Berita Harian: Sukan

sumber :-

Berita Harian: Sukan


'Saya tidak ke mana-mana'

Posted: 18 Sep 2012 02:02 PM PDT

Kuala Terengganu: Jurulatih Terengganu, Peter Butler yang digantung enam bulan dan didenda RM4,000 oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) kelmarin, tidak akan tunduk dengan desakan sesiapa yang mahukannya meninggalkan pasukan itu.

"Saya tidak akan ke mana-mana," kata Butler yang dijatuhi hukuman kerana memberi kenyataan kepada media tanpa kebenaran pihak pengurusan. "Mungkin ada pihak yang mahukan saya marah dan meninggalkan Terengganu namun mereka silap jika mereka berfikir begitu.

"Saya seorang yang mempunyai prinsip dan setiap kali saya menerima tugas, saya akan melakukan yang terbaik, kata jurulatih berusia 46 tahun itu yang masih mempunyai kontrak sehingga November tahun depan.
Selain gantung dan denda, gaji Butler bulan depan turut dipotong 15 peratus kerana kesalahan memarahi dan menolak penjaga gol, Sharbinee Allawee Ramli, di khalayak ramai ketika perlawanan menentang Kedah di Kuala Terengganu, awal bulan ini.

Bincang dengan peguam

Jurulatih berbangsa Inggeris itu berkata, dia masih belum menerima surat rasmi daripada PBSNT mengenai penggantungan dan denda yang dikenakan ke atasnya. "Sehingga saya melihat dengan mata saya sendiri surat itu, saya tidak boleh berbuat apa-apa ataupun mengambil sebarang tindakan.

"Namun apa yang pasti, selain daripada berbincang dengan peguam, saya tidak akan melakukan perkara yang tidak sepatutnya saya lakukan," katanya.
Butler mengakui terkejut mendengar hukuman berat yang diterimanya namun dia tetap menghormati keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa tatatertib dan mesyuarat Majlis PBSNT.

Jurulatih itu berkata, dia datang ke Terengganu bertujuan membentuk pasukan yang baik.

"Tugas saya belum selesai dan sehingga ia tamat, saya akan terus berada di sini untuk menjalankan kewajipan saya. Namun, mungkin ada pihak atasan yang mempunyai idea lain dan sekiranya begitu saya juga akan menghormati keputusan mereka itu," katanya.

Sharbinee lega, kes tutup

Posted: 18 Sep 2012 02:00 PM PDT

Hasil ujian poligraf mendapati dia bercakap benar: SPRM

Putrajaya: Penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli harus sudah mampu tidur lena selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam mengesahkan sudah menutup kes menjual perlawanan ketika skuad itu seri 1-1 dalam aksi Piala Malaysia menentang Kedah, 1 September lalu.

Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zin berkata, keputusan itu dibuat selepas siasatan mendapati tidak wujud sebarang bukti atau dokumen yang menunjukkan berlaku unsur rasuah membabitkan penjaga gawang itu.

Katanya, sepanjang siasatan dijalankan, SPRM sudah memanggil beberapa saksi untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Bercakap benar

"Ujian poligraf yang turut dijalankan menunjukkan tiada tindak balas yang boleh mengaitkannya dengan perlakuan rasuah.

"Hasil ujian poligraf mendapati dia (Sharbinee) bercakap benar kepada soalan-soalan yang dikemukakan," katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Berikutan itu, SPRM menutup terus kes itu kecuali jika terdapat penemuan bukti baru.
Sebelum ini, SPRM menjalankan siasatan kes terbabit mengikut bidang kuasa seperti diperuntukkan dalam Akta SPRM 2009 dan siasatan yang dijalankan adalah bebas, telus dan profesional.

Isu dakwaan Sharbinee menjual perlawanan itu tercetus selepas penjaga gawang itu tertampan bola masuk ke gawang sendiri sekali gus mencetuskan keraguan dan wujud dakwaan dia terbabit menjual perlawanan.

Berikutan itu, Sharbinee dengan nada berani 'mempersilakan' SPRM menjalankan siasatan terperinci ke atasnya bagi membuktikan dia bercakap benar dan tidak terbabit dengan dakwaan menjual perlawanan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan