Harian Metro: Arena

sumber :-

Harian Metro: Arena


Pencalonan kecoh lagi

Posted: 15 Sep 2012 02:38 PM PDT

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) sekali lagi kecoh apabila majlis pengumuman senarai calon yang bakal bertanding dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi badan induk KOM pada Mesyuarat Agung Tahunan, 23 September ini sekali lagi terpaksa ditangguh.

Majlis yang sepatutnya menyaksikan pengumuman senarai calon itu bertukar tegang apabila jawatankuasa yang hadir membidas persoalan ditimbulkan Penolong Setiausaha Majlis Olimpik Malaysia (MOM), T Kumar yang dilantik sebagai Pegawai Jawatankuasa Pemilihan oleh KOM.


Sampul pencalonan yang seharusnya dibuka Isnin lalu itu kini sekali lagi terpaksa ditangguh apabila terdapat beberapa klausa dalam perlembagaan baru KOM menimbul keraguan.

Kumar yang dilantik menguruskan sampul pencalonan dan mengumumkan calon bertanding, mempersoalkan klausa perlembagaan KOM yang menimbulkan keraguan dan boleh dipertikaikan.


Kumar berkata, apabila timbul keraguan klausa perlembagaan itu, beliau tidak boleh membuka sampul pencalonan kerana keputusan AGM boleh dipersoal kesahihannya.


"Jika AGM diteruskan, akan berlaku risiko dalam pemilihan apabila calon yang kalah boleh mencabar mana-mana pihak berikutan kekeliruan perlembagaan ini dan saya yang bertanggungjawab membuka sampul ini juga boleh diheret sama.

"Saya dilantik untuk menyelesaikan majlis pembukaan sampul pencalonan namun bila merujuk kembali perlembagaan ini terdapat beberapa klausa perlembagaan yang meragukan. "Oleh sebab itu saya tidak dapat melaksanakan tugas ini kerana saya tidak tahu perlembagaan mana perlu diikut," katanya yang mempersoalkan Klausa 8.4.4, 8.6.1 dan 8.7.6.


Bagi menyelesaikan perkara itu, Kumar memohon KOM segera memperbetulkan konflik yang timbul dengan merujuk semula kepada Pesuruhjaya Sukan atau mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk meminda perlembagaan.

Majlis di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, menyaksikan Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak hadir sebaliknya menyerahkan tugas itu kepada Naib Presiden, Datuk R Annamalai.


Hanya tiga calon bertanding Timbalan Presiden, Datuk Karim Ibrahim, Annamalai dan Rajemah Sheikh Ahmad hadir pada majlis itu. Sementara itu, Annamalai berkata, perkara yang timbul itu bukan satu isu besar dan akan cuba menyelesaikannya secepat mungkin dengan sampul pencalonan dijangka dibuka Rabu ini andai masalah itu dapat diselesaikan dengan Pesuruhjaya Sukan.


Penangguhan itu bermakna masih belum ada sebarang kepastian berhubung siapa yang bertanding merebut jawatan dalam KOM.


Sebelum ini desas-desus terus bertiup kencang apabila Shahidan dilapor akan dicabar dua calon, Presiden Persatuan Olahraga Amatur Negeri Sembilan (POANS), Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Danyal Balagopal.


Karim dikhabarkan akan ditentang dua calon. Mereka yang akan mencabar jawatan itu adalah Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Salleh dan Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Selangor, K Yogeswaran.


Selain itu, sembilan calon dilapor bertanding untuk kerusi Naib Presiden dengan mereka yang dijadualkan bertanding terdiri daripada Presiden Persatuan Olahraga Amatur Kedah, P Solomon, Setiausaha Persatuan Olahraga Amatur Johor, R Rajasegram, Setiausaha POAT, Rajemah Sheikh Ahmad dengan Datuk Mumtaz Jaafar akan mempertahankan kerusi Naib Presiden bagi slot wanita.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


Tahun gemilang Allyson

Posted: 15 Sep 2012 02:36 PM PDT

TARIKH 4 September mengakhiri musim panas gemilang buat pelari pecut Amerika Syarikat (AS), Allyson Felix.

Dia disenaraikan sebagai finalis Atlet Wanita Tahunan Yayasan Sukan Wanita bersama bintang tenis, Serena Williams, perenang Missy Franklin, gimnas Gabrielle Douglas dan atlet ski Lindsey Vonn.


Pada hari sama, dia menjuarai perlumbaan 200m terakhir disertainya musim ini dengan rekod kejohanan 22.35 saat di Kejohanan Dunia IAAF di Zagreb, Croatia dengan menewaskan pelumba Jamaica, Aleen Bailey dan rakan senegara Charonda Williams.

Semua itu berlaku susulan pencapaian hebat atlet berusia 26 tahun itu di Sukan Olimpik London sebaik melakar pencapaian cemerlang dalam acara trek dan balapan dengan pingat emas dalam acara 200m, 4x100m dan 4x400m.


Sebaik Allyson pulang ke AS, dia akan meninggalkan latihan selama sebulan. Ia adalah rehat yang dinantikan Allyson pada akhir setiap musim.


"Sebaik musim kejohanan berakhir, saya akan jauhkan diri dari trek dan gimnasium selama sebulan," kata Allyson.

"Saya akan menunggang basikal di tepi pantai, bermain tenis atau rollerblade tetapi saya tidak akan lakukan sebagai aktiviti sukan yang spesifik atau mengangkat beban selama sebulan." Untuk memahami mengapa Allyson begitu teruja untuk merehatkan dirinya, anda perlu faham bagaimana dia bekerja keras selama 11 bulan dalam setahun.


"Biasanya saya menghabiskan masa lima jam untuk latihan setiap hari," katanya.

"Sesi memanaskan badan selama sejam diikuti dua jam latihan pecut atau latihan lasak di trek, kemudian rehat seketika sebelum pergi ke gimnasium pada dua jam terakhir." Latihannya di trek, lebih menjurus kepada matlamatnya. Selepas menempuhi cabaran Olimpik, fokusnya kini terarah kepada kejohanan dunia dan dia mahu mencatat masa spesifik.


Allyson turut memberi tumpuan terhadap misi memenangi gelaran dunia dalam acara 100 dan 400m yang masih belum pernah dilakukannya.


"Saya sentiasa mahu menjadi pelari pecut yang versatil," kata Allyson.


"Biarpun kami sering menumpukan dari asas, iaitu latihan 100m yang tertumpu kepada kelajuan dan 400m yang memberi tumpuan kepada ketahanan tetapi saya mahu berlari lebih pantas dan memperbaikinya." Allyson turut memastikan sasaran itu berjaya dilaksanakan di gimnasium. Dia meminati plyometrics (gerakan pantas seperti latihan 'box jumps' yang digunakan untuk meningkatkan kepantasan dan kuasa) selain angkatan Olimpik (snatch dan clean and jerk). Dia juga mendapat cuti dua hari seminggu dan melakukan larian selama 30 minit untuk menaikkan staminanya.


Sepanjang musim pertandingan, dia juga menjaga pemakanannya dengan mengambil protein, buah-buahan dan sayuran, lemak serta karbohidrat. Dia juga sentiasa mengambil snek ketika perjalanan.


Dengan jadual latihan yang ketat dan sukar mengekalkan diet, Allyson sentiasa mencari jalan untuk memastikan dirinya kekal bermotivasi. Dia berfikir mengenai idolanya, Jackie Joyner-Kersee, serta sikapnya yang enggan menyerah kalah. Dia berfikir mengenai pesaingnya dan adakah mereka berusaha lebih gigih daripadanya. Malah dia juga berfikir mengenai sasarannya dan apa yang perlu dilakukan untuk mencapainya.


"Apabila saya malas bangun dari katil, saya fikir mengenai apa yang saya ingin capai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/16


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 ulasan:

Catat Ulasan