Zaidatul Husniah sejurus tamat perlumbaan semalam.

Pelari Wilayah Persekutuan, Hisyam Alias meraih emas acara 200m lelaki apabila merakamkan masa 21.73s.

Pingat perak dan gangsa masing-masing milik pelari Selangor, S. Kanathasan (21.76s) dan atlet Negeri Sembilan, Mohd. Shahmimi Azmi.

Sementara itu, kuartet Terengganu ternyata handal apabila mengungguli acara 4x400m lelaki dan wanita.

Dalam acara 4x400m lelaki, kuartet Terengganu merakamkan masa 3:20.64s bagi meninggalkan pencabar terdekat mereka iaitu Melaka (3:21.00s) dan Perak (3:21.38s)

Bagi saingan 4x400m wanita, kuartet Terengganu mencatatkan masa 3:54.67s bagi meninggalkan Johor (4:01.03s) dan Perak (4:01.44s) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Jurulatih kuartet 4x400 Terengganu, Mohd. Nizam Md. Yusop memberitahu, kejayaan yang dilakar oleh anak-anak buahnya itu sudah dijangka.

"Saya berasakan mereka mampu menjadi juara. Hampir setiap pelari saya (kuartet lelaki) mempunyai rekod kurang daripada 50s.

"Tahap keyakinan yang mereka pamerkan hari ini (semalam) membuktikan Terengganu berhak mengungguli saingan tersebut," katanya.

Pelari tuan rumah, S. Saranraj menggamatkan stadium buat seketika apabila meraih pingat emas acara 1,500 lelaki dengan catatan masa 4:03.72s.

Pingat perak milik atlet Perak, M. Kesavan (4:04.24s) manakala gangsa diraih atlet Kedah, Tan Wei Heng (4:04.71s).

Dalam acara 20,000m jalan kaki lelaki, atlet Kelantan, Muhammad Khairil Harith Haru merangkul emas dengan catatan masa 1:36:35.32s.

Pingat perak milik atlet Negeri Sembilan, T. Dhiban Raj (1:40:43.36s) manakala gangsa diraih atlet Pulau Pinang, K. Satiyaseelan (1:42:53.17s).

Dalam acara merejam lembing lelaki, pingat emas disambar atlet Perak, Muhammad Rozaini Subki yang melakukan catatan 59.26m.

Pingat perak dan gangsa masing-masing dirangkul atlet Kedah, Muhamad Akmal Md. Zain (58.75s) dan atlet Sabah, Max Anzie Jetol (52.94s).

Bagi acara melontar peluru wanita, atlet Sarawak, Casier Renee Lee meraih pingat emas dengan catatan 12.04m, perak milik seorang lagi atlet Sarawak, Grace Wong Xiu Mei (11.78m) dan gangsa diraih atlet Kelantan, Bibi Nuraishah Ishak (11.29m).

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan