Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


'Itu hak BAM ketepi saya'

Posted: 29 Aug 2012 03:58 PM PDT

Kuala Lumpur: "Itu hak mereka (Persatuan Badminton Malaysia) untuk pilih siapa.. tetapi dalam tempoh lebih tiga tahun akan datang, saya akan buktikan kenapa saya patut dipilih ke Olimpik 2016," kata Zulfadli Zulkifli.

Bekas juara remaja dunia itu jelas tidak mahu isu siapa yang akan mewakili negara ke Olimpik Rio mengganggu tumpuannya masa kini dengan lebih gemar bersikap tunggu dan lihat.

Sebaliknya, jika ada yang beranggapan dia akan kecewa kerana masa depannya kelihatan semakin samar untuk menyarung jersi negara, anak muda berusia 19 tahun itu pula tetap optimis dengan menganggapnya itu satu cabaran.
"Semua itu akan buatkan saya lebih bersemangat. Tak perlu kecoh-kecoh, apabila tiba masanya kita boleh menilai sendiri siapa yang layak.

"Itu satu cabaran untuk buktikan kemampuan diri. Biarkan kejayaan di gelanggang 'bercakap' mewakili saya," katanya yang mensasarkan kedudukan ranking lebih baik menjelang akhir tahun ini.

Tak tahu senarai BAM

Sehingga kini, dia berada di ranking ke 81 dunia dan jika mampu melangkah jauh di Kejohanan Terbuka Jepun pada September dan Super Siri Terbuka Indonesia (Disember), dia yakin mampu menempatkan diri ke kelompok 50 terbaik dunia.
Ketika ini, pemain Kelab Raket Kuala Lumpur (KLRC) itu 'tercicir' daripada senarai bayangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang menamakan lima pemain perseorangan sebagai calon berpotensi menggantikan Lee Chong Wei di Olimpik Rio.

BAM menamakan Chan Kwong Beng, 24, Liew Daren, 25, Chong Wei Feng, 25, Arif Abdul Latif 23, dan Misbun Ramdan, 21, sebagai pemain perseorangan menggalas cabaran negara.

Ditanya mengenai senarai nama itu, Zulfadli, juara remaja Asia 2011 mengakui sepanjang pengetahuannya, dia pernah dimaklumkan namanya tersenarai dalam projek 2016 oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi tidak tahu senarai terbaru BAM.

Polis panggil pegawai AFC

Posted: 29 Aug 2012 03:52 PM PDT

Kuala Lumpur: Polis akan memanggil pegawai kanan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana badan induk itu berjumlah RM30 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abdul Ghany, berkata siasatan itu susulan laporan polis dibuat oleh badan induk berkenaan pada 18 Ogos lalu berhubung `kehilangan' dana berkenaan.

"AFC membuat laporan polis selepas semakan audit mendapati wujud kesangsian terhadap perbelanjaan badan induk itu membabitkan seorang pegawai kanannya.

Hammam bidas tuduhan

"Polis sedang meneliti maklumat berkaitan, termasuk butiran audit yang diserahkan badan induk itu. Kita akan panggil sesiapa saja, termasuk pegawai kanan terbabit bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Misteri kehilangan dana itu sebahagian daripada tuduhan pecah amanah dan rasuah membabitkan Presiden AFC, Mohamed Hammam yang digantung sebelum ini.

Bagaimanapun, Hammam dalam satu kenyataan sebelum ini membidas tuduhan, malah menafikan beliau menyalahgunakan kedudukannya dalam badan induk untuk kepentingan peribadi, termasuk menambah kekayaan keluarganya.
Malah, beliau turut menjelaskan setiap bayaran yang dibuat sebelum ini adalah menggunakan wangnya sendiri, terutama bagi membantu pihak tertentu dan beberapa rakannya, termasuk Presiden AFC, Zhang Jilong.

Difahamkan, Zhang juga individu bertanggungjawab mengarahkan semakan audit dilakukan bagi mengenalpasti bagaimana Hammam, yang juga seorang warga Qatar boleh memiliki kekayaan luar biasa, termasuk mempunyai kaitan dengan syarikat pemegang kontrak AFC.

Sementara itu, Izany berkata, hasil siasatan awal mendapati laporan audit badan induk itu menunjukkan dana berkenaan dipindahkan ke beberapa akaun bank di luar negara sepanjang lima tahun lalu, tanpa mengikut prosedur sepatutnya.

"Ini lebih kepada kes pecah amanah membabitkan penyelewengan dana, dengan pelakunya boleh dikenakan hukuman penjara jika sabit kesalahan," katanya sambil memaklumkan siasatan mungkin mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan